Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tambak Batu Puteh, Singapura Contohi Langkah Beijing Di Laut China Selatan?

Daripada sebuah batuan (rocks) di tengah lautan, kemungkinan besar Batu Puteh selepas selesai kerja-kerja penambakan akan menjadi “pulau buatan manusia” (man-made island), sebagaimana yang dilakukan oleh China di Kepulauan Spratly atau Kepulauan Paracel di Laut China Selatan.

0 1,465

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 5 Julai lepas, Singapura mengumumkan bahawa ia akan melakukan penambakan terhadap Batu Puteh (Pedra Branca), yang menyaksikan saiz batuan itu diperbesarkan sekurang-kurangnya 7 hektar lagi.

Daripada sebuah batuan (rocks) di tengah lautan, kemungkinan besar Batu Puteh selepas selesai kerja-kerja penambakan akan menjadi “pulau buatan manusia” (man-made island), sebagaimana yang dilakukan oleh China di Kepulauan Spratly atau Kepulauan Paracel di Laut China Selatan.

Sejak China menduduki beberapa terumbu karang, atoll secara haram di kedua-dua kepulauan itu pada 2012-2013, Beijing telah melakukan penambakan secara agresif dan menjadikannya kepada pulau-pulau buatan manusia yang amat strategik di tengah-tengah laluan maritim sibuk antarabangsa.

Bukan sekadar menjadikannya pulau-pulau buatan manusia untuk dihuni manusia tetapi Beijing dibawah Presiden Xi Jinping juga membangunkannya sebagai pangkalan-pangkalan tentera “terapung” yang lengkap bagi mengukuhkan penguasaannya di Laut China Selatan.

Penganalisis antarabangsa mengatakan tidak ada cara lain untuk memaksa China meninggalkan “pulau-pulau buatan manusia” yang didudukinya secara haram di Laut China Selatan kecuali peperangan.

Pulau
Fiery Cross Reef di Kepulauan Sprtaly selepas kerja-kerja penambakan oleh China.

 

Persoalannya kini adalah – adakah Singapura mengambil contoh daripada tindakan China di Kepulauan Paracel dan Kepulauan Spratly itu dan melakukan tindakan yang sama terhadap Batu Puteh?

Adakah kita sedang melihat permulaan kepada usaha Singapura untuk menjadikan Batu Puteh itu sebuah “pulau buatan manusia”, sebagaimana yang dilakukan oleh China di Mischief Reef, Fiery Cross Reef, Subi Reef dan lain-lain.

Adakah Batu Puteh bakal bertukar untuk menjadi sebuah pangkalan tentera laut Singapura pada masa depan? Semua pihak kena ambil pendekatan tunggu dan lihat pada masa ini.

Menurut Singapura, kerja-kerja penambakan Batu Puteh itu akan mengambil masa beberapa tahun dan ia merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan kemudahan di batuan itu termasuk membolehkan kapal berlabuh, sistem komunikasi, sokongan pentadbiran dan lain-lain.

Usaha pembangunan Batu Puteh menurut republik itu adalah untuk meningkatkan keselamatan maritim dan kemampuan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan terbabit.

“Kerja-kerja penambakan akan dilakukan di dalam kawasan 0.5 batu nautika Pulau Batu Puteh dan di dalam kawasan perairan Singapura di pulau terbabit. Satu batu nautika adalah kira-kira 1.85km.”

“Semua kerja-kerja yang dilakukan adalah selari dengan undang-undang Singapura serta undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Pembangunan Nasional (MND) republik itu sebagaimana dipetik oleh akhbar Singapore Straits Times.

Fiery Cross
Fiery Cross Reef juga adalah pangkalan utama tentera China di Laut China Selatan.

 

Pada 2008, Mahkamah Antarabangsa di The Hague memutuskan Batu Puteh itu dimiliki oleh Singapura manakala Middle Rocks pula milik Malaysia.

Apabila Malaysia memutuskan untuk tidak meneruskan semakan semula terhadap keputusan ICJ pada 2018 itu,  Singapura kini meneruskan kerja-kerja pembangunan di Batu Puteh itu termasuk menjalankan kerja-kerja penambakan.

Menurut akhbar Singapore Straits Times lagi, pada ketika ini batuan yang terletak kira-kira 44km daripada Singapura menempatkan Rumah Api Horsburgh, helipad, kemudahan desalinasi, kemudahan vessel traffic information system, menara komunikasi dan lain-lain.

Sementara itu seorang pakar undang-undang maritim tempatan dalam laporan berita tempatan berkata, Malaysia tidak boleh membiarkan Singapura melakukan aktiviti menambak tanah di sekitar Batu Puteh atau Pedra Branca selagi kedua-dua negara tidak memuktamadkan garis sempadan maritim di perairan itu.

Prof Madya Dr Mohd Hazmi Mohd Rusli daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata jika Singapura berterusan menambak Batu Puteh, dikhuatiri lama-kelamaan ia menjadi sebuah pulau yang menepati takrifan Konvensyen Undang-undang Laut 1982 (LOSC).

Beliau berkata, berdasarkan Artikel 121 (1) LOSC, sesebuah negara pesisir yang memiliki pulau boleh menuntut hak Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan pelantar benua sejauh 200 batu nautika.

Bagaimanapun admin berpendapat, pulau buatan manusia tidak boleh menuntut hak Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan pelantar benua sejauh 200 batu nautika kerana “keistimewaan” itu hanya diperolehi oleh pulau-pulau yang terbentuk secara semulajadi.

Dr Mohd Hazmi berkata, pada masa kini, katanya, Batu Puteh hanya berstatus batu maritim dan berdasarkan Artikel 121 (3), negara jiran itu boleh menuntut hak wilayah laut sejauh 12 batu nautika saja.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

 

Comments
Loading...