Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turkiye “Haram” Eksport Sebarang Senjata, Produk Pertahanan Kepada India

Hubungan di antara Turkiye dan India tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini, disebabkan sokongan kuat Ankara terhadap Islamabad dalam pertikainnya dengan New Delhi manakala India pula merupakan penyokong kepada Greek dalam "pertelingkahannya" dengan Ankara.

0 7,779

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye dilaporkan telah mengambil pendekatan untuk “mengharamkan” sebarang eksport senjata dan produk pertahanan kepada India, salah sebuah negara pengimport senjata terbesar di dunia.

Walaupun keputusan yang mempunyai implikasi strategik dan geo-politik, tetapi ia tidak diperbesarkan, malah ia hanya diketahui menerusi minit Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen Tukiye yang bersidang baru-baru ini.

Minit itu memetik Timbalan Pengerusi Agensi Industri Pertahanan (Defence Industry Agency – SSB) Turkiye, Mustafa Murat Seker yang secara tidak sengaja mendedahkan polisi negara itu terhadap India.

SSB merupakan agensi kerajaan Turkiye yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan perolehan peralatan pertahanan untuk negara Mediterranean itu.

Sambil menyatakan bahawa isu itu adalah sensitif, namun Seker memberitahu jawatankuasa parlimen itu bahawa tidak ada satu item yang ditakrifkan sebagai peralatan ketenteraan telah diluluskan penjualannya oleh kerajaan Turkiye kepada mana-mana pelanggan yang berpangkalan di India.

Walaupun bimbang kesan maklumat berkenaan keputusan “pengharaman” itu sekiranya ia terdedah kepada awam, namun minit jawatankuasa itu telah berjaya diperolehi oleh Nordic Research Monitoring Network (Nordic Monitor), sebuah organisasi yang memantau isu-isu keganasan, keselamatan dan ketenteraan.

Akinci
UCAV Akinci dengan sistem persenjataannya.

 

“India sebagai contohnya, adalah di antara lima negara pengimport senjata terbesar dunia. Satu pasaran yang besar,mengimport berbillion-billion dollar Amerika senjata. Bagaimanapun oleh kerana dasar politik dan persahabatan kami dengan Pakistan, Kementerian Luar Turkiye tidak membenarkan sebarang permit kepada syarikat (pertahanan) Turkiye (untuk mengeksport ke India),” menurut Seker.

Keputusan Turkiye itu adalah susulan kepada ketegangan hubungan diplomatik di antara Ankara dan New Delhi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya berpunca daripada sokongan kuat Turkiye terhadap Pakistan dalam “pertelingkahannya” dengan India.

India juga telah mengambil kedudukannya dalam isu-isu antarabangsa membabitkan Turkiye, sebagai contohnya, di dalam isu Nagorno-Karabakh,  kerajaan Turkiye telah menyokong Azerbaijan manakala New Delhi pula menyokong Armenia.

Kedua-dua negara, Turkiye dan India telah memberi bantuan persenjataan kepada Azerbaijan dan Armenia.

Di dalam isu pertikaian di antara Turkiye dengan musuh tradisinya, Greek, kerajaan India semakin galak menyokong Athens, malah, baru-baru ini New Delhi telah menawarkan untuk menjual peluru berpandu anti-kapal “BrahMos” kepada angkatan Tentera Greek.

India telah bertindak memasarkan peluru berpandu kruis “BrahMos” kepada Greek berikutan usaha kedua-dua negara untuk mengeratkan lagi hubungan pertahanan dan keselamatan antara mereka selepas Presiden India Narendra Modi melawat Greek pada tahun lepas.

Akinci

Perdana Menteri Greek Kyriakos Mitsotakis telah membuat lawatan balas ke New Delhi pada Februari lalu.

Pada April, Greek turut menghantar Panglima Angkatan Tenteranya Jeneral Dimitrios Choupis melawat New Delhi di atas undangan rakan sejawatnya, Jeneral Anil Chauhan dan mereka telah mengadakan perbincangan tentang kerjasama pertahanan yang lebih erat.

“Suara-suara” semakin kuat kedengaran dikalangan pakar-pakar pertahanan Greek yang mahukan kerajaan negara itu memperolehi sistem persenjataan yang strategik daripada India, yang merujuk kepada peluru berpandu kruis “BrahMos” yang dibangunkan secara bersama oleh syarikat India dan Russia.

Mereka mahu Greek memperolehi peluru berpandu kruis “BrahMos” itu untuk melindungi kawasan-kawasan milik negara itu di Aegean, Crete dan Cyprus.

Sementara itu, Turkiye juga telah menjual pelbagai jenis senjata kepada Pakistan daripada kapal-kapal perang kepada dron-dron bersenjata daripada Bayraktar dan Akinci bagi membantu angkatan tentera negara Asia Selatan itu.

Dron-dron bersenjata yang dibekalkan oleh Turkiye kepada Pakistan itu turut digunakan dalam memantau keadaan di sempadan di antara India-Pakistan yang sentiasa bergolak itu.

BrahMos
“BrahMos”

 

Perolehan dron, “AKINCI” oleh Pakistan membimbangkan agensi perisikan India kerana kemampuannya dron buatan Turkiye itu yang menggerunkan, termasuk sekiranya digandingkan dengan dron “Bayraktar TB2” yang dibangunkan oleh syarikat Turkiye, Baykar Technology.

Menurut salah seorang bekas pegawai perisikan India yang dipetik oleh sebuah portal pertahanan berpangkalan di negara itu, perolehan “AKINCI” itu membuktikan Pakistan terus-meneruskan kemampuan pertahanannya untuk mencapai pelbagai objektif termasuk merampas kembali Jammu dan Kashmir yang kini diduduki oleh New Delhi.

“Dengan memperolehi pesawat-pesawat tanpa pemandu yang bersenjata ini, Pakistan terus memastikan hasratnya untuk memiliki Jammu dan Kashmir tidak terpadam,” kata N K Sood yang merupakan bekas pegawai di Research and Analysis Wing (RAW), agensi perisikan luar negara utama India.

Pakistan juga dilaporkan bakal menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, KAAN. — DSA

 

Comments
Loading...