Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Walau Dibantah China, Malaysia Tegas Teroka Minyak Dan Gas di Perairan Sarawak

Sebagaimana dipetik oleh Bernama, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau pasti bahawa penerokaan minyak dan gas yang dilakukan oleh Malaysia berada di dalam perairan negara, tetapi akan menjelaskan kedudukan tentang perkara itu kepada China.

0 5,708

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Malaysia akan meneruskan penerokaan minyak di dalam kawasan wilayahnya walaupun terdapat permintaan China untuk menghentikan serta-merta aktiviti cari gali minyak dan gas di perairan Sarawak itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebagaimana dipetik oleh Bernama, Anwar berkata beliau pasti bahawa penerokaan minyak dan gas yang dilakukan oleh Malaysia berada di dalam perairan negara, tetapi akan menjelaskan kedudukan tentang perkara itu kepada China.

“China adalah rakan kita, tetapi kita perlu beroperasi di dalam kawasan perairan kita untuk memastikan kita mendapat manfaat, termasuk penggerudian dalam kawasan wilayah negara.

“(Walaupun) Beijing hantar bantahan sebab dia rasa tu kawasan dia, kita terpaksa teruskan (aktiviti) sebab ini soal survival ekonomi negara kita,” kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia dalam sidang media pada hari terakhir lawatan kerja ke Rusia hari ini.

Anwar kini berada di bandar Vladivostok di timur jauh Rusia bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9.

Kapal China
Gambar dikirim pembaca Defence Security Asia menunjukkan kapal pengawal pantai China tidak jauh daripada platform minyak dan gas di perairan Sarawak.

 

Perdana Menteri berkata Malaysia dan China sentiasa dapat menyelesaikan pertikaian mereka melalui rundingan seperti dua rakan.

“Jika mereka terus mempertikaikan, kita boleh mendengar, dan mereka perlu mendengar, tetapi ia tidak boleh menjejaskan hubungan antara kedua-dua negara,” katanya.

Nota bertarikh 18 Feb itu menuntut Malaysia menghentikan serta-merta semua aktiviti di kawasan yang kaya dengan minyak di perairan Sarawak.

Nota tersebut diterbitkan dalam sebuah laporan oleh Philippine Daily Inquirer minggu lalu, yang menyatakan bahawa ia diperoleh daripada seorang wartawan Malaysia yang meminta untuk dirahsiakan identitinya.

Nota tersebut membantah penerokaan minyak dan gas oleh Malaysia di Beting Raja Jarum dan Beting Patinggi Ali (dirujuk sebagai Beikang Ansha dan Nankang Ansha dalam nota tersebut), yang merupakan terumbu yang merupakan sebahagian daripada Kepulauan Spratly dan didakwa oleh Malaysia sebagai sebahagian daripada zon ekonomi eksklusifnya.

China mendakwa aktiviti penerokaan Malaysia itu merupakan tindakan unilateral yang melanggar hak China ke atas kawasan tersebut, dan melanggar Deklarasi tentang Tata Laku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) serta Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).

Nine Dash Line
Menerusi Nine Dash Line, China menuntut keseluruhan Laut China Selatan sebagai miliknya. (kredit Internet)

 

China mendakwa mempunyai hak ke atas sebahagian besar Laut China Selatan melalui apa yang dikenali sebagai “Nine Dash Line”, termasuk Kepulauan Spratly.

Walaupun menyatakan “ketidakpuasan hati yang kuat” terhadap penerokaan minyak dan gas oleh Malaysia, nota tersebut juga mengundang Malaysia untuk berdialog dan bekerjasama.

Mengulas mengenai kebocoran itu, Wisma Putra berkata kementerian luar negeri sedang menjalankan siasatan dalaman tentang kebocoran maklumat terperingkat tersebut.

“KLN juga akan membuat laporan polis supaya siasatan turut dapat dibuat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan segera.” ujarnya. 

Semalam, tiga buah kapal pengawal pantai China dikesan berada di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) milik Malaysia di Laut China Selatan pada pagi, menurut pemerhati maritim antarabangsa, Ray Powell.

Powell menerusi ciapannya di dalam platform X (dahulu dikenali Twitter), ketiga-tiga buah kapal pengawal pantai China itu yang dikesan berada di dalam perairan ZEE Malaysia di Laut China Selatan itu dikenalpasti CCG 5403, CCG 5102 dan CCG 5402.

APMM
Kapal pengawal pantai China.

 

Aplikasi penjejakan kapal menunjukkan kapal-kapal pengawal pantai China CCG 5403 dan CCG 5102 dipercayai berada berhampiran dengan kawasan pembangunan gas Kasawari yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas di Blok 316 yang jelas berada di dalam kawasan perairan ZEE milik Malaysia.

Petronas Carigali, anak syarikat penuh Petronas merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan dan adalah operator Lapangan Gas Kasawari itu yang dianggarkan bernilai berbillion-billion ringgit.

Ditemui pada Novermber 2011, Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 di luar pantai Sarawak dalam Laut China Selatan itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.

Penemuan Lapangan Gas Kasawari oleh Petronas itu hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport gas asli dibekukan (Liquified Natural Gas – LNG) terbesar dunia. — DSA

 

Comments
Loading...