Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Penemuan “Luar Biasa” Lapangan Gas Di Perairan Sarawak, China Tidak Akan Berdiam Diri

0 863

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat minyak dan gas kebangsaan, Petronas hari ini mengesahkan penemuan “luar biasa” lapangan gas baru di luar pantai Sarawak di Lang Lebah-2, Blok SK410B (PSC) yang terletak di Wilayah Luconia Tengah, kira-kira 80 kilometer dari Sarawak.

Kawasan penemuan gas terbaru ini terletak di Luconia Tengah yang China dakwa sebagai miliknya, walaupun kawasan itu hanya terletak 80 kilometer daripada pantai Sarawak.

China
Kapal pengawal pantai China.

Laporan media pada Nov tahun lepas mengatakan China telah mengerah sebuah kapal pengawal pantainya untuk menganggu operasi cari gali minyak dan gas di Blok SK410B itu.

Dalam insiden itu yang menggambarkan tindakan agresif kapal pengawal pantai China di dalam kawasan perairan Malaysia, kapal itu “CCG 5402” telah menghampiri pelantar penggerudian, “Borr Drilling Gunlod” yang sedang beroperasi di Blok SK410B itu. Kapal pengawal pantai China itu dikatakan hanya berada kira-kira dua batu nautika daripada pelantar penggerudian itu, dalam tindakan yang boleh dianggap sebagai suatu provokasi terhadap operasi cari gali minyak dan gas oleh negara supaya menghentikan operasi mereka.

SK410B

TLDM dikatakan telah menghantar dua buah kapalnya, KD Bunga Mas 5 dan KD Keris untuk “shadow” kapal pengawal pantai China dan drama “kejar-mengejar” antara mereka pun berlaku, sebagaimana dilaporkan oleh badan penyelidik, Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) yang memantau perkembangan di Laut China Selatan.

Sebenarnya, Blok SK410B ini dioperasikan oleh syarikat minyak dan gas kebangsaan Thailand, PTTEP HK Offshore Ltd bersama-sama KUFPEC Malaysia (SK410B) Ltd dan Petronas Carigali Sdn Bhd.

Mengetahui bahawa kapal-kapal pengawal pantai China “bermain-main” kira-kira 80km daripada perairan Sarawak adalah sesuatu yang amat menakjubkan.

Ketika mengumumkan penemuan lapangan gas baru hari ini, Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Petronas, Mohamed Firouz Asnan berkata penemuan luar biasa ini adalah bukti kepada lembangan Malaysia yang sangat prolifik dan menunjukkan potensi eksploitasi yang belum diterokai.

Blok SK410B dipromosikan dalam Pusingan Bidaan Malaysia 2015, menyebabkan PSC ditandatangani pada Julai 2016.

Telaga penerokaan Lang Lebah-2 berjaya digerudi sehingga ke kedalaman 4,320 meter pada pertengahan Januari 2021 dengan lebih 600 meter jaminan keuntungan gas bersih.

“Telaga ini telah diuji dan memberi aliran sebanyak 50 juta kaki padu gas sehari dengan jumlah gas yang ketara. Ini adalah penggerudian penilaian untuk mengesahkan potensi peningkatan serta bertujuan mempercepatkan program pembangunannya,” kata Mohamed Firouz.

Pada 2019, Petronas dan rakan kongsinya berjaya menggerudi penemuan gas yang berdaya maju secara komersial melalui penerokaan telaga pertama, Lang Lebah-1RDR2, dan kini sedang bersiap sedia ke arah pembangunan lapangan.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...