Walau Pengeluaran Didakwa Bermasalah, Tentera Udara Russia Terima Dua Su-57 Felon Terbaru
Kedua-dua pesawat pejuang Su-57 yang dilapor baru diterima oleh Tentera Udara Russia itu tertera nombor 25 dan 26, dilaporkan adalah penghantaran pertama pesawat pejuang Su-57 kepada tentera udara negara itu pada tahun 2025.
(DEFENCE SECURITY ASIA)—Walaupun didakwa berhadapan dengan masalah pengeluaran pesawat pejuang Su-57 Felon, namun Tentera Udara Russia dilaporkan baru sahaja menerima dua buah lagi pesawat pejuang generasi kelima itu baru-baru ini.
Kedua-dua pesawat pejuang Su-57 yang dilapor baru diterima oleh Tentera Udara Russia itu tertera nombor 25 dan 26, dilaporkan adalah penghantaran pertama pesawat pejuang Su-57 kepada tentera udara negara itu pada tahun 2025.
Gambar kedua-dua pesawat pejuang Su-57 yang baru telah dikeluarkan di media sosial pada 10 April yang lalu.
Sehingga kini, tiada lagi pengesahan dairpada pihak berkuasa Russia atau pun pihak ROSTEC, membuatkan banyak pihak seluruh dunia tertanya-tanya sama ada Tentera Udara Russia benar-benar telah menerima dua buah Su-57 yang baru.
Kedua-dua buah pesawat pejuang Su-57 baru itu “dikesan” semasa ia dipindahkan ke sebuah pangkalan udara Russia yang tidak dikenalpasti.
Pemindahan kedua-dua pesawat juga dimaklumkan oleh pihak United Aircraft Corporation (UAC) atau Tentera Udara Russia, bagaimanapun diketahui bahawa ia adalah pesawat pejuang Su-57 yang baru sahaja siap dibina, ditambah pula dengan nombor-nombornya yang tidak pernah dilihat oleh awam sebelum ini.
Program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Su-57 terus berdepan pelbagai cabaran dari segi pengeluaran dan operasi, sekali gus menjejaskan keupayaan Rusia untuk menghasilkannya dalam skala besar.
Walaupun pesawat ini secara rasmi diumumkan memasuki perkhidmatan pada tahun 2020, didakwa kurang daripada 20 buah Su-57 dipercayai benar-benar beroperasi setakat awal tahun 2025—jauh daripada sasaran asal iaitu 76 unit menjelang tahun 2027.
Salah satu faktor utama kelewatan ini adalah kadar pengeluaran yang perlahan, yang didorong oleh halangan teknologi, kapasiti industri dan tekanan geopolitik.
Sekatan Barat—khususnya yang diperketatkan selepas pencerobohan Russia ke atas Ukraine pada tahun 2022—telah mengekang akses Moscow kepada peralatan canggih buatan asing seperti avionik, sensor, radar AESA dan sistem peperangan elektronik.
Keadaan ini memaksa industri pertahanan Russia bergantung kepada komponen buatan tempatan, namun banyak daripadanya masih dalam fasa pembangunan dan belum mencapai tahap keupayaan setaraf antarabangsa.
Dalam masa yang sama, asas industri pertahanan Russia turut dibebani dengan keperluan untuk menghasilkan sistem berteknologi rendah yang lebih murah dan cepat seperti dron, peluru berpandu dan pesawat pejuang legasi bagi memenuhi keperluan medan perang semasa.
Kemudahan pengeluaran utama pesawat Su-57, iaitu Komsomolsk-on-Amur (KnAAPO), turut terlibat dalam beberapa program lain seperti pesawat pejuang Su-35 dan prototaip Su-75 “Checkmate”, sekali gus menambah tekanan terhadap kapasiti pengeluaran dan tenaga kerja teknikal.

Satu lagi cabaran utama ialah kos per unit Su-57 yang tinggi, menjadikannya sukar untuk diperoleh secara besar-besaran walaupun oleh tentera Russia sendiri, dan pada masa sama menjejaskan potensi eksportnya.
Penarikan diri India daripada program FGFA pada tahun 2018 serta ketiadaan tempahan rasmi daripada negara luar menunjukkan masih wujud keraguan terhadap keberkesanan kos, prestasi dan kelestarian jangka panjang pesawat ini.
Akhir sekali, aspek integrasi operasi juga masih dalam peringkat awal, dengan cita-cita Russia untuk menggabungkan Su-57 ke dalam sistem peperangan bersepadu masa hadapan—terutamanya bersama dron stealth S-70 Okhotnik-B—masih di peringkat ujian penerbangan dan ujian sistem.
Selagi usaha integrasi ini belum matang dan masalah pengeluaran belum diselesaikan, Su-57 akan kekal sebagai platform berpotensi tinggi yang masih terhad oleh kekangan realiti semasa.
Tahun lepas, Tentera Udara Russia menerima pesawat-pesawat pejuang Su-57 dalam tiga penghantaran dengan penghantaran terakhirnya direkodkan pada Disember 2024.
Pesawat pejuang generasi kelima Su-57 itu dibina di kilang di Komsomolsk-on-Amur milik United Aircraft Corporation (UAC) yang terletak di wilayah Timur Jauh Russia.

Gambar-gambar terbaru serta laporan penghantaran pesawat itu muncul kira-kira dua bulan selepas Pengarah Komsomolsk-on-Amur Aircraft Production Association (KnAAPO), Yuri Kondratyev pada Februari 2025 mengumumkan bahawa varian terkini pesawat pejuang berkenaanakan diserahkan kepada Tentera Udara Russia pada tahun ini.
Beliau tidak memperincikan sebarang penambahbaikan khusus, namun timbul spekulasi bahawa varian terkini itu mungkin dilengkapi dengan enjin lebih canggih, iaitu AL-51F1 atau Product 30 (Izdeliye 30).
Awal tahun ini, Ketua United Aircraft Corporation (UAC), Vadim Badekha berkata bahawa apabila pengeluaran pesawat diperluas, ia akan dilengkapi dengan pelbagai ciri baharu.
“Platform Su-57 dibangunkan untuk jangka hayat minimum 40 hingga 50 tahun. Ia mempunyai seni bina terbuka dan mampu menggabungkan pelbagai teknologi dengan hanya sedikit pengubahsuaian pada sistem asas.”
“Integrasi Su-57 dengan pesawat tanpa pemandu (UAV) akan menjadi elemen teras dalam sistem peperangan masa hadapan. Dalam beberapa tahun akan datang, pelbagai ciri baru akan diperkenalkan secara berperingkat ke dalam Su-57 versi pengeluaran sebagai sebahagian daripada program pemodenan,” kata beliau.
Enjin tahap kedua AL-51F1 adalah komponen terakhir yang menjadikan pesawat pejuang Su-57 buatan Russia itu mematuhi sepenuhnya keperluan yang ditetapkan oleh negara itu bagi pesawat pejuang generasi kelima.
