(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hari ini, admin ingin menulis tentang pengalaman menakutkan yang dialami oleh sekumpulan lapan orang anggota Marin di Afghanistan pada tahun Jun 2009 ketika konflik di antara Amerika Syarikat dan Taliban.
Ia adalah suatu kisah yang benar.
Walaupun artikel ini tidak banyak menyentuh tentang isu keselamatan dan pertahanan terkini, tetapi admin terpanggil untuk menulisnya kerana ia melibatkan sisi cabaran anggota tentera di medan peperangan.
Kadangkala, cabaran di medan peperangan itu bukan sahaja datang daripada musuh yang nyata tetapi juga daripada benda-benda yang tidak nyata.
Lapan anggota Marin Amerika itu ditugaskan untuk mengambilalih tugas pengawasan di OP Rock yang terletak di Wilayah Helmand, Afghanistan daripada tentera British yang memikul tanggungjawab itu sebelum ini.
OP itu bermaksud “Observation Post” atau “Post Pemerhatian.”
Sebelum meninggalkan OP Rock yang selia mereka selama 60 hari, anggota tentera British itu telah meninggalkan satu pesanan kepada Sarjan Green daripada US Marin.
“Jika anda menggali dan menemui sesuatu di OP Rock, jangan ambilnya. Letak kembali di mana anda temuinya,” pesan anggota tentera British itu.
Kumpulan anggota British itu turut meninggalkan seekor anjing diberi nama “Ugly Betty” untuk membantu tugas pengawasan anggota tentera Amerika.
Anggota Marin ini akan berada di OP Rock selama 60 hari.
Tugas pengawasan pada malam pertama di OP Rock diberikan kepada Koperal Lena, yang menganggap ia sama seperti tugas-tugas pengawasan yang sama seperti apa yang telah dilakukannya selama ini.
Tidak lama selepas memulakan tugasnya, beliau mendengar bunyi daripada radionya, seolah-olah bunyi sesuatu transmisi yang gagal masuk.
Bunyi transmisi itu berlaku beberapa kali, menyebabkan Lena memeriksa sama ada radio beliau itu mengalami kerosakan termasuk mengeluarkan baterinya.
Kejadian itu berlaku sehingga pagi.
Apabila pagi dan tugasnya telah tamat, Lena menanyakan kepada tujuh lagi rakan-rakannya sama ada mereka cuba menghubunginya semalam dan jawapan mereka adalah, kesemuanya tidur nyenyak seperti bayi baru lahir.
Lena cuba menenangkan perasaannya dan berkata mungkin radionya mengalami kerosakan atau seseorang di pengkalan cuba menghubunginya.
Selepas malam pertama di OP Rock itu, anggota tentera Amerika meninjau keadaan sekeliling pos pemerhatian itu dan mendapati kubu-kubu (trenches) tidak digali dengan dalam.
Kubu-kubu yang tidak dalam itu menurut Sarjan Green, menyukarkan mereka bertahan sekiranya diserang oleh Taliban dan mengarahkan anggota tentera beliau untuk mengali kubu-kubu itu untuk mendalamkannya lagi.
Sedang kesemua mereka sedang sibuk mengali kubu itu, Lena telah menemui satu alat kejuruteraan dengan tulisan bahasa Russia.
Lena dan rakan-rakannya tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang pelik kerana tahu bahawa tentera Russia pernah berada di Afghanistan pada 1980-an.
Mereka terus menggali kubu-kubu itu buat beberapa ketika sebelum seorang lagi anggota tentera dikenali dengan nama “Smith” menemui beberapa kepingan porselin yang dipercayai digunakan oleh anggota tentera Russia.
Tidak lama selepas penemuan porselin itu, Smith menemui sesuatu yang memeranjatkan semua rakan-rakannya di dalam kubu itu.
Anggota tentera yang hanya berusia sekitar 20-an itu telah menemui sebatang tulang manusia di dalam kubu di OP Rock itu.
Tulang itu dipercayai “femur” iaitu tulang peha manusia.
Mereka meneruskan penggalian di kubu terbabit dan sepanjang penggalian itu mereka menemui lebih banyak tulang-tulang manusia termasuk tengkorak di dalam kubu itu.
Mereka menamatkan kerja-kerja penggalian kubu-kubu di OP Rock dengan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Milik siapa tulang-tulang itu?
Beberapa hari berlaku dan pada satu malam, Lena yang sedang tidur nyenyak dikejutkan oleh satu suara jeritan amat kuat.
Memikirkan salah seorang rakannya telah diculik oleh anggota Taliban, Lena mengambil senjata dan memeriksa kawasan sekeliling sebelum bertembung dengan rakannya, Wilson yang turut terdengar jeritan itu.
Sedang mereka memeriksa kawasan sekeliling OP Rock itu, mereka terdengar ada pergerakan di luar perimeter pos pemantauan itu.
