(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Nasional Indonesia (TNI) diberitakan akan mengikut jejak angkatan tentera beberapa negara lain seperti Thailand, Filipina, Vietnam, India dan beberapa negara lain dalam menggunakan raifal IWI Tavor X95, yang sebelum ini dikenali sebagai “Micro Tavor”.
IWI Tavor X95 ini diperbuat oleh syarikat pertahanan negara Yahudi, Israel Weapon Industries (IWI).
Menurut page Facebook Lembaga Kajian Pertahanan Strategis, ujian terhadap raifal yang mempunyai berat kira-kira 3kg itu telah dijalankan oleh Depo Pemeliharaan 60 yang dihadiri oleh beberapa pegawai kanan TNI.
Page Facebook itu mengatakan raifal IWI Tavor X95 terbabit akan digunakan oleh Korps Pasukan Khas (Korpaskhas) TNI-Angkatan Udara, yang merupakan pasukan khas bagi angkatan udara Tentera Nasional Indonesia. Korpaskhas itu juga dipanggil “Baret Jingga” (Orange Beret) berdasarkan kepada warna beret yang dipakai mereka.
Korpaskhas ini juga digelar “Hantu Udara.”
Pasukan khas TNI-Angkatan Udara ini boleh disamakan seperti Pasukan Khas Udara (PASKAU) kita.
Penggunaan sistem persenjataan Israel oleh tentera Indonesia bukanlah sesuatu yang asing, sebagai contohnya, Indonesia menggunakan UAV Heron MALE (Medium Altitude Long Endurance) yang diperbuat oleh syarikat, Israel Aerospace Industries (IAI).
Beberapa unit tentera Daratnya juga dikatakan menggunakan raifal Galil dan Uzi.
Hubungan ketenteraan di antara Jakarta dan Tel Aviv sebenarnya telah berlangsung lama, cuma ia disenyapkan supaya tidak membangkitkan kemarahan penduduk Indonesia yang majoritinya adalah beragama Islam.
Pada 1980, Indonesia secara senyap-senyap telah membeli 32 pesawat pejuang Skyhawk buatan Amerika Syarikat yang telah dilucut operasi oleh tentera udara Israel.
Comments are closed.