Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

British Letak Bom Nuklear “Red Beard” Di Singapura dan Butterworth?

0 1,587

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menurut satu laporan rahsia yang didedahkan (declassified), kerajaan British telah menempatkan bom nuklear di pengkalan udara RAF (Royal Air Force) di Tengah, Singapura (Tengah Air Base), sebagai persediaan sekiranya konflik nuklear antaranya dengan China meletus.

Dikatakan sehingga 48 butir bom nuklear dipanggil “Red Beard” ditempatkan di Pangkalan Udara Tengah, Singapura bermula pada 1962 sehingga 1970-an. Bom-bom nuklear yang mempunyai kekuatan di antara 15 kiloton (Mark 1)  hingga 25 kiloton (Mark 2) ini bakal diterbangkan oleh pesawat-pesawat Vulcan atau “V-Bombers.”

Red Beard
Bom nuklear “Red Beard”

Pada ketika itu, Singapura masih dibawah Persekutuan Tanah Melayu dengan Allahyarham Tunku Abdul Rahman Al-Haj sebagai Perdana Menteri.

Namun laporan itu mengatakan Tunku tidak mengetahui mengenai penempatan senjata nuklear di Singapura ketika itu. Penempatan senjata nuklear di Singapura adalah rahsia besar British kerana ia adalah isu sensitif di kalangan pemerintah tempatan dan mungkin dapat tentangan daripada Tunku. So British buat senyap je la. Singapura sertai Malaysia 1963 dan keluar dua tahun selepas itu. Kenapa British yang pada ketika itu dibawah pimpinan PM Harold Macmillan menempatkan bom-bom nuklear di Singapura(dan kemungkinan di Butterworth, Pulau Pinang) ketika itu?

Tengah
Pesawat pengebom Vulcan Tentera Udara British di Pangkalan Udara Tengah di Singapura.

Beliau mahu RAF bersedia jika terjadi perang antara Barat dengan komunis China, senjata itu boleh digunakan untuk melindungi negara-negara sekutu British di Timur Jauh.

Menurut laporan kepada tentera British (Joint Chief of Staffs) pada 1956, senjata nuklear amat penting dan akan digunakan jika perang berlaku antara negara-negara South East Asia Treaty Organisation (SEATO) dengan China.

Sejak 1957 pesawat-pesawat pengebom (V-Bombers) mula melakukan penerbangan-penerbangan ke Timur Jauh dan pada 1958 British memutuskan untuk membina kemudahan meletakkan senjata nuklear di pangkalan udara Tengah di Singapura.

Pada 1960, penerbangan membawa bom nuklear palsu “Red Beard” ke Singapura telah dilakukan melalui El Adem di Libya, Khormaksar di Yemen dan Gan di Maldives.

Harold
Perdana Menteri Britain pada ketika itu Harold Macmillan.

Peralatan-peralatan khas untuk mengendalikan senjata nuklear juga telah diletakkan di pangkalan-pangkalan udara termasuk pengkalan udara di Embakasi di Kenya dan Butterworth di Pulau Pinang.

Ya, Butterworth turut memiliki kemudahan untuk mengendalikan bom nuklear, tetapi  sama ada sememangnya ada bom nuklear di Butterworth masih sukar untuk disahkan walaupun ramai mengatakan pangkalan udara British di Pulau Pinang itu ada bom nuklear milik British.

Penempatan pesawat Vulcan dengan senjata nuklear di Tengah Airbase, Singapura itu menyusul selepas British melakukan perkara sama di pengkalannya di Akrotiri, Cyprus pada 1960.

British sebelum itu tidak pernah meletak senjata nuklear di luar Britain  dan memilih Cyprus dan Singapura lokasi pilihan untuk menempatkan senjata nuklear.

Ini berlaku ketika perseteruan antara Barat dan Komunis memuncak.

Pada 17 Ogos 1962, Macmillan memberi kebenaran kepada tentera British untuk meletakkan bom nuklear di Pangkalan Udara Tengah, sekaligus membawa rantau Asia Tenggara ke ambang peperangan nuklear dengan seterunya pada ketika itu, China dan Komunisme.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...