Varian Peluru Berpandu BVR PL-15E Pakistan Hanya Mampu Tembak Sejauh 145km – Dakwa Media India
Media-media pertahanan India menyatakan varian PL-15E yang didakwa diberikan oleh China pada Pakistan hanya memiliki jarak bedilan sekitar 145km berbanding 300km yang dimiliki oleh varian PL-15 tempatan dioperasikan oleh pesawat-pesawat pejuang China.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Terdapat dakwaan mengatakan bahawa peluru-peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15 buatan China yang dimiliki oleh Tentera Udara Pakistan adalah daripada varian “E” (Export) yang memiliki jarak yang lebih pendek berbanding varian tempatan dimiliki oleh Tentera Udara China.
Media-media pertahanan India menyatakan varian PL-15E yang didakwa diberikan oleh China pada Pakistan hanya memiliki jarak bedilan sekitar 145km berbanding 300km yang dimiliki oleh varian PL-15 tempatan dioperasikan oleh pesawat-pesawat pejuang China.
Dokumen-dokumen yang bocor daripada syarikat pertahanan miliki kerajaan China, China National Aero-Technology Import&Export Corporation (CATIC) didakwa telah membongkar tentang jenis peluru berpandu udara-ke-udara PL-15 yang diperolehi oleh Tentera Udara Pakistan.
“Menurut dokumen (yang didakwa dibocorkan itu), Pakistan telah memperolehi sejumlah 240 buah peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15E sebagai sebahagian daripada pakej perolehan pertahanan yang lebih besar.”
“Peluru berpandu PL-15E mempunyai jarak bedilan yang terhadap pada 145km berlainan dengan dakwaan oleh media-media Pakistan yang menyatakan bahawa mereka telah memperolehi varian peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15 sebagaimana digunakan oleh Tentera Udara China yang mempunyai jarak di antara 200km hingga 300km.”
Pakistan didakwa diberikan pinjaman berjumlah US$1.4 billion (RM6 billion) untuk memperolehi sejumlah 20 buah pesawat pejuang J-10C, 240 buah peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15E, 10 buah enjin WS-10B, sebuah Flight Management System bersama-sama alatganti dan perkhidmatannya.
Dokumen yang didakwa dibocorkan itu turut membuktikan bahawa China kekal menjadi pembekal senjata utama kepada Pakistan.

PL-15E merupakan varian eksport kepada peluru berpandu udara-ke-udara PL-15, dengan keupayaan keseluruhannya adalah berkurangan berbanding varian tempatan digunakan oleh Tentera Udara China.
Peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 varian tempatan memiliki kelajuan Mach 4 dan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan direka untuk pertempuran luar jarak penglihatan (BVR).
Peluru berpandu PL-15 adalah sistem persenjataan udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) buatan China yang direka untuk memberi kelebihan strategik kepada pesawat pejuang Tentera Udara China (PLAAF).
Dibangunkan oleh China Academy of Launch Vehicle Technology (CALT), PL-15 kini dianggap sebagai salah satu peluru berpandu BVR paling berbahaya di dunia, setanding dengan AIM-120D AMRAAM buatan Amerika Syarikat dan METEOR buatan Eropah.
Varian tempatan PL-15 dipercayai mempunyai jarak operasi melebihi 300km, menjadikannya antara peluru berpandu udara-ke-udara dengan jarak tembakan paling jauh di dunia.
Menurut penganalisis ketenteraan serantau, kehadiran peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 yang berkeupayaan tinggi dengan jarak jangkauan sehingga 300 kilometer akan memberikan Pakistan kemampuan melancarkan serangan terhadap sasaran musuh pada jarak jauh.

Ia juga bakal mewujudkan cabaran taktikal yang serius kepada Angkatan Udara India (IAF), terutamanya bagi pesawat-pesawat tempur utama seperti Su-30MKI, Rafale, dan Mirage 2000, yang mungkin terpaksa mengubah taktik operasi udara masing-masing.
Keupayaan radar AESA pada PL-15, digabungkan dengan sistem pautan data dua hala, turut membolehkan Pakistan untuk melakukan serangan udara yang lebih tepat dan koordinasi tempur udara yang lebih baik serta berkesan.
Secara geopolitiknya, penggunaan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 pada pesawat pejuang J-10C dan JF-17 akan mengeratkan lagi hubungan ketenteraan Islamabad-Beijing, seterusnya memperkukuhkan posisi strategik Pakistan dalam menghadapi persaingan sengit dengan India serta mempengaruhi keseimbangan strategik serantau.
Dalam jangka panjang, integrasi JF-17 serta J-10C dengan peluru berpandu PL-15 ini berpotensi mencetuskan perlumbaan senjata udara yang lebih agresif antara Pakistan dan India, dengan kedua-dua negara mungkin akan meningkatkan pelaburan dalam sistem pertahanan udara moden dan teknologi anti-peluru berpandu bagi mengekalkan kelebihan strategik masing-masing.
Peluru berpandu udara-ke-udara BVR PL-15 menggunakan sistem pendorongan roket bahan api pepejal dua peringkat (dual-pulse solid-fuel rocket motor), membolehkannya mengekalkan kelajuan tinggi sepanjang trajektori penerbangan bagi meningkatkan kebarangkalian memintas sasaran udara berprestasi tinggi seperti pesawat pejuang generasi kelima.
Dari segi teknologi pengesanan sasaran, PL-15 dilengkapi radar aktif AESA miniatur berfrekuensi tinggi yang mampu beroperasi secara autonomi, menjadikan peluru berpandu ini sukar untuk dielakkan oleh sistem pertahanan udara sedia ada.

Peluru berpandu ini juga mempunyai kemampuan pautan data dua hala (two-way datalink) yang membolehkan pembetulan trajektori secara real-time oleh pesawat pelancar untuk menyesuaikan diri dengan perubahan taktikal di medan tempur.
Dengan panjang sekitar 4 meter, berat kira-kira 200 kilogram, serta kelajuan maksimum sekitar Mach 4, PL-15 dianggap sebagai salah satu ancaman terbesar kepada dominasi udara pihak lawan, termasuk menjadi pencabar langsung kepada peluru berpandu udara-ke-udara generasi terkini seperti AIM-120D AMRAAM dari Amerika Syarikat dan Meteor dari Eropah.
Baru-baru ini, tentera Pakistan telah mengeluarkan gambar-gambar pesawat pejuang JF-17 “Thunder” miliknya dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh PL-15 buat pertama kali.
Bukan itu sahaja, gambar-gambar dikeluarkan oleh tentera Pakistan juga menunjukkan pesawat pejuang JF-17 yang dibangunkan bersama oleh Pakistan dan China dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat, PL-10.
