(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menjelang tahun 2030, bilangan kapal selam China akan mengatasi Amerika Syarikat, sekaligus menjadikan negara itu sebagai kuasa bawah permukaan air (underwater) yang baru di dunia.
Pada 2030, bilangan kapal selam China akan mengatasi Amerika sekurang-kurangnya sebanyak 10 buah.
“Pada 2030, tentera laut China (PLAN) dijangka akan memiliki 76 buah kapal selam, mengatasi Amerika Syarikat sekurang-kurangnya 10 buah,” menurut satu laporan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dipanggil “China Naval Modernization.”
Melihatkan kepada pelaburan besar-besaran China di dalam pembangunan angkatan tenteranya terutama tentera laut, maka rumusan yang dibuat oleh laporan kerajaan Amerika Syarikat itu adalah amat lojik. China dikatakan telah membesarkan limbungan kapal di Bohai yang membina kapal-kapal selam berkuasa nuklearnya.
Beberapa kelas baru kapal-kapal selam serang (attack submarines) dan balistik (ballistic missiles submarines) China dijangka muncul tidak lama lagi.
Pada ketika ini, bilangan kapal selam yang dimiliki oleh China adalah 66 buah berbanding 68 buah yang dimiliki oleh Amerika Syarikat.
Walaupun begitu, kedua-dua negara itu masih tidak dapat mengatasi Korea Utara yang dipercayai memiliki 71 buah kapal selam, menjadikan negara Komunis itu sebagai kuasa kapal selam nombor satu didunia, diikuti oleh Amerika dan China.
Russia ditempat keempat dengan 64 buah kapal selam.
Ini adalah kajian daripada segi bilangan kapal selam tetapi daripada segi keberkesanan, teknologi Amerika dan Russia adalah jauh dihadapan berbanding negara-negara lain.
Admin rasa apa yang mahu ditonjolkan oleh laporan oleh kerajaan Amerika Syarikat itu adalah bagaimana China berusaha keras untuk merapatkan jurangnya dengan negara-negara lain di dalam kemampuan angkatan kapal selamnya.
Bagaimanapun Amerika akan meningkatkan bilangan kapal selam dengan membina sekurang-kurangnya tiga buah kapal selam jenis “Virginia” di dalam tempoh setahun, seterusnya meningkatkan bilangan keseluruhan kapal selamnya daripada 70 buah pada 2022 kepada 92 buah pada 2051.
Kapal selam Virginia adalah kapal selam berkuasa nuklear pembawa peluru-peluru berpandu kruis.
Bernilai di antara US$2.8 bilion hingga US$3.4 bilion, kapal selam Virginia ini berkemampuan membawa sehingga 12 buah peluru berpandu kruis “Tomahawk” dan torpedo.
Comments are closed.