Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

China Tayang Pesawat Pengebom Dengan Peluru Berpandu Anti-Kapal, “Amaran” Pada British

Sebuah pesawat pengebom itu dilihat membawa sehingga empat buah peluru berpandu “YJ-12.”

0 4,822

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Stesen-stesen televisyen di China telah menayangkan pesawat-pesawat pengebom Tentera Laut mereka, Xian H-6J mendarat di pangkalan udara yang tidak dinyatakan membawa peluru berpandu anti-kapal “YJ-12.”

Sebuah pesawat pengebom itu dilihat membawa sehingga empat buah peluru berpandu “YJ-12.”

Menurut pemerhati pertahanan serantau, tayangan pesawat-pesawat pengebom lengkap bersenjata peluru berpandu anti-kapal itu di stesen televisyen China sebenarnya adalah satu amaran kepada musuhnya yang kini berada di Laut China Selatan.

Musuh yang disasarkan oleh stesen-stesen televisyen China itu adalah kapal pengangkut pesawat British, HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal perang lain di bawah Carrier Strike Group 2021 (CSG21).

China mungkin mahu memberitahu British dan Amerika Syarikat bahawa peluru-peluru berpandu anti-kapal yang dibawa pesawat-pesawat pengebom mereka boleh dilancarkan dalam sekelip mata untuk mensasarkan mereka.

H-6J

Pesawat pengebom H-6J itu dioperasikan oleh Tentera Laut China dan merupakan versi naval yang telah dipertingkatkan daripada pesawat pengebom H-6K.

Menurut sumber-sumber pertahanan China, sebuah pesawat pengebom H-6J boleh membawa sebanyak tujuh buah peluru berpandu anti-kapal “YJ-12”, dengan enam butir peluru berpandu itu dibawa di bawah sayap pesawat itu manakala sebuah lagi di dalam weapon bay.

Peluru berpandu “YJ-12” ini disifatkan oleh tentera Amerika Syarikat sebagai antara peluru berpandu paling berbahaya yang dihasilkan oleh industri pertahanan China.

Ia mampu membedil sasaran sehingga 400km dengan kelajuan Mach 3, dan peluru berpandu itu mampu dilengkapkan dengan kepala peledak konvensional atau nuklear seberat 500kg.

Sementara itu komander kepada CSG21 hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa kapal HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal pengiringnya telah keluar daripada Laut China Selatan menerusi Selat Luzon menuju ke Laut Filipina di bahagian barat di Lautan Pasifik.

HMS Queen Elizabeth

Kenyataan hari ini merupakan kenyataan rasmi pertama sejak ia mendiamkan diri selama beberapa hari selepas meninggalkan Singapura.

Sepanjang tempoh “mendiamkan diri” itu, HMS Queen Elizabeth dan CSG21 berada di Laut China Selatan, dimana ia dipercayai belayar berhampiran perairan di Kepulauan Spratly, dekat dengan “pulau-pulau buatan manusia” diduduki secara haram oleh China.

HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal daripada Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan dijangka mengadakan latihan bersama di Laut Filipina itu.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...