Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Waris Sultan Sulu Cuba Rampas Tiga Hartanah Milik Malaysia Di Paris

Pihak yang dikatakan waris kepada Sultan Sulu yang terakhir di Filipina sedang berusaha untuk menguatkuasakan anugerah AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu untuk menyelesaikan pertikaian dengan kerajaan Malaysia berhubung perjanjian tanah era penjajah.

0 9,650

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Bailif Perancis cuba menguatkuasakan perintah rampasan terhadap tiga hartanah di Paris yang dimiliki oleh kerajaan Malaysia dalam kes yang dikaitkan dengan anugerah mahkamah AS$15 bilion kepada keturunan bekas sultan, menurut peguam waris dan dokumen mahkamah yang dilihat oleh Reuters.

Bailif cuba menilai hartanah itu pada Isnin berikutan perintah rampasan yang dikeluarkan mahkamah pada Disember, tetapi pegawai Malaysia di kedutaan Paris menolak tindakan mereka, kata peguam dan kerajaan Malaysia.

(Bailif ialah pegawai mahkamah yang menyampaikan writ dan saman, membuat sitaan dan memastikan bahawa perintah mahkamah dijalankan)

Pihak yang dikatakan waris kepada Sultan Sulu yang terakhir di Filipina sedang berusaha untuk menguatkuasakan anugerah AS$14.9 bilion yang diberikan kepada mereka oleh mahkamah timbang tara Perancis tahun lalu untuk menyelesaikan pertikaian dengan kerajaan Malaysia berhubung perjanjian tanah era penjajah.

Malaysia, yang tidak mengambil bahagian dalam timbang tara itu, berpendirian proses tersebut adalah menyalahi undang-undang dan telah memperoleh penangguhan keputusan di Perancis.

Sulu
Pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu terhadap Lahad Datu pada 2013.

 

Hartanah di Paris hanyalah senarai ketiga aset Malaysia yang telah diakui oleh waris berkenaan secara terbuka untuk dituntut.

Mereka juga telah mendapatkan perintah rampasan untuk unit firma minyak negara Petronas di Luxembourg dan telah meminta kebenaran daripada mahkamah Belanda untuk merampas aset di Belanda.

Anugerah itu boleh dikuatkuasakan secara global terhadap kebanyakan aset Malaysia, selain dari premis diplomatik, menurut konvensyen PBB mengenai timbang tara.

Walaupun terdapat perintah penangguhan, seorang hakim Perancis pada Disember tahun lalu membenarkan permintaan waris berkenaan untuk merampas tiga hartanah kerajaan Malaysia di Paris bagi menyelesaikan hutang yang didakwa mereka sebanyak $2.3 juta euro (AS$2.46 juta), menurut dokumen mahkamah yang dikongsi oleh peguam waris itu.

Cubaan rampasan di Paris tidak dilaporkan sebelum ini.

Malaysia telah diperintahkan untuk membayar waris berkenaan jumlah di bawah anugerah timbang tara awal yang diberikan kepada mereka di Sepanyol, yang tidak terikat dengan perintah penangguhan di Perancis, kata peguam.

Kementerian undang-undang Malaysia tidak menjawab permintaan untuk mengulas mengenai anugerah permulaan itu.

Hakim Perancis juga mendapati hartanah yang terletak di arondisemen (pentadbiran daerah) ke-16 berhampiran kedutaan Malaysia di Paris, tidak layak ditakrifkan sebagai premis diplomatik, menurut dokumen mahkamah.

Tidak seperti kedutaan, ia tidak mempunyai papan tanda rasmi dan tidak tertakluk kepada pengecualian cukai Perancis, kata hakim itu.

Sulu

Pada Isnin, bailif Perancis cuba menilai ketiga-tiga hartanah tersebut sebagai persediaan jualan, kata peguam. Hasil jualan akan disalurkan kepada waris.

Jurucakap kementerian undang-undang Malaysia berkata bailif hadir di kedutaan Malaysia di Paris tetapi tidak dibenarkan memasuki premis itu. Mereka enggan mengulas lanjut. Sementara itu, Kementerian luar Malaysia dan kedutaannya di Paris juga enggan memberikan maklum balas.

Reuters tidak dapat mengesahkan sama ada bailif cuba memasuki ketiga-tiga hartanah itu atau tidak yang tertakluk kepada perintah rampasan.

Paul Cohen, seorang peguam untuk waris Sultan Sulu yang dikatakan itu, berkata perintah mahkamah itu “tidak jelas” dalam arahannya untuk merampas harta berkenaan dan terpulang kepada mahkamah untuk memutuskan langkah seterusnya.

“Sehinggakan rakyat Malaysia menyekat bailif untuk masuk, mereka secara terbuka menentang perintah mahkamah Perancis,” kata Cohen.

Kerajaan Malaysia dan mahkamah Perancis, Tribunal Judiciaire de Paris, tidak segera menjawab permintaan untuk mendapatkan komen.

Bulan lalu, bailif mahkamah Luxembourg mengeluarkan perintah rampasan baru terhadap dua unit aset Petronas dalam usaha yang sama. Syarikat itu berkata tindakan waris adalah tidak berasas dan ia akan terus mempertahankan kedudukan undang-undangnya.

Sulu
Bedilan mortar 81mm terdapap kedudukan pengganas Sulu di Kampung Tanduo pada 2013.

 

Malaysia sebelum ini berikrar untuk mengambil semua langkah undang-undang untuk melindungi asetnya di seluruh dunia.

Pertikaian itu berpunca daripada perjanjian yang ditandatangani pada 1878 antara dua penjajah Eropah dan Sultan Sulu untuk menggunakan wilayahnya pada masa itu – yang kemudiannya menjadi Malaysia – perjanjian yang dihormati oleh Malaysia sehingga 2013, membayar token setiap tahun kepada waris Sultan Sulu.

Kuala Lumpur menghentikan pembayaran selepas pencerobohan berdarah pada 2013 oleh penyokong bekas kesultanan Sulu yang ingin menuntut semula tanah dari Malaysia. Waris sultan Sulu, yang pernah menguasai wilayah yang merangkumi kepulauan yang diliputi hutan hujan di selatan Filipina dan sebahagian pulau Borneo, berkata mereka tidak terlibat dalam pencerobohan itu dan memohon prosiding timbang tara berhubung penggantungan pembayaran.

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...