“Show of Presence” Pesawat Pejuang TUDM, TNI-AU di Selat Melaka
Di samping menjaga ruang udara di Selat Melaka, kerjasama pengoperasian dua hala yang dilaksanakan ini diharap dapat meningkatkan tahap kesiagaan operasi bagi kedua-dua angkatan udara, selain ‘show of presence’ demi keamanan ruang udara serantau khususnya di ruang udara kawasan perairan Selat Melaka.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersama Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) telah melaksanakan rondaan maritim udara dalam Operasi Patroli Udara Bersama Terkoordinasi Malaysia – Indonesia (PATKOR MALINDO) di ruang udara Selat Melaka.
Rondaan maritim udara di bawah PATKOT MALINDO itu bermula pada 7 November 23.
“Seiring dengan tujuan pengoperasian ini dilaksanakan, operasi ini adalah sebagai langkah pemantauan bersama di ruang udara Selat Melaka.”
“Di samping menjaga ruang udara di Selat Melaka, kerjasama pengoperasian dua hala yang dilaksanakan ini diharap dapat meningkatkan tahap kesiagaan operasi bagi kedua-dua angkatan udara, memupuk kerjasama bersepadu dan strategik kedua-dua buah negara serta secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan diplomasi pertahanan angkatan udara yang sedia terjalin.”
Kenyataan itu telah dikeluarkan oleh media sosial TUDM hari ini.
Di samping itu, rondaan bersama ini juga adalah sebagai ‘show of presence’ demi keamanan ruang udara serantau khususnya di ruang udara kawasan perairan Selat Melaka.
Dalam operasi ini, TUDM telah mengaturgerak tiga buah pesawat Hawk 108/208 dari No 15 Skuadron yang turut diterbangkan oleh Pegawai Memerintah, Lt Kol Mohd Hafis bin Hj Abu Bakar TUDM bersama Kapt Sangeethiran a/l Ganesan TUDM sebagai pesawat pertama.
Pesawat kedua pula diterbangkan oleh Kapt Mohammad Hafizi bin Baser TUDM dan pesawat ketiga diterbangkan oleh Mej Mohd Firdaus bin Mohd Noor Arif TUDM bersama Kapt Muhammad Afiq bin Mohd Yusop TUDM.
Operasi PATKOR MALINDO kali ini turut melibatkan CRC Kuantan sebagai Pusat Kawalan Operasi, JAMCC Sepang dan Civil Aviation Authority Malaysia (CAAM) sebagai koordinator untuk ruang udara yang difokuskan.
TNI-AU pula mengaturgerak dua buah pesawat F16 C dari Skuadron Udara 16 yang berlepas dari LANUD Roesmin Nurjadin, Pekan Baru.
Pesawat yang menggunakan nama panggilan “Rydder” ini diterbangkan oleh Kapten PNB Didik dan Lettu PNB Ghazi manakala Komando Sektor 1 Medan bertindak sebagai Pusat Kawalan Operasi bagi TNI-AU.
Rondaan Udara Bersama ini adalah bukti jalinan kerjasama pertahanan serantau bagi menjaga keselamatan dan kestabilan ruang udara dua negara berjiran Malaysia dan Indonesia yang memanfaatkan banyak pihak.
Operasi ini adalah kesinambungan hasil daripada Mesyuarat PATKOR MALINDO SIRI 2/23 yang telah diadakan pada 1 hingga 3 November 2023 baru-baru ini. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com