(DEFENCE SECURITY ASIA) — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak bakal menempatkan sebuah Kapal Peronda Luar Pantai (OPV) KM Tun Fatimah di perairan sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) yang kerap kali diceroboh oleh kapal pengawal pantai China.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, APMM Sarawak dijangka menerima sebuah OPV selewat-lewatnya Jun tahun ini, yang akan memantapkan lagi penguatkuasaan Maritim Sarawak dalam mengawal perairan negara.
(Sila LIKE dan SUBSCRIBE You Tube Channel “DEFENCE SECURITY ASIA”)
“Kapal pertama yang dinamakan KM Tun Fatimah dijangka dihantar ke sini sekitar April atau Jun, dan ditempatkan di Beting Patinggi Ali.”
“Cabaran di Sarawak adalah keluasan perairan negeri ini seluas 239,605 kilometer persegi yang merupakan perairan negeri paling luas berbanding negeri-negeri lain,” katanya kepada pemberita di Kuching hari ini. Beliau berkata, sepanjang tahun lepas Maritim Sarawak telah memeriksa 15,450 buah vesel, dengan 71 daripadanya ditahan untuk siasatan bagi pelbagai kesalahan.
Kapal OPV menurutnya amat diperlukan di Sarawak, kerana ia mampu bertahan sehingga sebulan beroperasi di laut.
Buat masa ini kata beliau, pihaknya mendapat bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekiranya operasi Maritim memerlukan kapal yang lebih besar.
Zin Azman sebelum ini telah menyaksikan simbolik pemindahan Kapal KM Semilang ke Zon Maritim Tanjung Manis, di Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) di Muara Tebas dekat sini hari ini.
Beliau berkata penghantaran kapal KM Semilang itu akan dapat membantu meningkatkan kemampuan operasi penguatkuasaan di Zon Maritim Tanjung Manis, kerana menurutnya setakat ini hanya ada sebuah bot Maritim di Tanjung Manis.