Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turkiye Rancang Miliki Kapal Selam Berkuasa Nuklear, Penonjolan Kuasa Lebih Ampuh

Kapal selam berkuasa nuklear Turkiye yang bakal dioperasikannya dalam jangkamasa sederhana (medium-term)  dijangka akan dilengkapi dengan pelbagai persenjataan yang dibangunkan sendiri oleh industri pertahanannya seperti peluru berpandu “Atmaca”, peluru berpandu kruis jarak jauh “Gezgin”  dan torpedo kelas berat “ Akya”.

3,230

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye dilaporkan merancang untuk memasuki era pengoperasian kapal selam berkuasa nuklear (nuclear-powered submarine) di dalam jangka masa pertengahan (medium-term) yang bakal meningkatkan lagi keupayaan angkatan lautnya selari dengan aspirasi Turkiye untuk menjadi kuasa serantau.

Pengoperasian loji tenaga nuklear Akkuyu di wilayah Mersin selain cadangan pembinaan loji-loji tenaga nuklear di Sinop dan Thrace akan memberikan Turkiye pengetahuan dan pengalaman yang kritikal bagi negara itu untuk mengoperasikan kapal selam berkuasa nuklear kelak.

Menurut laporan media pertahanan Turkiye yang memetik penulisan oleh seorang pegawai kanan tentera laut negara itu Lt Kolonel Deniz Aytan menyatakan pelbagai kapal selam berkuasa nuklear menjadi bahan kajian secara komprehensif terutamanya kapal selam berkuasa nuklear kelas-Barracuda (Suffren) milik Tentera Laut Perancis.

Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Barracuda milik Perancis itu akan menggantikan kapal-kapal selam kelas Rubis.

Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Barracuda itu menjadi pilihan kajian komprehensif pegawai kanan tentera laut Turkiye itu kerana kemampuannya untuk bergerak dengan lebih senyap menerusi penggunaan pelbagai sistem moden,  menjadikannya senjata yang paling digeruni.

Turkiye
Kapal selam kelas-Reiss Turkiye

 

Kapal selam berkuasa nuklear Turkiye yang bakal dioperasikannya dalam jangkamasa sederhana (medium-term)  dijangka akan dilengkapi dengan pelbagai persenjataan yang dibangunkan sendiri oleh industri pertahanannya seperti peluru berpandu “Atmaca”, peluru berpandu kruis jarak jauh “Gezgin”  dan torpedo kelas berat “ Akya”.

Kapal selam berkuasa nuklear sebagaimana yang diidamkan oleh Ankara itu akan memberikanya keupayaan untuk berada di laut untuk suatu tempoh yang lama, yang tidak dapat ditandingi oleh kapal-kapal selam konvensional.

Penjanaan kuasa yang berpanjangan diberikan oleh reaktor nuklear dan sistem persenjataan seperti peluru berpandu kruis jarak jauh menjadikan kapal selam berkuasa nuklear sebagai platform paling strategik sejak puluhan tahun dahulu dan menjadikannya senjata yang perlu dimiliki oleh negara yang bercadang menjadi pemain geo-politik yang serius di pentas dunia.

Pada ketika ini hanya enam buah negara di seluruh dunia memiliki kapal-kapal selam berkuasa nuklear seperti Amerika Syarikat, Russia, China, Perancis, United Kingdom serta India dan bakal disertai dalam tempoh beberapa tahun lagi oleh Australia.

Perancis memiliki lapan buah kapal selam berkuasa nuklear, dengan empat daripadanya berkemampuan membawa peluru-peluru berpandu ballistik yang dilengkapi dengan kepala peledak nuklear.

Turkiye
“Barracuda”

 

Pada ketika ini tiada perancangan daripada pihak Turkiye untuk melengkapkan kapal selam berkuasa nuklearnya yang bakal direalisasikan pada tempoh masa sederhana dengan peluru-peluru berpandu ballistik dengan kepala peledak nuklear.

Pembangunan kapal-kapal selam berkuasa nuklear Turkiye dalam tempoh sederhan akan memberikan tentera laut negara itu kemampuan-kemampuan kritikal dalam pembangunan berterusan yang diperlukannya untuk masa depan.

Ia akan membabitkan latihan berterusan terhadap anggota-anggotanya dalam pengoperasian kapal-kapal selam berkuasa nuklear yang semestinya adalah amat kompleks berbanding pengendalian kapal-kapal selam konvensional yang dimiliki oleh Turkiye.

Turkiye mempunyai program pembangunan kapal-kapal selamnya sendiri dinamakan “MILDEN” yang merangkumi pembinaan enam buah kapal selam buatan tempatan hasil kerjasamanya dengan Jerman.

Didalam perkara ini, Golcuk Naval Shipyard yang bertanggungjawab membina kapal-kapal selam MILDEN “Milli Denizalti” (National Submarine).

Turkiye
Kapal selam kelas-Reiss Turkiye

 

 

Sebelum ini, Golcuk juga terlibat dalam pembinaan 11 buah kapal selam Type-209 rekabentuk Jerman, menjadikan syarikat Turki itu sebagai amat berpengalaman dan berpengetahuan di dalam aspek pembinaan kapal selam.

Usaha membina enam buah kapal selam “MILDEN” (kapal selam kebangsaan) itu dijangka bermula pada tahun 2025, bagi menambah satu lagi produk keluaran industri pertahanan Turki untuk dipasarkan ke seluruh dunia.

Pada ketika ini, Golcuk Naval Shipyard juga sedang membina enam buah kapal selam-kelas Reis berdasarkan kepada rekabentuk kapal selam Type-214TN buatan Jerman.

Setiap kapal selam MILDEN Tentera Laut Turkiye itu akan memiliki berat 2,700 dan ia adalah lebih besar dan berat berbanding kapal-kapal selam kelas-Reiss yang memiliki berat sekitar 1,800 tan.

Ia lebih berat dan besar kerana untuk membolehkan kapal-kapal selam kelas-MILDEN Tentera Laut Turkiye itu memiliki keupayaan untuk membawa lebih banyak sistem persenjataannya termasuk peluru berpandu “Atmaca” dan yang paling penting adalah peluru berpandu kruis “Gezgin”.

Turkiye

Peluru berpandu kruis “Gezgin” yang dikatakan menyamai kemampuan peluru berpandu kruis “Tomahawk” buatan Amerika Syarikat dan “Kalibr” buatan Russia.

Peluru berpandu kruis “GEZGIN” itu dikatakan berupaya membedil sasaran darat sejauh 1,000km, memberikan Turki kemampuan “deep-strike” terhadap aset-aset dan infrastruktur yang dimiliki oleh musuhnya.

Torpedo berat buatan tempatan, “Akya” juga akan melengkapi kapal selam MILDEN Turkiye itu. — DSA

Comments are closed.