Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Enggan Kutuk Tentera Myanmar, Cuba Luaskan Pengaruh

0 648

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China dijangka menggunakan peluang daripada rampasan kuasa tentera yang menumbangkan kerajaan demokratik di Myanmar beberapa hari lepas untuk meluaskan pengaruhnya di negara Asia Tenggara itu.

Beijing mahu menggunakan rampasan kuasa itu untuk mendekatkan diri dengan pihak tentera Myanmar dan menjadikan negara itu proksinya sebagaimana yang ia telah lakukan terhadap beberapa negara Asia Tenggara yang lain. (Cambodia, dan Laos)

Myanmar
Presiden China Xi Jinping bersama pemimpin tentera Myanmar Jeneral Myint Aung Hlaing.

Malah, Beijing yang berkongsi 1,300km sempadan dengan Myanmar telah pun berbuat demikian untuk “membodek” pihak tentera negara itu.

Ketika hampir semua negara di dunia ini mengecam rampasan kuasa di Myanmar tiga hari lepas dan meminta kerajaan demokratik dipimpin oleh parti pimpinan Aung San Suu Kyi iaitu National League of Democracy (NLD) dikembalikan, Beijing mengambil pendekatan dengan hanya mengeluarkan kenyataan yang lembut dan enggan mengutuk tentera Myanmar.

Myanmar
Presiden China Xi Jinping bersama pemimpin pro-demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyii.

Kerajaan China menerusi agensi berita rasminya, Xinhua hanya berkata apa yang berlaku di Myanmar itu hanyalah suatu “rombakan cabinet” dan mahukan semua pihak “mengatasi perbezaan pendapat dengan baik” serta “mengekalkan kestabilan politik dan social.”

Kenyataan “lembut” China ini boleh dilihat daripada beberapa segi, pertama mungkin kerana ia tidak mahu mencampuri urusan domestic negara jiran tetangganya atau, kedua, ia mahu “mengambil hati” pihak tentera Myanmar yang kini memegang tampuk kuasa dengan mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang keras.

Sebagai negara jiran, China dengan syarikat-syarikat mempunyai pelbagai projek besar di Myanmar daripada saluran paip minyak dan gas, pelabuhan, projek Empangan Myintsone bernilai US$3.6 bilion dan pelbagai projek lain.

Pelabuhan Kyaukphyu bernilai US$2.7 billion juga penting dalam hubungan China-Myanmar kerana pelabuhan laut dalam itu dikatakan akan memberikan Beijing akses kepada Lautan Hindi.

myanmar

 

Beijing dengan kuasa vetonya di Majlis Keselamatan PBB, dijangka akan menggunakan peluang daripada kuasa tentera ini untuk meluaskan pengaruhnya terhadap pihak tentera Myanmar.

Dengan Majlis Keselamatan PBB bakal bermesyuarat untuk membincangkan isu rampasan kuasa tentera di Myanmar, China dijangka menggunakan kuasa vetonya itu untuk “menyelamatkan” tentera Myanmar daripada dikenakan “hukuman” oleh badan dunia itu.

Penggunaan kuasa veto oleh China itu bakal merapatkan lagi hubungan Beijing dengan pihak tentera Myanmar.

Beberapa hari lepas, timbalan Menteri Pertahanan Jepun Yasuhide Nakayama dilaporkan berkata, dunia berhadapan dengan risiko “menolak” Myanmar ke pangkuan China jika mereka mengambil pendekatan menutup sebarang hubungan dengan negara Asia Tenggara itu.

China sememangnya mahu seluruh dunia menghukum Myanmar supaya negara Asia Tenggara itu lebih bergantung dengannya.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...