Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

500 Kenderaan Perisai Israel “Rosak” Dibedil Pejuang Palestin – Media Israel

Akhbar berbahasa Hebrew Israel, Maariv melaporkan bahawa 500 kenderaan perisai tentera Israel rosak akibat dibedil oleh pejuang Palestin, dengan beberapa dozen daripada kenderaan perisai yang rosak tidak lagi boleh diperbaiki lagi dan dilupuskan daripada perkhidmatan angkatan tentera negara itu.

0 14,562

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kira-kira 500 buah kenderaan perisai milik tentera Israel mengalami kerosakan akibat dibedil oleh pejuang Palestin sejak konflik di Semenanjung Gaza tercetus pada Oktober pada tahun lepas, menurut laporan oleh akhbar Israel, Maariv.

Akhbar berbahasa Hebrew Israel itu berkata bahawa beberapa dozen daripada kenderaan perisai itu yang rosak tidak boleh diperbaiki lagi dan dilupuskan daripada perkhidmatan angkatan tentera negara itu.

Pihak tentera Israel telah menubuhkan dua buah pusat lojistik di dalam Semenanjung Gaza untuk memperbaiki kenderaan-kenderaan miliknya yang rosak akibat konflik dengan kumpulan pejuang Palestin termasuk kereta perisai dan kereta kebal.

Akhbar Maariv Israel itu juga melaporkan bahawa anggota tenteranya yang bertanggungjawab memindahkan kenderaan-kenderaan itu ke Semenanjung Gaza berada di dalam keadaan yang tertekan daripada segi fizikal dan mental.

“Sekiranya anggota tentera Israel itu dipanggil untuk berperang di selatan Lubnan, mereka akan berada di sana (selatan Lubnan) tetapi mereka tidak akan berada di dalam keadaan yang baik,” kata akhbar itu.

Gaza

Ketegangan di kawasan sempadan Lubnan-Israel semakin hangat akhir-akhir ini, membuatkan ramai pihak meramalkan bahawa perang di antara tentera Israel dan pejuang Hezbollah bakal tercetus pada bila-bila masa.

Pada Disember tahun lepas, pemerhati pertahanan antarabangsa melaporkan bahawa  sejak bermulanya konflik bersenjata di diantara pejuang Palestin dan Hezbollah dengan tentera Israel pada 7 Okt hingga ke hari ini, sebanyak 335 buah  kenderaan pelbagai jenis milik tentera Israel dilaporkan musnah atau rosak akibat pertempuran setakat ini.

 Kenderaan milik tentera Israel yang dilaporkan musnah atau rosak akibat pertempuran yang berlaku di Gaza, Israel serta selatan Lubnan itu termasuklah kereta-kereta perisai, kereta kebal, helikopter, bas, lori tangki dan lain-lain.  

Sebelum ini Defence Security Asia melaporkan bahawa berdasarkan kepada imej-imej satelit di utara Semenanjung Gaza, sebanyak 88 buah  kenderaan perisai dan kereta kebal milik tentera Israel dilaporkan musnah atau rosak teruk akibat bedilan senjata anti-kereta kebal oleh unit-unit kecil pejuang Palestin.

Laporan oleh pemerhati pertahanan antarabangsa yang memantau apa yang berlaku di Gaza ketika ini menyatakan bahawa jumlah itu melibatkan 23 peratus daripada 383 buah  kenderaan perisai milik tentera Israel yang dikesan oleh satelit beraksi di utara Semenanjung Gaza.Palestin

Kejayaan oleh anggota Briged Al-Qassam, Hamas dan Hezbollah memusnah dan menyebabkan kerosakan teruk kepada kenderaan perisai atau  kereta kebal Merkava  yang digunakan oleh tentera Israel telah diperakui oleh pemerhati pertahanan antarabangsa.

Laporan kemusnahan dan kerosakan yang tinggi dialami oleh kenderaan perisai tentera Israel di bahagian utara Semenanjung Gaza adalah selari dengan laporan kematian serta kecederaaan dialami oleh pegawai dan anggota pasukan armor Israel, sebagaimana dilaporkan oleh media-media Israel.

Sementara itu laporan turut menyatakan bahawa konflik di antara Palestin dan Israel ketika ini telah menyebabkan ekonomi negara Yahudi itu terpaksa menanggung kerugian sebanyak US$48 bilion (RM216 bilion) untuk tahun ini dan tahun depan.

Syarikat Leader Capital Market dalam laporannya menyatakan bahawa kerajaan Israel akan menanggung dua pertiga daripada kos keseluruhan perang itu manakala satu pertiga ditanggung oleh Amerika Syarikat menerusi bantuan ketenteraannya.

Palestin

Kementerian Kewangan Israel juga menyatakan bahawa konflik ketika ini menyebabkan negara Yahudi itu terpaksa berbelanja sebanyak US$270 juta (RM1.2 bilion) setiap hari untuk melaksanakan peperangan itu.

Peperangan itu bermakna kerajaan Israel terpaksa meminjam daripada sumber-sumber luar untuk membiayai ekonominya yang terjejas teruk akibat peperangan itu. — DSA

Comments
Loading...