Buat Pertama Kali, MiG-35 Fulcrum Foxtrot Dikerah Russia Untuk Pertahan Ruang Udara Moscow
Ia adalah kali pertama dimana MiG-35 dikerah untuk mengawal ruang udara Moscow sejak konflik bersenjata Russia-Ukraine tercetus sejak tiga tahun lalu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bagi melindungi ruang udara ibu negara Russia, Moscow daripada sebarang serangan dron-dron berani mati Ukraine, Tentera Udara Russia telah mengerahkan pesawat pejuang MiG-35 Fulcrum Foxtrot untuk melakukan rondaan.
Menurut laporan oleh ANNA News, sejak beberapa hari lalu pesawat pejuang MiG-35 telah ditugaskan untuk meronda ruang udara di Daerah Tentera Moscow (Moscow Millitary District) untuk memantau sebarang ancaman.
“Beberapa buah dron berani mati telah pun berjaya ditembak jatuh dengan bantuan mereka (MiG-35),” menurut laporan oleh portal berita itu.
Ia adalah kali pertama dimana MiG-35 dikerah untuk mengawal ruang udara Moscow sejak konflik bersenjata Russia-Ukraine tercetus sejak tiga tahun lalu.
Sehingga kini, penggunaan pesawat pejuang MiG-35 belum pernah direkodkan dalam pertempuran sebenar di Ukraine, sebaliknya hanya digunakan dalam peranan pertahanan pasif atau latihan sahaja.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, pihak-pihak yang bersekutu kepada kerajaan Ukraine telah memperhebatkan serangan dron terhadap Moscow, wilayah metropolitan serta lokasi strategik lain di seluruh negara.
Kementerian Pertahanan Russia melaporkan sebanyak 524 dron musuh telah ditembak jatuh dalam ruang udara negara itu dalam tempoh 48 jam sahaja.

Pengaktifan operasi pesawat pejuang MiG-35 bagi menjalankan misi pertahanan di Moscow berlaku serentak dengan sambutan ulang tahun ke-80 Kemenangan dalam Perang Patriotik Agung (Perang Dunia Kedua) semalam, yang lazimnya diraikan dengan perarakan serta kehadiran ketenteraan yang ketara di ibu negara Rusia.
Walaupun sistem pertahanan udara dikerah sepenuhnya, beberapa dron berani mati Ukraine berjaya menyerang beberapa sasaran sensitif.
Salah satu insiden paling serius berlaku di bandar Saransk, ibu negeri Mordovia, apabila dron bernai mati telah menyerang sebuah kilang gentian optik yang dianggap sebagai aset strategik negara.
Baru-baru ini, laporan media menyatakan bahawa MiG-35 Fulcrum Foxtrot telah selesai menjalani ujian terakhirnya dengan pihak berkuasa Russia, sebelum pesawat pejuang yang dinaiktaraf daripada MiG-29 itu diserapkan ke dalam perkhidmatan Tentera Udara Russia.
Laporan-laporan menyatakan bahawa program pembangunan MiG-35 itu masih lagi berjalan seperti biasa dan pesawat pejuang itu telah menjalani pelbagai ujian termasuk dikerahkan ke Ukraine sebagai sebahagian daripada program penilaiannya oleh pihak berkuasa Russia.
Sebelum ini terdapat laporan menyatakan bahawa United Aircraft Corporation (UAC) yang bertanggungjawab membangunkan pesawat ini, sudah bersedia untuk menerima pesanan daripada kerajaan Russia untuk membina pesawat-pesawat pejuang itu untuk Tentera Udara Russia.
Pada tahun lepas, pengarah eksekutif UAC Yuri Slyusar dipetik sebagai berkata bahawa pesawat pejuang generasi 4+++ Russia, MiG-35 bakal diproduksi secara besar-besaran bermula pada tahun depan, untuk memenuhi keperluan tentera udara negara itu.
Russia bimbang jika konflik besar-besaran tercetus dengan pihak Barat diketuai oleh Amerika Syarikat, ia tidak mempunyai bekalan pesawat pejuang yang mencukupi, sekaligus mewajarkan usahanya untuk memulakan produksi bersiri MiG-35.
Konflik di antara Russia dan Ukraine yang menyaksikan kemusnahan sejumlah pesawat pejuang Russia, mengakibatkan tentera udara negara itu memikirkan cara terbaik untuk membina semula armadanya dengan pesawat-pesawat pejuang yang baru.
Usaha “recapitalisation” Tentera Udara Russia dengan pesawat-pesawat pejuang baru dan lebih berkemampuan berbanding yang lain perlu dilakukan dengan segera, sebelum “konflik besar” dengan negara-negara Barat benar-benar meletus.
Nampaknya, keperluan mendesak dalam negara telah memaksa Russia untuk melancarkan produksi bersiri pesawat pejuang MiG-35.
Tahun lepas Russia dilaporkan telah mengerah MiG-35 untuk melaksanakan misi serangan di Ukraine, berkemungkinan menandakan bahawa pesawat pejuang yang “dilupakan” itu bakal menyertai armada Tentera Udara Russia tidak lama lagi.
Agensi berita negara itu, RIA Novosti memetik pegawai kanan daripada United Aircraft Corporation (UAC) Sergey Korotkov sebagai berkata bahawa pesawat pejuang MiG-35 itu telah terlibat dalam operasi-operasi ketenteraan Russia di Ukraine.

