Xinjiang, Antara Limpahan Kekayaan Alam Dan Penindasan

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Apabila kita berbincang tentang Wilayah Autonomi Xinjiang di China, fokus utama kita tidak lain adalah terhadap penindasan yang dilakukan oleh pentadbiran Beijing terhadap masyarkat etnik Uighur yang beragama Islam.
Nasib yang menimpa etnik Uighur di Xinjiang adalah amat malang kerana Wilayah Autonomi Xinjiang bukanlah wilayah yang miskin dan tandus, tetapi ia adalah sebuah wilayah yang dikurniakan dengan pelbagai sumber kekayaan alam terutamanya minyak dan gas serta arang batu.

Masyarakat Uighur di Xinjiang sepatutnya telah lama maju ke depan dengan penduduknya menikmati kekayaan daripada sumber asli mereka, bukan direjam dengan pelbagai episod kekejaman dan penindasan.
Bukan sahaja mereka dinafikan daripada menikmati sumber asli wilayah mereka sendiri, tetapi etnik Uighur ditekan dengan kejam daripada setiap sudut, terbaru adalah laporan daripada suruhanjaya berkecuali di Amerika Syarikat iaitu “Congressional Executive Commission on China (CECC)” atau “Suruhanjaya Eksekutif Kongres Tentang China” yang mengatakan China berkemungkinan telah melakukan pembunuhan beramai-ramai (genocide) terhadap etnik Uighur dan lain-lain minoriti Islam di Xinjiang.

Kekejaman yang berlaku di Xinjiang itu amat tidak selari dengan kedudukan wilayah itu yang dilimpahi dengan pelbagai sumber kekayaan terutamanya minyak dan gas.
Penduduk Xinjiang telah lama mengetahui wilayah mereka itu amat kaya dengan minyak, lama sebelum ia bernaung di bawah Republik Rakyat China.
Seawal kurun ke-19, penduduk di Xinjiang telah mula mengangkut minyak asli di dalam baldi untuk menyalakan api di dapur serta tanglung bagi menerangi kegelapan di rumah, malah, kajian geologi sejak di zaman Qing (1644-1911) mengatakan bahawa minyak asli diketahui telah mengalir daripada rekahan-rekahan bumi di bumi bertuah Xinjiang itu.
Begitulah catatan sejarah yang merekodkan kekayaan wilayah Xinjiang dengan sumber minyaknya, malah wilayah bergolak ini juga adalah pengeluar gas asli kedua terbesar di China.
Di wilayah Xinjiang, dimana penduduk asalnya ditekan dengan begitu hebat oleh pemerintahnya, syarikat minyak negara itu, Petro China pada 2017 telah mengumumkan penemuan sebuah telaga minyak yang dikatakan antara terbesar pernah ditemuinya.
Ia dinamakan Lembangan Junggar atau “Junggar Basin.”
Comments are closed.