Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Pertempuran Sengit Di Lubnan, Lima Termasuk Tiga Anggota Hezbollah Terbunuh

Menurut anggota keselamatan Lubnan, tiga daripada lima yang terbunuh hari ini adalah anggota Hezbollah.

0 1,385

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Lima orang disahkan terbunuh apabila perarakan oleh penyokong-penyokong Hezbollah untuk mengebumikan seorang anggotanya yang mati ditembak semalam, telah diserang hendap oleh individu bersenjata di bandar Khalde, di selatan Beirut, Lubnan.

Menurut anggota keselamatan Lubnan, tiga daripada lima yang terbunuh hari ini adalah anggota Hezbollah.

Hezbollah dalam satu kenyataan meminta pasukan keselamatan Lubnan supaya memburu dan menangkap mereka yang terlibat dalam serangan hendap itu.

Pasukan keselamatan Lubnan termasuk anggota tentera yang lengkap dengan kereta perisai dan senjata berat telah dikerahkan ke bandar Khalde itu, yang merupakan sebuah bandar campur dengan penduduk yang bermazhab Syiah serta Sunni.

Tentera Lubnan dalam satu kenyataan berkata ia akan melepaskan tembakan terhadap mana-mana individu bersenjata di kawasan bandar Khalde dan membalas terhadap setiap tembakan yang dilepaskan oleh mana-mana pihak.

 

Rakaman di dalam media-media sosial Lubnan menunjukkan pertempuran sengit sedang berlaku di bandar Khalde itu, dengan bunyi tembakan mesingan serta RPG kedengaran.

Media sosial negara itu mengenalpasti salah seorang anggota Hezbollah yang terbunuh hari ini adalah “Ali Barkat.”

Penyokong-penyokong Hezbollah berarak di jalanraya hari ini untuk mengebumikan seorang anggota Hezbollah dikenali dengan nama “Ali Shibli” yang ditembak oleh seorang lelaki daripada jarak dekat ketika menghadiri majlis perkahwinan di Jiyeh, Beirut semalam.

Ali Shibli ditembak mati oleh seorang lelaki Arab Sunni, “Ahmed Zaher Ghosn” dipercayai bermotifkan balas dendam atas kejadian yang berlaku tahun lepas.

Tahun lepas, adik Ahmed Zaher berusia 14 tahun bernama “Hasan Ghosn” maut selepas terkena tembakan yang didakwa dilepaskan oleh Ali Shibli di bandar Khalde pada tahun lepas.

Sementara itu, bakal Perdana Menteri Lubnan Najib Mikati merayu supaya penduduk bertenang dan tidak melakukan sebarang bentuk tindakan keganasan.

Konflik terbaru ini berlaku pada ketika Lubnan sedang berhadapan dengan masalah ekonomi yang amat meruncing, yang disifatkan oleh Bank Dunia sebagai yang paling buruk sejak pertengahan kurun ke-19.

Lubnan juga tidak mempunyai kerajaan sejak kejadian letupan di pelabuhan Beirut pada Ogos tahun lepas telah menyebabkan keseluruhan Jemaah menterinya meletakkan jawatan.

Lubnan
Anggota bersenjata daripada Arab Sunni.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...