Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

KD Lekiu Sertai Multinational Group Sail Dari Guam ke Hawaii Untuk RIMPAC 2024

Menurut kenyataan media sosial oleh TLDM, pelayaran secara berkumpulan di bawah "Multinational Group Sail" itu bermula dari Guam menuju ke Hawaii dan telah dirancang sebagai persiapan awal kapal-kapal terlibat sebelum menyertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024.

0 2,795

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Lekiu telah belayar dari Guam pada14 Jun lalu selepas sesi ulang bekal dan telah menyertai Multinational Group Sail (MNGS) bersama kapal-kapal tentera laut negara luar.

Menurut kenyataan media sosial oleh TLDM, pelayaran secara berkumpulan itu bermula dari Guam menuju ke Hawaii dan telah dirancang sebagai persiapan awal kapal-kapal terlibat sebelum menyertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024.

Antara kapal yang terlibat bersama KD Lekiu adalah kapal Tentera Laut Singapura (RSS Stalwart) yang mengkoordinasikan latihan ini sebagai Ketua Gugus Tugas MNGS bersama Tentera Laut Diraja Brunei (KDB Darussalam dan KDB Darulaman), TNI-AL (KRI Raden Eddy Martadinata) dan Tentera Laut Korea Selatan (ROKS Chunmugong Yi Sun-Sin).

Latihan fasa laut bagi MNGS ini telah dimulakan dengan siri latihan PHOTEX, GUNEX, DIVTAC, PUBEX, ADEX dan SCREENEX.

Siri latihan ini juga turut melibatkan pesawat Super Lynx yang diterbangkan dari ROKS Chunmugong Yi Sun-Sin.

Beberapa siri formasi seperti Diamond Formation, Arrow Formation dan Fan out Formation telah dilaksanakan dengan jayanya.

RIMPAC
(kredit TLDM)

 

Eksesais RIMPAC edisi ke-29 ini berlangsung dari 27 Jun hingga 1 Ogos 2024 dan merupakan latihan maritim antarabangsa terbesar dunia.

Latihan maritim itu merupakan eksesais multilateral terbesar di dunia dan RIMPAC 2024 bakal menyaksikan penyertaan lebih dari 30 negara dengan penglibatan sebanyak 40 buah kapal, empat kapal selam dan 170 pesawat.

Pada 30 Mei lalu, kapal friget kelas-Lekiu TLDM “KD Lekiu” (FFG30) memulakan pelayaran daripada Pangkalan TLDM di Lumut unutk menyertai Eksesais Rim of the Pacific (RIMPAC) 2024 di Pearl Harbor, Hawaii, menurut kenyataan media sosial oleh TLDM.

RIMPAC 2024 merupakan penglibatan ketiga TLDM dan kali kedua bagi KD Lekiu yang telah menyertainya buat kali pertama pada tahun 2018 dan diteruskan dengan penyertaan KD Lekir pada tahun 2022.

Menurut kenyataan oleh TLDM itu, objektif eksesais kali ini adalah untuk melatih keupayaan gabungan pasukan RIMPAC dalam persekitaran maritim dinamik bagi menunjukkan kesalingoperasian berterusan merentasi spektrum penuh operasi ketenteraan.

RIMPAC
(kredit TLDM)

 

Sepanjang eksesais ini, KD Lekiu yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Kepten Mahamad Nazir bin Darus TLDM, akan menempuh tempoh pelayaran hampir 100 hari, merangkumi jarak pelayaran sejauh 12,730 batu nautika.

Kapal juga akan melaksanakan pelbagai latihan yang dirancang, termasuk penembakan misil ke sasaran kapal sebenar.

Penyertaan TLDM dalam RIMPAC 2024 membawa beberapa mesej penting dan manfaat kepada negara iaitu menunjukkan keupayaan dan kesiapsiagaan TLDM dalam melaksanakan operasi maritim yang kompleks dan mencabar, menurut TLDM.

Ia juga meningkatkan kesalingoperasian antara TLDM dengan kesemua angkatan laut antarabangsa yang menyertai eksesais ini.

Di samping itu juga, penyertaan ini akan memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dan pertahanan Malaysia dengan negara-negara lain melalui interaksi dan kerjasama erat. 

RIMPAC
(kredit TLDM)
KD Lekiu
KD Lekiu (kredit TLDM)

 

Kapal friget kelas-Lekiu merupakan aset moden utama di dalam armada Tentera Laut Diraja Malaysia.

Terdapat dua buah friget di dalam kelas ini iaitu FFG29 KD Jebat dan FFG30 KD Lekiu.

Frigat ini telah dibina oleh syarikat Yarrow Shipbuilders UK di Glasgow (kini BVT Surface Fleet) berdasarkan rekabentuk friget ringan, FS 2000. 

KD Lekiu telah dilancarkan pada bulan Disember 1994 sementara KD Jebatpula dilancarkan pada bulan Mei 1995. — DSA

 

Comments
Loading...