Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TUDM Hantar Tiga Buah F/A-18D Hornet, Sebuah A400M Sertai Eksesais Pitch Black 2024 di Australia

Penglibatan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi Eksesais Pitch Black 2024 di Australia kali ini terdiri daripada 37 pegawai dan 66 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dengan tiga buah pesawat tempur F/A-18 D Hornet bersama sebuah pesawat pengangkut A400M.

0 5,793

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),  Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan telah menyempurnakan acara send-off kontinjen TUDM Eksesais Pitch Black 2024 di Australia bertempat di Pangkalan Udara Butterworth hari ini. 

Eksesais Pitch Black merupakan eksesais pertempuran udara utama dan terbesar yang diadakan dua tahun sekali oleh Australia melibatkan pelbagai negara.

Menurut kenyataan media sosial TUDM hari ini, eksesais ini akan dilaksanakan bermula pada 12 Julai hingga 2 Ogos 2024 yang dioperasikan secara berpusat di Pangkalan Udara Royal Australia Air Force Darwin, Tindal dan Amberley. 

TUDM telah menyertai eksesais ini sebanyak tiga kali bermula pada tahun 2008, 2018 dan 2022.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2022, ianya hanya melibatkan penyertaan anggota tanpa apa-apa aset.

Pitch Black
(kredit TUDM)

 

Pada tahun ini merupakan penyertaan TUDM buat kali keempat.

Penglibatan TUDM bagi eksesais ini terdiri daripada 37 pegawai dan 66 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dengan tiga buah pesawat tempur F/A-18 D Hornet bersama sebuah pesawat angkut A400M.

Kontinjen TUDM akan diketuai oleh Kolonel Hasfa Nyzam bin Abdul Hamid TUDM selaku Ketua Delegasi. 

Edisi eksesais kali ini akan menjadi penganjuran terbesar sepanjang 43 tahun dilaksanakan dimana akan disertai oleh 20 buah negara melibatkan 140 buah pesawat pelbagai varian dengan kehadiran kira-kira 4,435 orang penyertaan anggota.

Antara negara-negara yang akan menyertai Pitch Black 2024 ialah Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Sepanyol, Itali, Kanada, New Zealand, Fiji, Korea, Jepun, Singapura, Filipina, India, Thailand, Indonesia, Brunei dan beberapa lagi negara.

Pitch Black
(kredit TUDM)
Pitch Black
(kredit TUDM)

 

Pelaksanaan Eksesais Pitch Black ini akan meliputi skala latihan berspektrum penuh yang menampilkan pelbagai ancaman realistik dan simulasi yang boleh ditemui dalam persekitaran ruang pertempuran moden.

Semasa eksesais ini, TUDM akan terlibat dalam latihan Force Integration Phase (Latihan pertempuran udara iaitu Basic Fighter Maneuvers (BFM), Air Combat Tactic (Latihan pertempuran udara melalui konsep Beyond Visual Range).

TUDM juga akan terlibat dengan Large Force Employment Phase (Menggabungkan semua aset pejuang, Multi Role Transport Tanker dan Command and Control (C2) melaksanakan Integrated Air Operation) dan Air to Air Refueling.

Pembabitan TUDM dalam eksesais berskala besar ini secara tidak langsung dapat memberikan pengetahuan baru kepada anak kapal dan krew pesawat yang terlibat dari segi perancangan dan pelaksanaan eksesais yang penuh mencabar.

Pitch Black
(kredit TUDM)
Pitch Black
(kredit TUDM)

 

Dengan penyertaan TUDM dalam eksesais ini juga mampu menyumbang kepada peningkatan tahap kesiagaan operasi, kebolehkendalian (Interoperability) aset-aset strategik milik TUDM, penguasaan taktik peperangan udara selain meningkatkan kapasiti dan kemahiran pegawai dan anggota TUDM yang terlibat. 

Panglima Tentera Udara turut menyempurnakan pemakaian ‘patches’ Pitch Black 2024 kepada pegawai dan anggota yang terlibat dalam eksesais ini serta memberikan kata-kata semangat kepada mereka. 

Turut hadir adalah Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada bin Ismail TUDM dan Panglima Wilayah Udara 1, Mejar Jeneral Dato’ Mahadzer bin Amin TUDM. — DSA

Comments
Loading...