Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

India Guna Dron Berani Mati Buatan Israel “IAI Harop” Untuk Serang Pakistan

Penggunaan dron-dron berani mati atau “loitering munitions” dalam konflik India dan Pakistan ketika ini merupakan sambungan kepada apa yang kita lihat berlaku di Ukraine, di mana Kiev dan Moscow turut mengoperasikan sejumlah besar dron berani mati untuk membedil kedudukan tentera masing-masing.

0 1,180
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam konflik yang semakin serius di antara India dan Pakistan ini, New Delhi bukan sahaja menggunakan artilleri dan peluru berpandu untuk menyerang apa yang didakwa mereka sebagai  “infrastruktur keganasan”, tetapi serangan oleh tentera India itu turut melibatkan penggunaan dron-dron berani mati yang besar.
Penggunaan dron-dron berani mati atau “loitering munitions” dalam konflik India dan Pakistan ketika ini merupakan sambungan kepada apa yang kita lihat berlaku di Ukraine, di mana Kiev dan Moscow turut mengoperasikan sejumlah besar dron berani mati untuk membedil kedudukan tentera masing-masing.
Memang benarlah bahawa peperangan pada masa ini dan masa depan bergantung kepada penggunaan dron, sama ada untuk tugasan Intelligence, Surveillance and Recconaisance (ISR) atau kombat untuk kemusnahan.
Semalam, dunia dapat melihat bagaimana kedua-dua kuasa nuklear serantau, India dan Pakistan melipatgandakan serangan terhadap sasaran masing-masing menggunakan dron-dron berani mati, sama ada yang diimport atau keluaran industri pertahanan tempatan.
Islamabad mendakwa bahawa India telah menggunakan dron-dron berani mati untuk menyerang beberapa lokasi, termasuk dua bandar terbesar negara itu iaitu Karachi dan Lahore.
Walaupun India tidak menyebut secara khusus mengenai penggunaan dron berani Harop, pegawai di New Delhi memaklumkan bahawa sistem pertahanan udara dan rangkaian sistem anti-dron negara itu telah diaktifkan pada malam Rabu dan berjaya menembak jatuh dron-dron berani mati serta peluru berpandu milik Pakistan yang mensasarkan 15 kemudahan ketenteraan, termasuk pangkalan Tentera Udara India (IAF) di Pathankot dan Srinagar, lapor media tempatan.
“Dron India terus menceroboh ruang udara Pakistan… (India) akan terus membayar harga yang tinggi atas tindakan agresif yang terang-terangan ini,” kata jurucakap tentera Pakistan, Ahmed Sharif Chaudhry.
IAI Harop
Dron berani mati “Harop” 
Salah satu dron berani mati yang di dakwa digunakan oleh tentera India untuk menyerang Pakistan dikenali dengan nama “Harop” yang dikeluarkan oleh syarikat pertahanan Yahudi, Israel Aerospace Industries (IAI).
Kementerian Pertahanan Pakistan dalam satu kenyataan mendakwa bahawa tentera negara itu setakat ini telah menembak jatuh sebanyak 25 dron berani mati Harop keluaran Israel.
“Serpihan dron berani mati Harop buatan Israel sedang dikumpulkan dari pelbagai kawasan di seluruh Pakistan,” menurut kenyataan itu.
Beberapa rakaman video turut tular di media sosial yang didakwa memaparkan serpihan dron Harop yang ditemui oleh pasukan keselamatan Pakistan.
Bagaimanapun, India enggan mengesahkan secara rasmi penggunaan dron berani mati Harop dalam operasi berkenaan.
Namun begitu, sumber pertahanan India mengakui telah melancarkan serangan ke atas sistem pertahanan udara Pakistan, khususnya di Lahore, sebagai sebahagian daripada tindak balas ketenteraan yang lebih menyeluruh terhadap ketegangan yang semakin memuncak kebelakangan ini.
Dibangunkan oleh IAI, dron berani mati keluaran Israel itu sering digunakan sebagai sistem persenjataan bagi misi Penindasan dan Pemusnahan Pertahanan Udara Musuh (SEAD/DEAD), yang direka untuk mengesan dan menyerang keupayaan sensor pertahanan udara musuh yang mengeluarkan isyarat frekuensi radio.
Harop
Serpihan dron berani mati IAI Harop di Pakistan
Harop merupakan dron mati yang kini diiktiraf sebagai antara sistem persenjataan paling berkuasa dan serba boleh di dunia, menggabungkan keupayaan risikan, pengesanan dan serangan dalam satu platform.
Berbeza dengan pesawat tanpa pemandu (UAV) konvensional, Harop direka untuk berlegar di ruang udara kawasan sasaran untuk suatu tempoh yang lama — sehingga enam jam — sebelum menjunam terus ke arah sasaran dengan peledak.
Dengan bukaan sayap sepanjang tiga meter dan berat pelancaran sekitar 135 kilogram, Harop dilengkapi dengan sistem pencari elektro-optikal/infra-merah (EO/IR) yang membolehkannya melakukan serangan dengan tepat, sekaligus memastikan sasaran bernilai tinggi dapat dikenal pasti dan serangan tidak tersasar kepada sasaran awam.
Setelah dilancarkan daripada pelancarnya, Harop mampu melakukan rondaan secara autonomi di ruang udara yang telah ditetapkan, mengesan pancaran radar musuh dan mengunci isyarat frekuensi radio untuk menyerang — menjadikannya amat berkesan terhadap sistem pertahanan udara dan pusat kawalan serta arahan musuh.
Harop amat digeruni kerana keupayaannya untuk memburu dan memusnahkan radar peluru sistem pertahanan udara, termasuk sistem mudah alih, malah kerap memusnahkan sasaran sebelum sistem pertahanan udara itu sempat bertindak — satu kelebihan operasi yang membuatkannya digelar “pembunuh radar”.
Kemunculan pertama Harop dalam konflik dipercayai berlaku semasa konflik di Nagorno-Karabakh, apabila Azerbaijan menggunakannya secara meluas terhadap tentera Armenia termasuk kereta kebal, artileri dan sistem pertahanan udara.
Harop
Serpihan IAI Harop di Pakistan
India diketahui sebagai antara negara yang memiliki dron berani mati Harop, dengan laporan mengatakan New Delhi dilaporkan memperolehi lebih daripada 50 unit dron berani mati ini bagi memperkukuh keupayaan Penindasan Pertahanan Udara Musuh (Suppression of Enemy Air Defemce – SEAD) serta serangan tepat, khususnya di kawasan sempadan sensitif seperti Kashmir.
Penggunaan dron berani mati IAI Harop oleh India dalam konflik terbaharu dengan Pakistan dipercayai berpunca daripada beberapa faktor strategik, operasi dan teknologi.
  1. Lumpuhkan Sistem Pertahanan Udara Pakistan
Dron Harop direka khas untuk mengesan dan memusnahkan sistem radar musuh, terutamanya radar yang berkaitan dengan peluru berpandu darat ke udara (SAM).
Dalam sebarang konflik, tindakan pertama adalah melumpuhkan keupayaan pertahanan udara pihak lawan, dan penggunaan Harop membolehkan India menjalankan operasi tersebut tanpa mendedahkan pesawat pejuangnya kepada risiko tembakan balas.
  1. Serangan Tepat, Risiko Minimum
Dengan kawalan manusia dalam fasa akhir serangan, Harop mampu menyerang sasaran bernilai tinggi dengan ketepatan tinggi.
Ini menjadikannya ideal untuk menyerang kemudahan ketenteraan di kawasan sensitif seperti Lahore atau Karachi tanpa menyebabkan kerosakan besar terhadap kawasan awam.
Harop
Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev diberi penerangan tentera sistem “Harop” buatan Israel di Azerbaijan. (sumber internet)

