Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Usaha Perolehan Batch Kedua FA-50 TUDM Akan Bermula “Tidak Lama Lagi” – Sumber

Pada LIMA 2023 yang berlangsung di Pulau Langkawi Mei lepas, Kementerian Pertahanan dan KAI menandatangani perjanjian pembelian Batch Pertama 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 bernilai kira-kira RM4 billion.

0 10,326

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha perolehan kumpulan kedua 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan bermula “tidak lama lagi”, sebagaimana diberitahu oleh sumber kepada Defence Security Asia.

Sekiranya usaha perolehan yang bakal bermula tidak lama lagi itu berjaya, maka secara keseluruhannya TUDM akan memiliki 36 buah pesawat pejuang FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).

“Perolehan Batch Kedua 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 oleh TUDM itu akan bermula sebaik sahaja penghantaran (kepada TUDM) Batch Pertama 18 buah pesawat FA-50 selesai dilaksanakan.”

“Proses perolehan itu akan bermula tidak lama lagi,” kata sumber itu, tanpa menjelaskan dengan lebih lanjut secara spesifik bilakah proses perolehan itu akan bermula.

Sumber itu juga menjelaskan bahawa perolehan Batch Kedua 18 pesawat FA-50 tidak melibatkan sebarang proses tender baru kerana tender sebelum ini telah pun menyatakan perolehan sebanyak 36 buah pesawat pejuang ringan terbabit.

Pada LIMA 2023 yang berlangsung di Pulau Langkawi Mei lepas, Kementerian Pertahanan dan KAI menandatangani perjanjian pembelian Batch Pertama 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 bernilai kira-kira RM4 billion.

FA-50

TUDM dijangka mula menerima kumpulan pertama empat buah pesawat pejuang FA-50 Block 20 pada akhir tahun 2026.

“Empat buah pesawat (FA-50 Block 20) yang pertama daripada 18 buah akan diterima pada akhir tahun 2026, sebelum diiikuti oleh pesawat-pesawat yang lain secara berperingkat,” kata sumber kepada Defence Security Asia sebelum ini.

 Kesemua 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50 keluaran syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) yang bakal diperolehi oleh Malaysia dibawah program perolehan Fasa 1 pesawat itu terdiri daripada varian Block 20.

Varian FA-50 Block 20 adalah varian paling berkemampuan dan terkini berbanding varian lain pesawat pejuang tersebut.

Malaysia merupakan pelanggan pertama bagi varian FA-50 Block 20 di Asia Tenggara dan kedua di dunia selepas Poland yang turut menandatangani perjanjian dengan KAI pada 2022 untuk memperolehi varian terkini bagi pesawat pejuang ringan itu.

FA-50

Poland memperolehi 48 buah pesawat FA-50 terdiri daripada kombinasi varian Block 20 dan Block 10.

Selain Malaysia, pengguna lain pesawat pejuang FA-50/T-50 daripada varian terdahulu di Asia Tenggara adalah Thailand (14 buah T-50), Filipina (12 buah FA-50 dan Indonesia (22 buah T-50).

Pesawat FA-50 Block 20 digunakan oleh TUDM itu akan dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “PhantomStrike” keluaran firma pertahanan Raytheon Intelligence & Space   daripada Amerika Syarikat.

Selain itu pesawat FA-50 Block 20 TUDM itu juga akan dilengkapi dengan dengan kelengkapan radio U/VHF yang hampir sama digunakan digunakan oleh varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70.

Pesawat F-16 yang lebih dikenali dengan panggilan “Viper” itu dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

FA-50

Pesawat FA-50 Block 20 yang digunakan oleh TUDM itu juga dilaporkan bakal dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2” (military tactical data link) yang selamat, secure, bebas daripada usaha pemintasan pihak musuh dan lain-lain lagi.

TUDM juga bakal melengkapi FA-50 Block 20 miliknya dengan  “Sniper Advanced Targeting Pod,” yang turut dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin.

Selain itu varian pesawat itu juga akan dilengkapi dengan meriam 20mm gun, peluru berpandu AIM-9, GBU-12 LGB Integration,  GBU-38 JDAM (Joint Direct Attack Munitions) dan peluru berpandu AGM-65 Maverick. — DSA

Comments
Loading...