Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turkiye Tidak Dibenar “Pindah” S-400 “Triumf” Miliknya ke Negara Ketiga – Menteri Luar Russia

Menteri Luar Turkiye Sergey Lavrov dilaporkan berkata, perjanjian perolehan sistem pertahanan udara pada 2017 itu turut menyertakan klausa menghalang Turkiye sebagai pembeli untuk menyerahkan sistem itu kepada mana-mana pihak ketiga tanpa memperolehi kebenaran daripada Russia terlebih dahulu.

1,209
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Luar Russia Sergey Lavrov telah mengenepikan kenyataan beberapa pihak yang mendakwa bahawa Turkiye akan “memindahkan” sistem pertahanan udara jarak jauh miliknya, S-400 “Triumf” buatan Russia kepada Amerika Syarikat.
Beliau berkata perjanjian perolehan sistem pertahanan udara pada 2017 itu turut menyertakan klausa menghalang Turkiye sebagai pembeli untuk menyerahkan sistem itu kepada mana-mana pihak ketiga tanpa memperolehi kebenaran daripada Russia terlebih dahulu.
Kenyataan oleh Lavrov tentang sistem pertahanan udara S-400 milik Turkiye itu dibuat ketika spekulasi tentang cadangan untuk memindahkan sistem itu kepada Amerika Syarikat semakin “kuat kedengaran” akhir-akhirnya.
“Pemindahan” sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia milik Turkiye kepada negara ketiga dikatakan menjadi syarat utama sebelum Ankara dibenarkan semula untuk membeli pesawat-pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat.
Beberapa minggu lepas, Amerika Syarikat dilaporkan telah mengemukakan cadangan kepada Turkiye yang akan melihat negara Mediterranean itu “menyerahkan” sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia miliknya bagi membolehkan ia dibenarkan semula untuk membeli pesawat pejuang F-35.
S-400
S-400 “Triumf”
Menurut laporan media Greek, cadangan oleh Amerika Syarikat itu menyaksikan Turkiye mengekalkan sistem pertahanan udara S-400 dalam wilayahnya tetapi memindahkan kawalan terhadap sistem itu kepada Amerika Syarikat.
Cadangan itu akan melihat  Ankara memindahkan sistem pertahanan udara S-400 milik Turkiye itu ke sektor pangkalan udara Incirlik di selatan Turkiye yang dikawal oleh tentera Amerika Syarikat bagi membolehkan Washington mengawal sistem pertahanan udara buatan Russia itu.
“Matlamat cadangan oleh Amerika Syarikat itu adalah untuk memastikan Turkiye kembali kepada program F-35 dan membolehkan negara Mediterranean itu meneruskan pembelian 100 buah pesawat pejuang F-35 sebagaimana dipersetujui sebelum ini.”
Rundingan di antara Turkiye dan Amerika Syarikat dikatakan berada di peringkat tertinggi dengan kedua-dua pihak dikatakan amat berharap ia berakhir dengan kejayaan.
Diperolehi pada 2019, sistem pertahanan S-400 yang diperolehi Turkiye itu merupakan punca kepada ketegangan hubungan di antara Ankara dan Washington.
Russia
Menteri Luar Russia Sergey Lavrov
Ankara menandatangani perjanjian dengan Moscow pada 2017 untuk memperolehi sistem S-400 yang dianggarkan bernilai US$2.5 bilion (RM10 bilion).
Rejimen pertama sistem S-400 itu telah dihantar ke Turkiye pada 2019.
Turkiye membuat keputusan untuk mendapatkan sistem pertahanan udara S-400 selepas rundingannya untuk mendapatkan sistem pertahanan udara Patriot daripada Amerika Syarikat gagal.
Amerika Syarikat tidak memberikan alasan mengapa ia enggan menjual sistem pertahanan udara Patriot kepada Turkiye.
Kegagalan memperolehi sistem pertahanan udara Patriot itu membuatkan Turki bertekad untuk mendapatkan S-400 daripada Russia yang menawarkan pakej menarik kepada Ankara termasuk pemindahan teknologi dan membuat sistem peluru berpandu itu di Turki sendiri.
Turki melaksanakan ujian penembakan peluru berpandu S-400 di Sinop akhir tahun lepas.
F-35
Pesawat pejuang F-35 milik Turkiye yang telah siap dibina tetapi dilarang daripada diserahkan kepada negara Mediterranean itu.
Disebabkan “kedegilan” Turkiye untuk meneruskan pembelian sistem pertahanan udara S-400 itu, maka Ankara telah menerima kesannya apabila ia dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi ke-lima F-35.
Turkiye juga tidak dibenarkan meneruskan pembelian 100 buah pesawat F-35 walaupun ia telah membayar wang pendahuluan sebanyak US$1.4 bilion.
Malah, enam buah pesawat F-35 milik Turkiye telah pun siap dibina di Amerika Syarikat, tetapi kini tersadai di hangar di negara itu, disebabkan keputusan Washington mengenakan sekatan ketenteraan terhadap Ankara.
Walaupun pada mulanya, Turkiye gembira dengan perolehan S-400 tetapi kini terdapat persoalan tentang integrasi sistem pertahanan udara itu dengan sistem pertahanan udara milik Turkiye yang lain serta nilai strategik sisten pertahanan buatan Russia itu.
Walaupun sudah beberapa tahun memiliki sistem pertahanan udara S-400 itu, tetapi Turkiye dilaporkan masih belum mengaktifkan sistem itu dalam strategi pertahanan keseluruhan negara itu.
Sistem S-400 milik Turkiye itu dilaporkan disimpan di suatu lokasi dirahsiakan dan masih belum dioperasikan.
F-35
Pesawat pejuang F-35 Turkiye apabila ia didedahkan pada 2018.
Sistem pertahanan udara Russia itu juga diketepikan dan tidak diintergrasikan dalam sistem pertahanan udara berlapis (layered air defence) Turkiye dinamakan “Steel Dome” yang baru sahaja diperkenalkan oleh negara Mediterranean itu baru-baru ini.
Banyak spekulasi berkenaan penyertaan semula Turkiye dalam program pesawat pejuang F-35 sejak timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Victoria Nuland pada akhir Januari lepas menyatakan bahawa Washington bersedia “menerima kembali” negara Mediterranean itu ke dalam program pesawat pejuang generasi kelima itu.
“Jika kita dapat menyelesaikan isu sistem pertahanan udara S-400 (buatan Russia yang dibeli oleh Turkiye), di mana kita (Amerika Syarikat) mahu menyelesaikannya. Amerika Syarikat amat gembira untuk menerima kembali Turkiye ke dalam keluarga F-35.”
“Jika kita dapat mengatasi isu ini, isu CAATSA itu akan hilang dan kita boleh kembali ke perbincangan mengenai F-35,” kata beliau.
Kenyataan yang dibuat oleh Nuland itu telah menimbulkan pelbagai pertanyaan dan persoalan di Turkiye. — DSA

Comments are closed.