“Penerbangan-penerbangan ujian lanjutan akan dilakukan lagi sebelum Kementerian Pertahanan Russia mengambil keputusan terakhir mengenainya,” menurut beliau ketika ditanya mengenai permulaan produksi bersiri pesawat itu dan perolehannya oleh Tentera Udara Russia.
Beliau berkata bahawa spesifikasi pesawat pejuang MiG-35 itu juga memenuhi keperluan pelanggan-pelanggan luarnya.
Jawapan oleh pegawai kanan UAC itu sedikit-sebanyak memberikan gambaran bahawa “kehadiran” pesawat pejuang MiG-35 di Ukraine lebih kepada untuk melakukan lagi pelbagai ujian penerbangan dan menguji sistem persenjataanya.
Tentera Udara Russia dilaporkan memiliki enam buah MiG-35 pada ketika ini untuk tujuan ujian dan penilaian.
Sebelum ini, masa depan pesawat pejuang itu seakan terumbang-ambing kerana tiada negara luar yang dilihat berminat untuk memperolehinya, walaupun selepas promosi oleh kerajaan Russia.
Para penganalisis pertahanan Russia menyatakan bahawa pesawat pejuang MiG-35 adalah pesawat yang paling mudah untuk diadaptasi daripada segi penggunaan sistem persenjataan terbaru kerana ia mengaplikasi kaedah “open architecture.”
Bukan sahaja ia mudah diadaptasi dengan teknologi terbaru, tetapi pesawat pejuang MiG-35 itu juga akan dilengkapi dengan radar AESA (Active Electronically Scanned Array) “ZHUK-AM” yang berkuasa tinggi, sebagaimana diamalkan oleh pesawat-pesawat pejuang Barat.
“Lagi cepat pesawat musuh itu dikesan (menggunakan radar terkini), maka, adalah lagi cepat ia dimusnahkan.”

Menurut penganalisi pertahanan Russia, pesawat MiG-35 yang dilengkapi dengan radar AESA Zhuk-AM mampu mengesan kehadiran pesawat musuh pada jarak 220km, manakala bagi pesawat pejuang F-22 pula, ia boleh dikesan pada jarak 80km.
Kelajuan maksimum pesawat pejuang MiG-35 adalah Mach 2.25 dan boleh terbang setinggi 67,000 kaki, manakala bagi enjinnya pula, pesawat pejuang itu menggunakan dua buah enjin Klimov RD-33K.
Pesawat pejuang MiG-35 juga boleh membawa pelbagai bom-bom dan peluru berpandu terkini serta meriam 30mm.
Ia juga memiliki Electronic Warfare Pod bagi membolehkan ia menangani pesawat-pesawat musuh serta sistem pertahanan udara mereka.
MiG-35 adalah pesawat pejuang pelbagai peranan (multirole fighter) yang direka untuk membawa pelbagai jenis peluru berpandu udara-ke-udara, udara-ke-darat, serta peluru berpandu anti-kapal dan anti-radar, menjadikannya sesuai untuk pelbagai misi tempur moden.

Berikut adalah senarai utama peluru berpandu yang boleh dibawa oleh MiG-35, dibahagikan mengikut jenis:
-
Peluru Berpandu Udara-ke-Udara (Air-to-Air Missiles)
Jarak Dekat (Short-Range)
-
R-73 (AA-11 Archer)
Peluru berpandu inframerah berpandu haba berkemampuan manuver tinggi, digunakan dalam pertempuran jarak dekat (dogfight).
Dilengkapi dengan keupayaan tembak-ke-mana-mana (off-boresight) bersama helmet-mounted sight.
Jarak Sederhana hingga Jauh (Medium-to-Long Range)
-
R-77 (AA-12 Adder)
Peluru berpandu radar aktif beyond visual range (BVR) untuk menewaskan sasaran sejauh 80–110 km.
Ia adalah setara kepada AIM-120 AMRAAM milik Barat.
-
R-27 (AA-10 Alamo)
Terdapat dalam pelbagai varian berpandukan radar semi-aktif, radar aktif, atau infra-merah dengan jarak sekitar 50–130 km bergantung pada model.
-
Peluru Berpandu Udara-ke-Darat (Air-to-Ground Missiles)
-
Kh-29T/L
Peluru berpandu udara-ke-permukaan berkeupayaan tinggi yang boleh membawa hulu peledak berat untuk memusnahkan sasaran keras seperti bunker dan jambatan.
Varian berpandukan TV (Kh-29T) dan laser (Kh-29L).
-
Kh-25ML/MPU
Peluru berpandu berpandukan laser atau anti-radar untuk serangan terhadap radar atau sasaran kecil di darat.
-
Peluru Berpandu Anti-Kapal (Anti-Ship Missiles)
-
Kh-31A
Peluru berpandu anti-kapal berkelajuan supersonik, mampu menyerang sasaran maritim pada jarak hingga 50–70 km.
Sesuai untuk serangan ke atas kapal permukaan yang dilindungi pertahanan udara.
-
Kh-31P
Digunakan untuk menyerang sistem radar musuh sebagai sebahagian daripada misi SEAD (Suppression of Enemy Air Defenses).
Mempunyai kelajuan tinggi (Mach 3.5) untuk mengalahkan sistem pertahanan udara canggih seperti Patriot atau S-300.
-
Peluru Berpandu Pintar Lain & Persenjataan Tambahan
-
KAB-500/KAB-1500
Bom berpandu laser atau GPS/GLONASS berkeupayaan tinggi untuk serangan tepat terhadap sasaran darat.
-
S-8, S-13, S-25 Rockets
Roket tidak berpandu untuk sokongan udara dekat (CAS).
-
Meriam Dalaman GSh-30-1 30mm