Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

TUDM Bakal Operasikan Tujuh Aset Baru Bermula 2024 – Panglima

Ketujuh-tujuh aset baru yang bakal dioperasikan oleh TUDM seawal tahun 2024 itu adalah pesawat FLIT/LCA, sistem UAS-MALE, pesawat peronda maritim, Long Range Air Defence System, Air Defence Radar, Medium Range Air Defence System dan helikopter utiliti.

0 11,433

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bakal mengoperasikan tujuh aset baru seawal tahun 2024 yang bakal meningkatkan lagi kemampuannya dalam memelihara kedaulatan negara daripada segala anasir.

Panglima TUDM Jeneral Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan selepas menyatakan perintah ulung berkata, antara aset yang bakal dioperasi oleh TUDM bermula pada tahun 2024 itu termasuk pesawat-pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).

Dipetik sebagai berkata oleh agensi berita nasional (Bernama) hari ini, beliau juga berkata, perolehan dua aset penting iaitu Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE-UAS) dan pesawat peronda maritim (MPA) juga dijangka berlaku pada 2024 dan 2025.

Sea Guardian
Pesawat Tanpa Pemandu “MQ-9B Sea Guardian”

 

Perolehan kedua-dua aset ini amat penting terutamanya dalam memantau sebarang pencerobohan anasir asing di perairan negara terutamanya di Laut China Selatan.

Defence Security Asia sebelum ini pernah melaporkan bahawa skuadron MALE-UAS milik TUDM itu akan ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan, yang berkemungkinan menandakan bahawa medan operasi utamanya adalah di Laut China Selatan.

“Bagi pesawat tanpa pemandu UAS, ia kini di peringkat penilaian fizikal yang telah disenarai pendek oleh Lembaga Perolehan Kementerian Pertahanan dan proses ini masih berjalan. 

FLIT/LCA
Dron “Anka” yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace (TUSAS).

 

“Perolehan MPA pula masih di peringkat Kementerian Kewangan dan ada beberapa calon (syarikat pesawat) yang telah disenaraikan untuk tindakan selanjutnya,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita nasional itu hari ini.

Mohd Asghar Khan mengambil alih tampuk pemerintahan TUDM daripada Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad baru-baru ini.

Sebagaimana Ackbal, beliau merupakan juruterbang pesawat pejuang dan pernah menjadi komander skuadron MiG-29N dan Sukhoi Su-30MKM milik TUDM.  

Sementara itu, Panglima TUDM juga berkata bahawa TUDM akan menerima tiga buah sistem radar pertahanan udara jarak jauh (LORAD) (Long Range Air Defence Radar System) dan satu sistem radar pertahanan udara pada 2024 melalui jalinan kerjasama pertahanan antara negara. 

Radar
Radar TPS-77 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin ini akan ditempatkan di Labuan,

 

Beliau mungkin merujuk kepada pegumuman Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat bahawa ia telah memberikan kontrak bernilai US$25.1 juta (RM103 juta) kepada syarikat, Lockheed Martin untuk membekalkan sebuah radar pertahanan udara jarak jauh kepada Malaysia.

Kerajaan Amerika Syarikat memberikan radar itu dibawah program, “Building Capacity Partner” dan  radar pertahanan udara jarak jauh terbabit adalah daripada jenis AN/TPS-77, yang dibangunkan oleh firma pertahanan negara itu, Lockheed Martin.

Kos untuk membekalkan radar jarak jauh untuk kerajaan Malaysia itu dibiayai menerusi peruntukan “Fiscal 2021 Building Partner Capacity Funds” oleh kerajaan Amerika Syarikat.

Coverage bagi radar AN/TPS-77  ini adalah sekitar 470km atau 250 Batu Nautika, dan ia adalah sebuah radar bergerak (mobile radar) yang mampu diatur-gerak ke kawasan-kawasan lain sama ada menggunakan pesawat C-130 Hercules, trak atau keretapi.

MERAD
Sistem pertahanan udara jarak sederhana ASTER SAMPT

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Menurut Panglima TUDM itu lagi, perolehan aset lain membabitkan sistem pertahanan udara jarak sederhana (MERAD) (Medium Range Air Defence System) dan penggantian pesawat helikopter utiliti dengan proses perolehan dijangka berlaku seawal 2023.

“Saya berharap perancangan perolehan semua aset baharu ini dapat dilaksanakan dengan teliti dan sistematik,” katanya. 

Terdahulu dalam ucapan perintah ulung PTU ke-20, Mohd Asghar Khan mengumumkan enam tonggak bagi mendepani cabaran masa hadapan serta memastikan legasi kegemilangan TUDM sentiasa terpelihara.

Katanya enam tonggak tersebut adalah pemantapan keupayaan dan kesiagaan TUDM; keunggulan struktur dan kecemerlangan organisasi; pemerkasaan dan pengupayaan warga udara; mengoptimumkan pengurusan sumber dan meningkatkan budaya inovasi; peningkatan keupayaan TUDM melalui kolaborasi bersama industri pertahanan tempatan; dan kebajikan sosial serta kelestarian warga pasukan.  — DSA

 

Comments
Loading...