K’jaan Perlu Konsisten Tentang Komitmennya Bangunkan Kekuatan TUDM
TUDM berharap kerajaan akan sentiasa konsisten di dalam komitmen dan sokongan mereka untuk memastikan rancangan pembangunan kekuatan TUDM dapat dilaksanakan,
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berharap kerajaan sentiasa konsisten dalam komitmen dan sokongan mereka untuk memastikan kesemua usaha pembangunan kemampuan yang telah dirancang oleh angkatan udara itu dapat dilaksanakan.
Menerusi temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris tempatan, Asian Defence Journal (ADJ) keluaran Mei-Jun tahun ini, Panglima TUDM Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan berkata tugas utama TUDM adalah memelihara kedaulatan ruang udara negara selaras dengan undang-undang antarabangsa dan dasar-dasar negara ini.
“Pembangunan dan peningkatan kekuatan TUDM memerlukan sokongan penuh daripada negara. TUDM berharap kerajaan akan sentiasa konsisten dalam komitmen dan sokongan mereka untuk memastikan rancangan pembangunan kekuatan TUDM dapat dilaksanakan,” katanya di dalam temuramah itu.
Menurutnya, adalah amat penting supaya TUDM memenuhi lompang-lompang dalam pertahanan negara dalam untuk memelihara kedaulatan dan kepentingan negara.
“Rakyat Malaysia perlu mempunyai pemikiran yang kuat berkenaan keselamatan negara dan budaya patriotik bagi membolehkan mereka menghargai segala inisiatif yang telah dirangka oleh TUDM untuk memelihara keselamatan negara,” katanya.
Selaras dengan tema hari ulangtahun ke-64 TUDM tahun ini iaitu ‘Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara’, maka kuasa udara katanya, adalah elemen yang penting dalam kekuatan pertahanan negara untuk memelihara kedaulatan Malaysia.
“Peranan utama TUDM sebagai angkatan utama dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara adalah perisai yang memelihara kekayaan negara. Penubuhan TUDM juga adalah penting kerana ia memelihara kesemua kepentingan negara dalam kesemua domain,” kata beliau.
TUDM kata panglima,kekal berada di kedudukan yang strategik untuk terus memainkan peranan yang berkesan menerusi aplikasi kekuatan udara dalam pelbagai bidang yang berkepentingan.
Angkatan udara negara menurutnya sedang memfokuskan usaha untuk membangunkan sumber manusia yang berkeupayaan dan berkapasiti tinggi, berkemahiran tinggi dalam mengendalikan sistem-sistem yang moden serta serta mempunyai kemampuan canggih selaras dengan evolusi dan kemajuan teknologi.
Ditanya mengenai ‘standard operating procedure’ (SOP) dalam menangani cabaran pencerobohan pesawat-pesawat tentera udara negara asing, Panglima TUDM berkata, strategi, taktik dan prosedur yang dilaksanakan oleh TUDM berkenaan pencerobohan pesawat asing itu adalah berdasarkan kepada Strategi Pertahanan Udara Negara (SPUN).
Bagaimanapun katanya, elemen paling penting untuk membolehkan TUDM melaksanakan misinya dengan jaya adalah dengan memiliki kemampuan atau aset yang bersesuaian bagi membolehkan angkatan udara itu memainkan peranan dan fungsi sebagaimana digariskan oleh pelan CAP 55.
Pada 31 Mei tahun lepas, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia (ZMM) Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara nasional.
Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.
“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. “
“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” menurut TUDM dalam kenyataan itu. — DSA
Comments are closed.