Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thailand Mahu Beli 12 Buah Lagi Gripen, Tambah Pemilikan Pada 24 Buah Keseluruhannya

Tentera Udara Thailand mahu memperolehi 12 buah pesawat pejuang Gripen bagi menggantikan pesawat-pesawat pejuang F-16 miliknya yang sudah pun berusia dan perlu dibersarakan pada tahun 2028. Pada ketika ini, Thailand sudah pun memiliki 12 buah pesawat pejuang Gripen buatan Sweden yang dibelinya pada 2011.

0 4,074

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Thailand dijangka mendedahkan rancangan pembangunannya dalam satu symposium bulan depan yang akan turut meliputi usaha memperolehi 12 buah lagi pesawat pejuang Gripen buatan Sweden, bagi menambah jumlah pesawat pejuang itu yang sudah pun dimilikinya ketika ini.

Sebagaimana dipetik sebagai berkata oleh Bangkok Post, panglima tentera udara negara itu Phanpakdee Pattanakul berkata, rancangan pembangunan tentera udara itu akan menggariskan beberapa perkara penting untuk masa depannya termasuk perolehan peralatan dan senjata baru.

Simposium pembangunan Tentera Udara Thailand itu dijangka akan berlangsung pada akhir bulan depan.

“Rancangan pembangunan Tentera Udara Thailand itu akan menyertakan perancangannya untuk mendapatkan pesawat pejuang baru bagi menggantikan kira-kira 40 buah F-16 miliknya yang sudah berusia dan perlu dibersarakan pada tahun 2028,” kata beliau.

Perolehan pesawat pejuang baru untuk negara Asia Tenggara itu dijangka akan bermula pada tahun 2025 dan dilaksanakan di dalam tiga fasa.

Sumber memberitahu Bangkok Post bahawa Tentera Udara Thailand akan memperolehi empat buah pesawat pejuang baru dalam setiap fasa dan rancangan itu telah pun dikemukakan kepada Kabinet negara itu untuk kelulusan.Gripen

Bagaimanapun keputusan tentang jenis pesawat pejuang yang menjadi pilihan Tentera Udara Thailand masih belum dibuat, walaupun pilihan utama adalah Gripen memandangkan negara itu telah pun memiliki 12 buah pesawat itu yang dibangunkan oleh syarikat Sweden, Saab Group pada ketika ini.

Kesemua 12 buah pesawat pejuang Gripen Thailand beroperasi di sebuah pangkalan udara di Surat Thani di selatan negara itu.

Thailand memperolehi 12 buah pesawat pejuang Gripen yang dibangunkan oleh Saab Group daripada Sweden itu pada 2011, tetapi salah sebuah daripada pesawat pejuang itu terhempas pada pertunjukan udara di Hatyai beberapa tahun lepas.

Negara Asia Tenggara itu juga menggunakan sebuah pesawat amaran awal (AEWC) “Erieye” yang diperolehinya bersama-sama pesawat pejuang Gripen itu.

Selain Gripen, terdapat juga spekulasi menyatakan bahawa Thailand mungkin berminat kepada varian terkini F-16 Block 70, selepas usahanya untuk membeli pesawat pejuang F-35 daripada Amerika Syarikat ditolak oleh Washington.Gripen

Bagaimanapun, media-media di Thailand menyatakan bahawa tentera udara negara itu lebih berminat untuk menambah jumlah pesawat pejuang Gripen yang sudah pun dimilikinya pada ketika ini.  

Pada Mac tahun lepas,  Amerika Syarikat telah memaklumkan secara rasmi kepada Thailand bahawa ia menolak hasrat negara Asia Tenggara itu untuk membeli pesawat F-35 Joint Strike Fighter yang dibangunkan oleh firma pertahanan, Lockheed Martin.

Washington memberikan alasan negara bahawa Bangkok  “belum bersedia” untuk mengoperasikan pesawat canggih itu.

Amerika Syarikat menyatakan bahawa Thailand tidak memiliki infrastruktur dan jaminan keselamatan untuk memiliki dan mengoperasikan pesawat itu.

Ia meliputi keselamatan pangkalan udara yang akan menempatkan pesawat F-35 itu, penyelenggaraan, juruterbang serta krew-krew yang terlibat dengan pengoperasian pesawat itu.

Sebaliknya Amerika Syarikat telah menawarkan kepada Thailand pesawat-pesawat pejuang lain untuk dipertimbangkan oleh negara itu bagi menggantikan pesawat F-35 itu.

Washington dikatakan telah menawarkan kepada Thailand, varian terkini F-16 Block 70 dan juga F-15 berkemunginan varian “EX”, tetapi tiada respons daripada pihak Tentera Udara Thailand sehingga ini.  — DSA

Comments
Loading...