Turkiye Ada “Pilihan Lain” Sekiranya Jerman Enggan Jual Eurofighter Typhoon
“Turkiye mempunyai pilihan lain sekiranya Jerman menghalang penjualan pesawat pejuang Typhoon (kepada Turkiye), ” kata Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan dalam sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Turkiye menyatakan dengan jelas kepada Jerman bahawa ia mempunyai “pilihan lain” sekira cadangannya untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon ditolak oleh Berlin, yang berang dengan pendirian Ankara terhadap tindakan ketenteraan Israel di Gaza.
“Turkiye mempunyai pilihan lain sekiranya Jerman menghalang penjualan pesawat pejuang Typhoon (kepada Turkiye), ” kata Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan dalam sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz.
Erdogan yang sedang dalam rangka lawatan ke Jerman pada ketika ini berkata negara Eropah itu tidak berani mengkritik Israel kerana dibelanggu dengan perasaan bersalah (historical guilt) akibat peristiwa pembunuhan beramai-ramai etnik Yahudi ketika Perang Dunia Kedua.
“Jerman tidak mempunyai kebebasan untuk bercakap,” kata Erdogan.
Presiden Turkiye itu menyatakan dengan jelas bahawa Jerman bukanlah satu-satunya negara di dunia yang menghasilkan pesawat pejuang dan ia mempunyai alternatif lain sekiranya permohonannya untuk memperolehi pesawat pejuang Typhoon itu ditolak.
Pesawat pejuang Typhoon itu diperbuat oleh konsortium syarikat-syarikat Eropah yang berpangkalan di empat buah negara iaitu United Kingdom, Jerman, Itali dan Sepanyol.
Penjualan pesawat pejuang itu memerlukan persetujuan daripada keempat-empat negara Eropah yang menghasilkannya.
Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler mengesahkan bahawa negara itu mahu memperolehi 40 buah pesawat pejuang Typhoon dan persetujuan telah pun diperolehi daripada United Kingdom serta Sepanyol.
Tindakan Turkiye melemparkan kritikan-kritikan keras terhadap Israel dalam serangannya di Semenanjung Gaza telah membangkitkan kemarahan “rakan baik” Tel Aviv iaitu Jerman, yang kini bertindak-balas terhadap Ankara.
Canselor Jerman Olaf Scholz bertindak balas terhadap Turkiye dengan menghalang hasrat Ankara untuk membeli 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.
“Canselor (Jerman) tidak akan membenarkan penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon,” menurut seorang pegawai kanan Jerman kepada media antarabangsa.
Erdogan mahu Jerman menarik balik larangan eksport senjata yang dikenakan oleh Berlin terhadap Ankara bagi membolehkan negara Mediterranean memulakan proses perolehan untuk memperolehi pesawat pejuang buatan empat negara Eropah itu.
Berikutan serangan ganas dan kejam Israel terhadap Gaza yang sehingga kini yang telah mengorbankan lebih daripada 12,000 penduduknya terutama kanak-kanak dan wanita, Turkiye telah menggelar Tel Aviv sebagai “negara pengganas.”
Pada masa yang sama, Turkiye juga enggan tunduk kepada tekanan Barat supaya mengkategorikan Hamas sebagai organisasi pengganas, sebagaimana dilakukan oleh negara-negara Eropah dan negara anggota NATO yang lain.
Tindakan kerajaan pimpinan Erdogan itu tidak disenangi oleh Jerman yang merupakan negara penyokong kuat kepada Israel dan tindakan ketenteraannya terhadap Hamas dan bumi Semenanjung Gaza.
Turkiye mahu memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon bagi menggantikan pesawat pejuang F-4 Phantom miliknya yang telah berusia dan mesti digantikan dengan segera.
Ia perlu bertindak dengan pantas untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuangnya yang telah berusia terutamanya selepas dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 oleh Amerika Syarikat.
Ankara dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 oleh Amerika Syarikat selepas ia meneruskan hasratnya untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.
Bagi menampung keperluan bagi pesawat-pesawat pejuang moden, Turkiye telah memulakan pembangunan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri yang dipanggil “KAAN”, tetapi ia dijangka akan hanya beroperasi pada tahun 2028-2029.
Cadangan perolehan 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu berkemungkinan adalah fasa pertama, dengan perolehan lebih banyak pesawat pejuang itu bakal dilakukan pada fasa-fasa seterusnya.
Apakah pilihan Turkiye sekiranya cadangan untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu ditolak oleh Jerman? — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com