Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Eurofighter Typhoon “Bertembung” Dengan Rafale Untuk Rebut Kontrak Lumayan Arab Saudi

Adakah usaha Perancis menembusi pasaran pesawat pejuang Arab Saudi dengan Rafale kini bakal dihalang oleh Eurofighter Typhoon?

0 4,351

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tidak lama selepas Arab Saudi menyatakan hasratnya untuk memulakan rundingan dengan Perancis untuk membeli 54 buah pesawat pejuang Rafale, kerajaan Jerman pula memutuskan untuk menarik balik bantahannya terhadap penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada negara Arab itu.

Keputusan terkini kerajaan Jerman itu yang dibuat secara mengejut sekaligus menjadikan persaingan terbuka di antara Eurofighter Typhoon dengan Rafale untuk merebut kontrak berbilion dollar Amerika daripada kerajaan Arab Saudi itu.

Dua minggu lepas, jurucakap kerajaan Jerman Steffen Hebestreit dilaporkan berkata bahawa Canselor Jerman Olaf Scholz memutuskan tidak akan menghalang usaha Britain untuk menjual pesawat pejuang Eurofighter kepada Arab Saudi.

“Ya, Canselor (Olaf Scholz) bersetuju dengan pandangan tentang penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Arab Saudi, “ kata beliau.

Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dibina oleh konsortium empat buah negara Eropah terdiri daripada Britain, Jerman, Sepanyol dan Itali, dengan sebarang penjualan pesawat pejuang itu perlu dipersetujui oleh keempat-empat buah negara.

Keputusan Berlin untuk membenarkan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu kepada Arab Saudi adalah kerana negara Arab itu dianggap membantu “menjaga keselamatan” Israel.

rafale
Pesawat pejuang Rafale oleh Dassault Aviation

 

Arab Saudi dianggap “menjaga keselamatan” Israel selepas sistem pertahanan udara miliki Riyadh bertindak menembak jatuh peluru-peluru berpandu dan dron berani mati dilancar kumpulan bersenjata Houthi terhadap negara Yahudi itu.

“Kerajaan Jerman tidak akan menghalang idea Britain untuk menjual lebih banyak pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi. Arab Saudi adalah penyumbang utama kepada keselamatan Israel dan negara Arab juga membantu dalam menghalang risiko konflik yang lebih meluas di rantau itu,”kata Menteri Luar Jerman  Annalena Baerbock.

Cadangan penjualan 48 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Riyadh berhadapan masalah selepas kerajaan Jerman pada 2018 bertindak menggantung penjualan sebarang senjata kepada Arab Saudi berikutan penculikan dan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi.

Urusniaga penjualan pesawat Eurofigher Typhoon kepada Arab Saudi itu berhadapan lebih banyak masalah apabila mahkamah British pada 2019 mengharamkan sebarang eksport senjata kepada negara Arab itu kerana tindakan tenteranya mengebom Yemen.

Bagaimanapun, akibat gencatan senjata di Yemen, Britain kini mahu meneruskan penjualan 48 buah pesawat Eurofighter Typhoon itu.

Britain memberikan tekanan terhadap Jerman supaya bersetuju meneruskan penjualan itu.

Typhoon

 

London menyatakan Jerman tidak lagi mempunyai alasan untuk menghalang penjualan pesawat pejuang Eurofighter itu selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun lepas memeterai perjanjian gencatan senjata antara Arab Saudi dan Yemen.

Bagaimanapun sehingga dua minggu lepas, kerajaan Jerman tetap berkeras dengan keputusannya untuk tidak menjual sebarang pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Arab Saudi sebelum mengubah fikiran.

Berhadapan dengan tentangan Jerman terhadap penjualan Eurofighter Typhoon, Arab Saudi dilapor menimbangkan cadangan untuk memperolehi sejumlah 54 buah pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis bagi tentera udaranya.

Jikalau perolehan pesawat pejuang Rafale itu direalisasikan oleh Arab Saudi, ia menandakan pembelian pesawat pejuang pertama buatan Perancis oleh negara Arab itu.

Pada Oktober lepas, akhbar mingguan Perancis Le Tribune menyatakan bahawa Arab Saudi secara rasmi telah meminta harga bagi perolehan 54 pesawat pejuang Rafale itu daripada syarikat pembuatnya, Dassault Aviation.

Sebelum ini, akhbar Perancis itu dalam laporannya menyatakan bahawa kerajaan Arab Saudi bercadang memperolehi di antara 100 buah hingga 200 buah pesawat pejuang Rafale,yang turut digunakan oleh beberapa negara jiran Arabnya.

Sejak beberapa tahun lepas, Dassault Aviation telah berjaya menembusi pasaran Timur Tengah dengan beberapa negara Arab membeli pesawat pejuang Rafale.

Antaranya adalah Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar yang telah memperolehi pesawat pejuang Rafale.

Adakah usaha Perancis menembusi pasaran pesawat pejuang Arab Saudi dengan Rafale kini bakal dihalang oleh Eurofighter Typhoon? — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com

Comments
Loading...