Lena mengeluarkan alat NVG (Night Vision Goggle) miliknya untuk melihat pergerakan di hadapan pos pemantauan itu dan terlihat kelibat seseorang berlari dengan pantas ke arah semak-samun berhampiran OP Rock itu
Untuk mendapatkan lebih kepastian tentang pergerakan itu, Wilson mengeluarkan alat Thermal Imaging tetapi alat itu gagal mengesan sebarang kesan haba daripada lokasi pergerakan itu.
Apa yang kelihatan adalah haba daripada Ugly Betty yang memerhati dengan tepat ke lokasi pergerakan itu sambil mengeluarkan lolongan yang panjang seolah-olah ada “sesuatu” sedang bersembunyi di sebalik semak-samun itu.
Lena dan Wilson meneruskan pemerhatian mereka sepanjang malam, tetapi tidak dapat mengesan apa-apa, walaupun Ugly Betty terus-menerus melolong sepanjang malam.
Kejadian sebegini berlaku beberapa kali sepanjang anggota tentera Amerika itu ditugaskan di OP Rock.
Ada dikalangan mereka yang nampak menerusi alat NVG pergerakan kelibat seperti seorang anggota tentera di hadapan OP Rock tetapi apabila menggunakan Thermal Imaging, mereka gagal mengesan sebarang kesan haba dihasilkan oleh manusia.
Pada ketika inilah, mereka menyedari bahawa mereka sedang berhadapan dengan sekumpulan “anggota tentera” yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar atau paranormal.
Dalam satu malam yang amat panas dengan suhu persekitaran mencanak naik, Wilson yang ditugaskan mengawasi mesingan kumpulan telah bertindak menanggalkan helmet tempur kerana tidak sudah tidak tahan kepanasan.
Bagaimanapun, tiba-tiba suhu sekeliling di kedudukan Wilson itu jatuh mendadak dan keadaan menjadi amat sejuk sebelum anggota tentera itu terdengar satu suara yang berbisik di telinganya di dalam Bahasa Russia.
Beliau memandang ke belakang kearah suara itu, tetapi tidak menemui sesiapa.
Menghampiri hari-hari terakhir penugasan mereka di OP Rock, kesemua anggota tentera Marin dibawah kendalian Sarjan Green telah berhadapan dengan beberapa peristiwa pelik.
Pada malam ke-59, iaitu sehari sebelum mereka dijadual meninggalkan OP Rock, seperti biasa anggota tentera Marin itu menjalankan tugasan mereka seperti biasa.
Beberapa jam selepas tengah malam, radio mereka mulai mengalami kerosakan dan tidak boleh berkomunikasi sama ada sesama mereka atau dengan pengkalan.
Selepas itu, secara tiba-tiba pos pemantauan OP Rock yang menjadi rumah mereka selama 59 hari telah menjadi sasaran serangan hebat.
Ratusan butir peluru menghujani OP Rock, termasuk letupan-letupan RPG yang mengegarkan pos pemantauan mereka itu.
Kesemua anggota tentera itu tidak mempunyai pilihan kecuali berlindung dan berbaring di kubu-kubu di sekeliling OP Rock, sambil mengharap serangan bertali-arus itu berakhir.
Cubaan untuk menghubungi pengkalan bagi meminta bantuan menangani serangan ini menemui jalan buntu kerana radio mereka gagal berfungsi.
Serangan hebat yang mereka percayai dilakukan oleh Taliban itu berakhir menjelang Subuh, tetapi Sarjan Green mengarahkan anak-anak buahnya terus berlindung sehingga keadaan terang dan beliau benar-benar pasti serangan itu telah tamat.
Apabila kecerahan pagi itu muncul, Green dan anak-anak buahnya keluar dari kubu mereka dan memeriksa kawasan sekeliling di OP Rock.
Apa yang memeranjatkan mereka adalah, tidak ada kesan peluru atau letupan langsung di kawasan OP Rock.
OP Rock tetap seperti biasa, sebagaimana pada hari pertama mereka menjejakkan kaki di pos pemantauan itu.
Jika begitu, apa yang menyerang mereka semalam? Merupakan persoalan yang berlegar-legar di dalam pemikiran Sarjan Green dan anak-anak buahnya.
Tidak lama selepas meninggalkan OP Rock itu, barulah anggota tentera Marin itu mengetahui kisah sebenar disebalik pos pemantauan itu.
Rupa-rupanya, OP Rock pernah diduduki oleh anggota tentera Russia sebelum kedudukan mereka itu diserang dan ditawan oleh pejuang-pejuang Mujahidin.
Dikatakan anggota tentera Russia itu telah dibunuh di OP Rock dan mayat-mayat mereka ditanam di situ.
Selepas itu, OP Rock yang diduduki oleh pejuang Mujahidin telah diserang dan ditawan oleh Taliban yang juga didakwa telah bertindak kejam dengan menamatkan riwayat pejuang-pejuang Mujahidin yang menduduki pos pemantauan itu.
Jadi, sebenarnya Sarjan Green dan anak-anak buahnya bukan ditugaskan untuk mengawasi sebuah pos pemantauan tetapi mereka mengawasi sebuah kawasan kubur.
Comments are closed.