TUDM ke Kuwait September Untuk Penilaian Teknikal 38 Buah F/A-18 C/D Hornet Milik KAF
Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada Amerika Syarikat (AS) sebagai pengeluar pesawat berkenaan untuk melakukan penilaian teknikal itu.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melakukan penilaian teknikal terhadap 38 pesawat F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF), September ini.
Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata, pihaknya sudah mendapat kelulusan daripada Amerika Syarikat (AS) sebagai pengeluar pesawat berkenaan untuk melakukan penilaian teknikal itu.
“Selepas pihak negara pengeluar (Amerika Syarikat) memberikan kelulusan untuk perolehan pesawat berkenaan, TUDM kini boleh melihat dokumentasi dan rekod berkaitan pesawat berkenaan dan kami sudah mempersiapkan pasukan untuk membuat penilaian di sana.
“Mereka dijangka berlepas ke Kuwait September ini untuk menilai kesesuaian pesawat ini untuk dibeli, proses penilaian dijangka mengambil masa antara tiga minggu untuk mereka menilai semua dokumen dan rekod mengenai pesawat berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Perintah Ulung Panglima Tentera Udara Ke-21 di Pangkalan Udara Subang.
Norazlan berkata, penilaian teknikal berkenaan adalah penting bagi melihat aspek kesesuaian pesawat berkenaan terutamanya membabitkan isu penyelenggaraan.
“Seperti sedia maklum pesawat ini adalah pesawat pejuang terpakai, kita perlu melihat dari pelbagai aspek seperti penyelenggaraan pada masa hadapan, tiada guna jika kita mampu beli dalam jumlah yang banyak tetapi tidak mampu untuk menyelenggara (maintain) pesawat ini untuk operasi kita,” katanya.
Mengulas mengenai tarikh penyerahan pesawat berkenaan, Norazlan berkata, ia bergantung kepada tarikh bilakah Tentera Udara Kuwait menerima pesawat F/A-18E/F Super Hornet.

“Saya difahamkan kalau (Kuwait) dapat empat pesawat (Super dapat diserahkan kepada Kuwait kita akan terima empat buah pesawat, jika mereka (Kuwait) terima lapan pesawat kita (TUDM) juga akan terima lapan,” katanya.
Panglima TUDM sebelum ini, Jeneral Tan Sri Asghar Khan Goriman Khan mengesahkan bahawa Washington telah memberikan kelulusan yang diperlukan untuk meneruskan rundingan pemerolehan tersebut.
“Ada perkembangan positif dalam rundingan ini… kita telah menubuhkan satu jawatankuasa yang dianggotai oleh Kementerian Pertahanan kedua-dua negara serta Tentera Udara Kuwait, dan Amerika Syarikat telah memberi kelulusan untuk kita teruskan perbincangan,” katanya.
Menurut beliau, proses perolehan dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat, namun Malaysia masih perlu menunggu sehingga Kuwait menerima pesawat F/A-18E/F Super Hornet yang dibeli daripada Amerika Syarikat sebelum proses pemindahan dapat dimuktamadkan.
“Sebaik sahaja Kuwait terima Super Hornet mereka, insya-Allah, proses pemindahan kepada Malaysia akan berjalan dengan lancar. Perbincangan sudah pun dimulakan,” ujarnya lagi.
Di bawah peruntukan Arms Export Control Act Amerika Syarikat, sebarang pemindahan aset ketenteraan buatan negara itu – termasuk yang telah dimiliki negara ketiga – perlu mendapat kelulusan rasmi daripada Kongres Amerika Syarikat.
