Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Detik-Detik Akhir Sebelum Helikopter Tentera Myanmar Ditembak Jatuh Pemberontak

Sehingga kini, masih tidak dapat dipastikan bagaimana helikopter bersenjata itu ditembak jatuh, sama ada menggunakan meriam anti-pesawat atau peluru berpandu.

6,042

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Video memaparkan detik-detik terakhir sebuah helikopter bersenjata Mil Mi-35 milik tentera udara Myanmar sebelum ia ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak, Kachin Independence Army (KIA) telah tersebar dalam laman media sosial negara itu.

Sehingga kini, masih tidak dapat dipastikan bagaimana helikopter bersenjata itu ditembak jatuh, sama ada menggunakan meriam anti-pesawat atau peluru berpandu.

Jika benar ia ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu anti-pesawat, maka ia menandakan suatu “escalation” terhadap konflik berintensiti rendah (low intensity warfare) selama ini.

Bagaiamanapun, daripada video yang dirakam oleh penduduk tempatan ia menunjukkan bahagian ekor helikopter itu terbakar sebelum ia menjunam dan terhempas berhampiran sebuah perkampungan.

Menurut jurucakap kumpulan pemberontak itu Kolonel Naw Bu,  helikopter tentera itu berjaya ditembak jatuh kira-kira 10 pagi waktu tempatan semalam  di wilayah Momauk, Kachin State yang terletak di utara negara itu.

“Mereka (tentera Myanmar) telah menggunakan jet-jet pejuang dan helikopter bersenjata sejak 8 pagi hari ini (semalam) untuk menyerang anggota kami. Anggota tentera kami telah melakukan serangan balas dan menerusi cara inilah kami berjaya menembak jatuh helikopter itu,” menurut jurucakap KIA Col Naw Bu ketika dipetik sebagai berkata oleh agensi berita, AFP.

KIA dan tentera Myanmar telah terlibat dalam konflik insurgensi sejak hampir 10 tahun.

Sementara itu, portal berita The Irrawaddy mengatakan Ketua Polis Bandar Mansi Mejar Polis Hein Htet maut dalam serangan yang dilakukan oleh KIA terhadap balai polis yang terletak di Bhamo yang terletak di Kachin.

“Telah berlaku tembak-menembak yang menyebabkan pegawai polis berkenaan terbunuh. Anggota tentera yang ditempatkan di kawasan berhampiran telah membalas serangan,” menurut seorang sumber.

Menurut KIA, seorang pegawai polis turut telah tercedera dalam serangan itu dan kini sedang mendapatkan rawatan di hospital.

Sementara itu Kolonel Naw BU ketika dihubungi berkata, pihak KIA menyasarkan polis Myanmar kerana badan penguatkuasa itu bekerjasama rapat dengan tentera Myanmar (Tatmadaw) dalam melakukan kekejaman terhadap penduduk negara itu.

Myanmar
Helikopter bersenjata Mil Mi-35 milik Tentera Myanmar.

 

Pasukan polis dan tentera adalah sama, mereka melakukan kekejaman terhadap penduduk awam.

Beberapa kumpulan pemberontak Myanmar seperti KIA telah membuat kenyataan menyokong gerakan pro-demokrasi dengan menawarkan tempat perlindungan dan latihan kepada mereka yang melarikan diri daripada kekejaman tentera.

Sejak rampasan kuasa oleh tentera pada 1 Februari lalu, seramai 765 penduduk negara itu telah dibunuh oleh anggota tentera manakala 4,500 ditahan.

  — DEFENCE SECURITY ASIA   

Comments are closed.