Vietnam Usaha Perluaskan Sumber Pertahanan di Tengah Kemerosotan Import Senjata Rusia
Pesawat serangan udara A-10 Thunderbolt dan pesawat pengangkut C-130 Super Hercules milik Tentera Udara Amerika Syarikat turut dipamerkan di landasan udara tentera Gia Lam, Hanoi, sempena acara tersebut.
HANOI (VIETNAM) — Pengeluar senjata utama dari Amerika Syarikat seperti Boeing dan Lockheed Martin, bersama syarikat Eropah Airbus dan firma dari China, mempamerkan produk mereka dalam pameran senjata di Hanoi semalam, ketika Vietnam berusaha untuk mempelbagaikan bekalan pertahanannya daripada bergantung sepenuhnya kepada Rusia.
Pesawat serangan udara A-10 Thunderbolt dan pesawat pengangkut C-130 Super Hercules milik Tentera Udara Amerika Syarikat turut dipamerkan di landasan udara tentera Gia Lam, Hanoi, sempena acara tersebut.
Beribu-ribu orang menghadiri pameran itu, termasuk ratusan tentera Vietnam yang berpakaian seragam, dengan sebahagian daripada mereka bergambar selfie bersama anggota tentera Amerika Syarikat menjelang ulang tahun ke-50 tamatnya Perang Vietnam pada tahun depan.
Pameran pertahanan ini turut menampilkan syarikat-syarikat dari China buat kali pertama, termasuk konglomerat pertahanan milik kerajaan Norinco (China North Industries Corporation).
Selama beberapa dekad, kerajaan Vietnam secara berterusan bergantung kepada bekalan senjata dari Rusia. Statistik dari Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) menunjukkan bahawa lebih 80 peratus daripada import senjata Vietnam antara 1995 dan 2023 berasal dari Rusia.