Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] China Hantar Kapal Perisik Kedua Untuk “Mengendap” Latihan Tentera Amerika-Australia

Kapal perisik kedua China itu, “Haiwangxing” sedang dalam pelayaran ke perairan Australia untuk menyertai sebuah lagi kapal perisiknya “Tianwangxing” yang telah pun berada di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara itu beberapa hari lepas.

1,402

(DEFENCE SECURITY ASIA) – China telah mengerah kapal perisik kedua (auxiliary general intelligence – AGI) mereka ke pantai Australia untuk memantau latihan tentera “Talisman Sabre 2021” yang sedang dijalankan oleh Australia dan Amerika Syarikat serta 11 negara lain.

Kapal perisik kedua China itu, “Haiwangxing” sedang dalam pelayaran ke perairan Australia untuk menyertai sebuah lagi kapal perisiknya “Tianwangxing” yang telah pun berada di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara itu beberapa hari lepas.

“Haiwangxing” juga dijangka berada di kawasan ZEE Australia untuk mengutip sebarang maklumat perisikan berkaitan dengan latihan tentera berskala besar itu.

Kedua-dua kapal perisik China itu dijangka kekal berada di perairan ZEE dan tidak memasuki perairan Australia.

Seorang pegawai tentera Australia memberitahu media Australia bahawa mereka sedang memantau pergerakan kapal perisik kedua China itu, yang menuju ke perairan Australia menerusi Laut Solomon di Papua New Guinea.

 

Kedua-dua kapal perisik China itu menggunakan laluan pelayaran yang berlainan untuk ke perairan Australia dengan kapal AGI “Tianwangxing” belayar ke perairan Queensland menerusi Selat Torres.

Pegawai-pegawai tentera Australia berkata kehadiran kapal perisik China bukanlah sesuatu yang pelik kerana China turut menghantar sebuah kapal perisik ke perairan Australia untuk memantau latihan Talisman Sabre pada 2017 dan 2017.

Bagaimanapun, untuk edisi latihan Talisman Sabre pada 2021 pihak tentera China menghantar dua buah kapal perisiknya, sesuatu yang julung-julung kalinya dilakukan oleh Beijing (mungkin ada sesuatu yang menarik untuk dipantau oleh tentera China).

Minggu lepas, latihan Talisman Sabre 2021 itu menyaksikan tentera Amerika Syarikat melancarkan peluru berpandu Patriot di bumi Australia, manakala pada hari ini dijadualkan pula pelancaran sistem “High Mobility Artillery Rocket System (HIMARS),” yang bakal dibeli oleh tentera Australia.

Talisman
Latihan Talisman Sabre 2021

 

Pihak Australia mengatakan latihan Talisman Sabre 2021 adalah latihan terbesar yang pernah dilaksanakannya.

Pihak tentera Barat turut kerapkali menghantar kapal-kapal serta pesawat perisiknya ke kawasan perairan ZEE China apabila Beijing mengadakan latihan tentera.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.