 

  1. Kesan Psikologi Terhadap Musuh
Dron berani mati ini juga digeruni kerana keupayaannya untuk berlegar dalam senyap selama berjam-jam sebelum menjunam ke sasaran, memberi tekanan psikologi besar kepada pengendali sistem pertahanan udara Pakistan.
Ia juga menghantar mesej jelas bahawa India bersedia menghadapi konflik dengan pendekatan teknologi tinggi.
  1. Telah Terbukti Berkesan dan Menjimatkan Kos
India telah lama mengoperasikan dron Harop dan dilaporkan memiliki lebih 50 unit.
Ia jauh lebih murah dan selamat berbanding serangan udara menggunakan pesawat berisiko tinggi, terutamanya dalam kawasan yang mempunyai pertahanan udara aktif.
Keberkesanannya telah terbukti dalam konflik Nagorno-Karabakh apabila digunakan oleh Azerbaijan terhadap Armenia.
  1. Gabungan Risikan Masa Nyata dan Serangan Pintar
Harop boleh berada di udara sehingga enam jam, melakukan pemantauan secara langsung sebelum bertindak.
Ini selari dengan rangkaian kawalan dan pertahanan India yang semakin menggabungkan teknologi satelit, pemantauan radar dan dron untuk memberi tindak balas pantas terhadap sebarang ancaman.

Harop

Penggunaan Harop oleh India adalah satu strategi untuk melumpuhkan pertahanan udara Pakistan secara senyap dan tepat, dengan kos yang lebih rendah serta risiko yang minimum.
Dalam era peperangan moden yang semakin bergantung kepada teknologi tanpa pemandu, penggunaan dron seperti Harop menandakan peralihan kepada doktrin baharu — di mana maklumat, kelajuan dan ketepatan menjadi kunci kemenangan.
— DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.