Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turkiye Masih Tunggu “Reaksi Positif” Dari Jerman Berhubung Penjualan Eurofighter Typhoon

“Bagaimanapun mereka (Turkiye dan Britain) masih menunggu ‘reaksi positif’’ daripada Jerman yang merupakan salah sebuah daripada empat buah negara yang membangunkan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu,” menurut sumber Kementerian Pertahanan Turkiye itu kepada media tempatan negara itu.

0 2,166

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye dilaporkan masih menunggu “reaksi positif” daripada Jerman berhubung cadangannya untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.

Menurut laporan daripada media tempatan, negara Mediterranean itu telah pun memulakan mesyuarat teknikal dengan Britain dan wakil daripada syarikat pembuat pesawat itu dalam usahanya untuk memperolehi pesawat pejuang itu.

“Bagaimanapun mereka (Turkiye dan Britain) masih menunggu ‘reaksi positif’’ daripada Jerman yang merupakan salah sebuah daripada empat buah negara yang membangunkan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu,” menurut sumber Kementerian Pertahanan Turkiye itu kepada media tempatan negara itu.

Keengganan Jerman menjual pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dikritik hebat oleh pegawai  kanan dan media Turkiye yang menyatakannya sebagai tidak menggambarkan “semangat NATO.”

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibangunkan oleh konsortium empat negara terdiri daripada Britain, Itali, Sepanyol dan Jerman.

Typhoon
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dengan radar AESA ECRS Mk2

 

Persetujuan daripada keempat-empat negara diperlukan sebelum pesawat itu dibenarkan dijual kepada mana-mana negara.

Difahamkan cadangan Turkiye untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu disambut baik oleh Britain, Sepanyol dan Itali, namun mendapat tentangan daripada Jerman yang menentang cadangan penjualan pesawat pejuang itu kepada Ankara.

Keengganan Jerman menjual pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Turkiye kerana berang dengan tindakan Ankara melemparkan kritikan-kritikan keras terhadap Israel berhubung tindakan ketenteraannya di Gaza.

“Canselor Jerman (Olaf Scholz) dijangka tidak akan membenarkan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon,” menurut seorang pegawai kanan Jerman kepada media antarabangsa akhir tahun lepas.

Pada November tahun lepas, Turkiye menyatakan bahawa ia telah memulakan perbincangan dengan negara-negara konsortium pembuat pesawat Eurofighter Typhoon terutamanya Britain untuk memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dikenali dengan nama “Tranche 4.”

Dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 

Jerman dikatakan telah memesan 38 buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4.

Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler dilaporkan mengkritik layanan yang diterima Ankara daripada Berlin, walaupun kedua-dua negara sepatutnya menjadi sekutu kerana menjadi negara anggota NATO.

“Kami adalah negara anggota NATO, tetapi sebuah negara anggota NATO yang lain telah menghalang usaha kami untuk membeli pesawat pejuang itu (Typhoon).”

Typhoon
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon

 

“Sepatutnya tidak ada alasan bagi sebuah negara yang dianggap sebagai sekutu untuk berkata, ‘Saya tidak akan menjual pesawat itu kepada anda’,” kata beliau dalam temuramah dengan stesen televisyen swasta NTV.

Walaupun Amerika Syarikat meluluskan penjualan pesawat-pesawat pejuang F-16 dan kit permodenanan pesawat, namun Ankara tetap mahu meneruskan hasratnya untuk memperolehi Eurofighter Typhoon.

Baru-baru ini, selepas dua tahun tertangguh dan dikenakan pelbagai syarat, Turkiye akhirnya diberikan kebenaran oleh Amerika Syarikat untuk memperolehi 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 79 kit pemodenan bernilai US$23 bilion (RM103 bilion), selepas parlimen negara itu meluluskan undang-undang kemasukan Sweden sebagai negara anggota NATO.

Turkiye adalah diantara negara pengguna terbesar pesawat pejuang F-16 di luar Amerika Syarikat dengan lebih daripada 250 buah pesawat itu.

Pentadbiran Amerika Syarikat dan kongres negara itu meletakkan persetujuan Turkiye terhadap kemasukan Sweden ke dalam NATO sebagai syarat utama untuk ia meluluskan penjualan pesawat-pesawat pejuang F-16 Block 70 kepada negara Mediterranean itu. — DSA

(LAGI BERITA TENTANG EUROFIGHTER TYPHOON)

Notis

 

Comments
Loading...