Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[Video] Ejen Mossad Israel Bunuh “Bapa Pembangunan Senjata Nuklear” Iran

857

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di dalam insiden yang bakal mendekatkan lagi konflik bersenjata diantara Israel-Iran-Amerika Syarikat, ejen-ejen Mossad telah membunuh saintis nuklear Iran, Dr Mohsen Fakhrizadeh Mahabadi yang dianggap sebagai “bapa pembangunan senjata nuklear Iran” di Teheran.

Dr Mohsen yang mengetuai bahagian penyelidikan di Kementerian Pertahanan Iran dibunuh ketika berada di dalam kereta di Persian Gulf Square of Absard di timur Teheran.

Didakwa, Mossad telah mengawasi pergerakan Dr Mohsen selama enam tahun.

Seperti biasa, ini adalah satu lagi contoh “targeted killing” yang biasanya dilakukan oleh ejen-ejen Israel terhadap musuh negara itu dan saintis nuklear Iran sejak beberapa tahun kebelakangan ini memang menjadi sasaran utama agensi perisikan Israel itu yang mahu membantutkan usaha Iran untuk membangunkan senjata nuklear.

Iran
Kereta membawa saintis nuklear Iran, Dr Mohsen Fakhrizaden selepas insiden pembunuhannya. (foto twitter)

Dibawah agensi perisikan Mossad, ada satu unit pembunuh dikenali dengan nama “Kidon” yang bermaksud “tip of spear” di dalam Bahasa Hebrew.

Unit-unit Kidon inilah yang bergerak ke serata dunia melakukan “targeted killing” terhadap musuh-musuh Israel termasuk kemungkinan besar Dr Fadi Al-Batsh, pensyarah Palestin yang dibunuh di Setapak, Kuala Lumpur tidak lama dahulu.

Pihak berkuasa negara Yahudi itu mendakwa Dr Fadi merupakan pakar dron Palestin.

Israel mengharapkan menerusi pembunuhan saintis nuklear Iran itu akan melumpuhkan pembangunan senjata nuklear oleh negara Syiah itu.

Menurut laporan dari Iran, sekurang-kurangnya di antara dua hingga empat orang ejen Mossad terlibat dalam pembunuhan saintis nuklear Iran itu dan kesemua mereka berjaya melarikan diri menggunakan motosikal.

(rakaman video selepas kejadian pembunuhan Dr Mohsen)

Kesemua ejen Mossad itu menaiki kenderaan berwarna putih dpercayai Toyota Prado dan menghampiri kereta membawa Dr Mohsen sebelum meletupkan bahan letupan yang menghentikan kereta dipandu pemandu saintis nuklear itu.

Mereka kesemuanya menghujani kereta Dr Mohsen dengan tembakan bertali-arus menyebabkan kematian saintis nuklear itu manakala pemandu dan pengawal peribadinya pula dilaporkan mengalami kecederaan parah.

Iran
Kereta Toyota Prado yang dpercayai dinaiki oleh ejen-ejen Mossad Israel yang terlibat dalam pembunuhan Dr Mohsen. (foto Twitter)

Selepas kejadian, pihak berkuasa Iran cuba menerbangkan Dr Mohsen ke hospital berdekatan menggunakan helikopter, tetapi saintis nuklear terkemuka Iran itu telah meninggal dunia.

Beberapa tahun lalu, Mossad mendakwa Dr Mohsen sedang melakukan penyelidikan tentang rekabentuk dan pengeluaran peledak nuklear bagi peluru berpandu ballistic Iran.

Iran
Dokumen yang dikeluarkan oleh Israel tentang peranan Dr Mohsen dalam pembangunan senjata nuklear Iran. (foto Twitter)

Sementara itu, komander Kor Pengawal Revolusi Iran Hossein Salami telah mengeluarkan arahan untuk membalas dendam terhadap pembunuhan Dr Mohsen.

Pemerhati menjangkakan diplomat-diplomat Israel bakal menjadi sasaran balas oleh ejen-ejen Kor Pengawal Revolusi Iran dalam tindakan balas ini.

Iran
Komander Pengawal Revolusi Iran Hossein Salami telah mengeluarkan arahan untuk membalas dendam atas kematian Dr Mohsen.

Pembunuhan Dr Mohsen ini berlaku beberapa hari selepas Iran membebaskan seorang professor warga Australia yang ditahannya atau tujuan mengintip.

Pentadbiran Israel beberapa hari lepas mengatakan hari-hari akhir pentadbiran Presiden Donald Trump sebagai “amat berbahaya”, kerana mereka menjangkakan ia akan digunakan oleh Amerika Syarikat dan Israel untuk menyerang pusat-pusat nuklear Iran.

Iran
Professor warga Australia, Kylie Moore-Gilbert didakwa atas tuduhan mengintip oleh kerajaan Iran.

Jika itu berlaku, seluruh rantau Timur Tengah akan terlibat dalam peperangan.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.