(VIDEO) Pakistan Lancar Operasi Bunyan ul Marsoos, Serangan Balas Besar-Besaran Terhadap India
Selepas melancarkan serangan balas besar-besaran itu, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif juga dilaporkan telah memanggil mesyuarat Pihak Berkuasa Pemerintahan Nasional (National Command Authority), yang merupakan badan tertinggi negara itu yang bertanggungjawab terhadap kawalan, arahan dan operasi senjata nuklear negara itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas “menahan diri” selama beberapa hari untuk memberikan peluang kepada diplomasi dan usaha perundingan, Tentera Pakistan hari ini mula melancarkan serangan balas dalam operasi tentera yang dinamakan “Bunyan ul Marsoos” bagi membalas Operasi Sindoor yang dilaksanakan oleh tentera India.
“Bunyan ul Marsoos” membawa maksud “tembok yang kebal” atau “unbreakable walls”.
Selepas melancarkan serangan balas besar-besaran itu, Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif juga dilaporkan telah memanggil mesyuarat Pihak Berkuasa Pemerintahan Nasional (National Command Authority), yang merupakan badan tertinggi negara itu yang bertanggungjawab terhadap kawalan, arahan dan operasi senjata nuklear negara itu.
Tentera Pakistan melancarkan serangan balas besar-besar itu, selepas tentera India melancarkan serangan peluru berpandu terhadap empat buah pangkalan udara Pakistan termasuk Ibu Pejabat Am Tentera Pakistan dan Pangkalan Udara Noor Khan di Rawalpindi, yang terletak di utara ibu negara, Islamabad
Beberapa pesawat pengangkut C-130 milik Tentera Udara Pakistan di Pangkalan Udara Noor Khan dilaporkan musnah dalam serangan peluru berpandu itu, namun ini dinafikan oleh jurucakap tentera Pakistan.
Jurucakap tentera Pakistan Ahmad Sharif Chaudry menyatakan bahawa kebanyakkan daripada peluru berpandu dilancarkan India terhadap pangkalan-pangkalan udara Pakistan itu berjaya ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara.
Sementara itu, Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar dalam kenyataan beliau berkata bahawa Pakistan tidak akan membiarkan India mendominasi, sebaliknya akan memastikan keseimbangan kuasa dipertahankan.
(Visual pelancaran roket jarak jauh Fatah oleh tentera Pakistan)
“Tindakan ini adalah respons yang sepadan, terkawal dan seminimum mungkin. Namun, kami mampu bertindak dengan lebih tegas sekiranya perlu,” kata beliau.
Pangkalan Udara Nur Khan yang terletak di Rawalpindi merupakan pangkalan udara yang digunakan oleh pembesar asing dan ketua-ketua angkatan tentera semasa melakukan perjalanan masuk dan keluar dari ibu negara Pakistan.
Rawalpindi yang terletak tidak jauh daripada ibu negara, Islamabad itu turut menempatkan beberapa pangkalan dan infrastruktur tentera penting yang lain Pakistan, selain menempatkan kediaman pegawai-pegawai kanannya.
Laporan media-media tempatan menyatakan bahawa serangan awal pagi terhadap Pangkalan Udara Noor Khan di bandar tentera Rawalpindi itu mencetuskan suasana panik di kawasan yang padat dengan penduduk, apabila orang ramai dilihat berlari keluar ke jalan raya.
“Ada letupan kuat yang mengejutkan semua orang dari tidur. Ia sangat menakutkan, dan hingga kini, semua masih dalam keadaan panik,” kata seorang penduduk yang tinggal berhampiran Pangkalan Noor Khan itu.
Serangan peluru berpandu India terhadap pangkalan-pangkalan udara penting Pakistan di Rawalpindi dan beberapa pangkalan tentera utama, diikuti serangan balas besar-besaran oleh Pakistan menandakan peningkatan ketegangan paling serius antara kedua-dua negara kuasa nuklear setakat ini, sekaligus membawa mereka ke ambang peperangan paling hampir dalam tempoh beberapa dekad.
Selain mensasarkan pangkalan udara penting Pakistan di Rawalpindi, tentera India juga dilaporkan melancarkan serangan peluru-peluru berpandu terhadap pangkalan-pangkalan udara tentera Pakistan di Mureed and Shorkot.
(Visual meriam bergerak SH-15 buatan China milik tentera Pakistan)
Serangan peluru berpandu India terhadap pangkalan-pangkalan udara penting tentera Pakistan hari ini, menyusul serangan dron-dron berani mati besar-besaran India terhadap “musuh tradisinya” semalam yang menyaksikan ratusan dron berani India dilancarkan terhadap Pakistan.
Kedua-dua negara mendakwa ratusan dron berani mati itu yang dilancarkan oleh masing-masing itu mensasarkan bandar-bandar utama,lokasi tentera, pusat keagamaan dan lain-lain.
Semalam, jurucakap tentera Pakistan menyatakan bahawa India melancarkan lebih daripada 400 dron berani mati terhadapnya manakalan India pula mendakwa Islamabad turut melancarkan jumlah dron berani yang sama terhadapnya.
Tentera Pakistan menyatakan bahawa operasi ketenteraan dinamakan “Bunyan ul Marsoos” telah menyaksikan serangan balas dilancarkan terhadap infrastruktur dan pangkalan tentera India, termasuk pangkalan udara tentera India di Pathankot serta lokasi simpanan peluru berpandu kruis BrahMos di Punjab.
Gambar dan video penduduk yang dikongsi di media-media sosial menunjukkan lokasi simpanan peluru berpandu BrahMos milik tentera India itu terbakar, dengan api menjulang selepas ia terkena bedilan peluru berpandu atau roket jarak jauh dilancar tentera Pakistan.
Selain itu, serangan balas tentera Pakistan juga mensasarkan pangkalan-pangkalan udara tentera India di Udhampur di wilayah Kashmir yang ditadbir India.
Letupan dan tembakan meriam anti-pesawat turut kedengaran di sekitar semua lokasi berkenaan.


Bunyi letupan kuat turut dilaporkan di bandar Srinagar, yang terletak di wilayah Kashmir yang ditadbir India.
Beberapa bandar dan daerah di Punjab, Haryana serta seluruh wilayah Kashmir di bawah pentadbiran India telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga, dengan penduduk diarahkan untuk kekal di dalam rumah dan arahan “blackout” turut dikuatkuasakan.
Platform media-media sosial Pakistan turut memaparkan tentera negara itu melancarkan roket-roket jarak jauh Fateh-1 yang memiliki jarak bedilan di antara 120km hingga 140km dengan Circular Error Probable (CEP) kurang daripada 50 meter, membolehkannya membedil sasaran dengan darjah ketepatan yang amat tinggi.
Sistem roket jarak jauh Fatah-1, yang dibangunkan oleh Pakistan, merupakan sebahagian daripada usaha negara itu untuk meningkatkan keupayaan serangan jarak jauhnya dengan sistem peluru berpandu berpandu ketepatan tinggi.
Fatah-1 menggunakan sistem pemanduan berasaskan GPS/Inertial Navigation System (INS)sw yang membolehkannya mengenai sasaran dengan ketepatan tinggi, menjadikannya sesuai untuk menyerang sasaran strategik seperti depot peluru, pusat kawalan, dan infrastruktur ketenteraan musuh.
Fatah-1 mempunyai jarak serangan sekitar 120 hingga 140 kilometer, membolehkan ia menyerang sasaran jauh dari barisan hadapan tanpa mendedahkan pelancar kepada risiko serangan balas segera.
