Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turkiye Bakal Masuki Era Kapal Selam Berkuasa Nuklear Dalam Tempoh Pertengahan

Bercakap dalam temuramah dengan majalah Warship International Fleet Review, Komander Tentera Laut Turkiye Laksamana Ercüment Tatlıoğlu berkata kepakaran dan teknologi untuk membina kapal selam berkuasa nuklear itu akan diperolehi menerusi program pembinaan kapal selam kebangsaannya dinamakan MILDEN (Milli Denizaltı Projesi).

0 3,748
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Turkiye mengesahkan perancangannya untuk memiliki kapal selam berkuasa nuklear, yang merupakan kemampuan deteren yang penting kepadanya serta untuk memenuhi visinya untuk menjadi kuasa pertengahan dengan pengaruh antarabangsa.
Bercakap dalam temuramah dengan majalah Warship International Fleet Review, Komander Tentera Laut Turkiye Laksamana Ercüment Tatlıoğlu berkata kepakaran dan teknologi untuk membina kapal selam berkuasa nuklear itu akan diperolehi menerusi program pembinaan kapal selam kebangsaannya dinamakan MILDEN (Milli Denizaltı Projesi).
“Melalui inisiatif ini, kita juga akan mengambil langkah penting ke arah pembinaan kapal selam berkuasa nuklear, yang amat penting bagi memperkukuh keupayaan deteren jangka panjang serta merealisasikan aspirasi kita untuk menjadi kuasa pertengahan yang berpengaruh di peringkat global,” kata beliau dalam temuramah itu yang dipetik oleh laman web pertahanan Turkiye, TURDEF.
Projek MILDEN merupakan inisiatif berani Turkiye untuk membangunkan dan membina kapal selam serangan pertama negara itu yang direka dan dihasilkan sepenuhnya secara tempatan.
Kapal selam ini menggunakan sistem kuasa diesel-elektrik dan turut dilengkapi dengan teknologi Air-Independent Propulsion (AIP) yang membolehkan ia beroperasi lebih lama di bawah permukaan tanpa perlu timbul ke permukaan.
Usaha ini bertujuan mempertingkatkan keupayaan operasi bawah laut Angkatan Laut Turkiye secara signifikan.
Setiap kapal selam kelas MILDEN dijangka mempunyai panjang melebihi 80 meter dengan berat anjakan permukaan sekitar 2,700 tan, menjadikannya tergolong dalam kategori kapal selam serangan bersaiz sederhana.
MILIDEN
MILDEN
MILDEN
Kapal selam kebangsaan (MILDEN)
Kapal selam ini direka untuk dilengkapi dengan teknologi Air-Independent Propulsion (AIP), yang membolehkannya beroperasi di bawah permukaan untuk tempoh yang lama tanpa perlu timbul ke permukaan, sekaligus meningkatkan tahap keupayaan senyap dan daya tahan dalam medan operasi.
Kelas MILDEN akan dilengkapi dengan pelbagai sistem senjata yang dibangunkan dalam negara, menggambarkan tahap kemampuan Turkiye yang semakin meningkat dalam membangunkan persenjataan maritim sendiri. Antara persenjataan yang bakal dibawa termasuk:
  • Torpedo berat AKYA, untuk operasi anti-kapal selam dan anti-kapal permukaan.
  • Peluru berpandu anti-kapal ATMACA, yang berupaya menyerang sasaran permukaan musuh dari jarak jauh.
  • Peluru berpandu jelajah darat GEZGİN, yang menawarkan keupayaan serangan tepat jarak jauh terhadap sasaran di daratan.
Reka bentuk konseptual awal bagi kapal selam kelas MILDEN telah disiapkan pada tahun 2022 di Limbungan Tentera Laut Gölcük, sekali gus meletakkan asas kepada program kapal selam pertama Turkiye yang dibangunkan sepenuhnya secara tempatan.
Pada bulan September 2022, projek ini memasuki fasa reka bentuk awal, yang memberi tumpuan kepada seni bina sistem, keupayaan misi dan proses integrasi komponen utama kapal selam.
Pembinaan rasmi kapal selam pertama kelas MILDEN bermula dengan upacara pemotongan keluli yang berlangsung pada 2 Januari 2025, menandakan detik penting dalam usaha pemodenan armada laut Turkiye.

Turki

Unit pertama kapal selam kelas ini dijangka akan ditauliahkan ke dalam perkhidmatan Angkatan Laut Turkiye pada awal dekad 2030-an, selepas menjalani ujian pelayaran laut dan penilaian keupayaan secara menyeluruh.
Dalam satu ucapan pada tahun 2019, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan telah mengkritik sikap berat sebelah masyarakat antarabangsa yang membenarkan sesetengah negara memiliki senjata nuklear, manakala negara lain dihalang daripada berbuat demikian.
Beliau dipetik berkata, “Sesetengah negara memiliki peluru berpandu berkepala peledak nuklear, bukan satu atau dua. Tetapi (mereka memberitahu kita) bahawa kita tidak boleh memilikinya. Perkara ini saya tidak boleh terima.”
Walaupun kenyataan itu merujuk secara khusus kepada senjata nuklear dan bukannya sistem propulsi, ia tetap mencerminkan minat lebih luas Turkiye terhadap teknologi nuklear untuk tujuan pertahanan.
Selain itu, usaha Turkiye untuk memiliki kapal selam berkuasa nuklear juga seiring dengan pembangunan infrastruktur tenaga nuklear negara itu, seperti Loji Kuasa Nuklear Akkuyu yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2025.
Kemajuan infrastruktur ini dijangka akan menyediakan kepakaran teknikal dan sumber tenaga yang diperlukan bagi menyokong pembangunan teknologi propulsi nuklear untuk kegunaan ketenteraan.
Sementera itu, tidak lama dahulu laporan media pertahanan Turkiye turut memetik penulisan seorang pegawai kanan tentera laut negara itu Lt Kolonel Deniz Aytan menyatakan bahawa tentera laut negara itu mengkaji secara komprehensif pelbagai kapal selam berkuasa nuklear terutamanya kapal selam berkuasa nuklear kelas-Barracuda (Suffren) milik Tentera Laut Perancis.
France
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Barracuda Perancis
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Barracuda milik Perancis itu akan menggantikan kapal-kapal selam kelas Rubis.
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Barracuda itu menjadi pilihan kajian komprehensif pegawai kanan tentera laut Turkiye itu kerana kemampuannya untuk bergerak dengan lebih senyap menerusi penggunaan pelbagai sistem moden,  menjadikannya senjata yang paling digeruni.
Pada ketika ini hanya enam buah negara di seluruh dunia memiliki kapal-kapal selam berkuasa nuklear seperti Amerika Syarikat, Russia, China, Perancis, United Kingdom serta India dan bakal disertai dalam tempoh beberapa tahun lagi oleh Australia.
Perancis memiliki lapan buah kapal selam berkuasa nuklear, dengan empat daripadanya berkemampuan membawa peluru-peluru berpandu ballistik yang dilengkapi dengan kepala peledak nuklear.
— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Leave A Reply

Your email address will not be published.