Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TUDM Terus Gunakan Pesawat C-130 Hercules Sehingga Tahun 2040

Menurutnya Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, program penggantian pesawat pengangkut C-130 Hercules akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dalam Rancangan Malaysia Ke-16 (RMK-16) di antara tahun 2040-2045.

0 4,494

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terus mengoperasikan pesawat pengangkut C-130 Hercules sehingga tahun 2040, menurut Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ia adalah selaras dengan pelan pembangunan TUDM, CAP 55.

Menurutnya, program penggantian pesawat pengangkut yang menjadi tulang belakang kepada TUDM itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula dalam Rancangan Malaysia Ke-16 (RMK-16) bagi mendukung misi dan visi TUDM.

Katanya,aspek kewangan juga diambil kira untuk pastikan dana awam itu digunakan sebaik mungkin bagi tujuan pertahanan negara. 

Adly berkata demikian bagi menjawap pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) mengenai perancangan masa depan kementerian berhubung penggunaan pesawat pengangkut C-130 oleh TUDM.

TUDM
(kredit TUDM)

 

Beliau juga berkata bahawa kehadiran empat buah pesawat pengangkut strategik Airbus A400M di dalam TUDM bermula pada tahun 2015 telah meningkatkan keupayaan logistik strategik angkatan udara negara.

“Kehadiran pesawat angkut strategik A400M pada tahun 2015 telah meningkatkan keupayaan dukungan logistik strategik TUDM dengan jarak rangkuman lebih jauh,”katanya.

Beliau berkata, pada ketika ini TUDM mengoperasikan tiga jenis pesawat angkut bagi mendukung pelbagai tugasan bantuan logistik pertahanan, iaitu CN-235, Hercules C-130 dan Airbus A400M.

TUDM memiliki sepuluh buah pesawat C-130 Hercules termasuk beberapa varian C-130H-30 dan empat buah varian pengisi minyak, KC-130H.

Kesemua pesawat pengangkut C-130 Hercules itu ditempatkan di Skuadron 20 di Pangkalan Udara Subang serta Skuadron 14 di Pangkalan Udara Labuan.

TUDM
TUDM

 

Dengan pesawat Hercules itu akan hanya digantikan pada tahun 2040 iaitu di antara 15 hingga 20 tahun lagi, maka TUDM perlu berusaha untuk memastikan pesawat itu terus relevan dan dilengkapi dengan pelbagai teknologi selari dengan peredaran zaman.

Baru-baru ini, TUDM menerusi satu kenyataan berkata bahawa ia telah berjaya mewujudkan kembali keupayaan Senggaraan Barisan Kedua (2nd Line Servicing) bagi Kejuruteraan TUDM.

 Ianya terbukti dengan berlangsungnya Penyerahan Pesawat C130H (M30-08) yang sempurna selepas menjalani senggaraan Structural Inspection 33 years (ST 33 years) daripada Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Labuan kepada No 14 Skuadron.

Cawangan Kejuruteraan Pangkalan Udara Labuan telah dipilih untuk melakukan penyelenggaraan pesawat di Barisan Ke-Dua (2nd Line Servicing) bagi pesawat C130H secara berperingkat dan progresif buat julung kalinya.

A400M
Pesawat pengangkut A400M TUDM

 

Pesawat C130H (M30-08) telah dipilih dan merupakan pesawat pertama yang menjalani rawatan Structural Inspection (ST 33 Years) di Cawangan Kejuruteraan PU Labuan.

Pelaksanaan Rawatan ST 33 Years ini telah bermula pada tanggal 15 Mac 2021 dan pesawat telah berjaya disiapkan pada 22 Nov 2022 dan termeterai sejarah sebagai bukti kejayaan Kejuruteraan TUDM.

Pesawat berkenaan juga telah berjaya melaksanakan penerbangan pertama, 1st Functional Check Flight (FCF) pada 22 Oktober 2022 yang menunjukkan keberhasilan dan kejayaan projek ini sekaligus membuktikan bahawa pegawai dan anggota TUDM turut mempunyai kepakaran, kompeten serta mampu bersaing dengan industri luar. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...