Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jangan Lakukan Provokasi Di Rantau Ini, Gesa Malaysia Pada Anggota AUKUS Dan Bukan

“Bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara serta kestabilan di rantau ini kekal, Malaysia menggesa semua pihak sama ada di dalam dan di luar pakatan AUKUS ini supaya tidak melakukan sebarang aktiviti yang bersifat provokasi, yang boleh menganggu ketenteraman dan keselamatan di rantau ini (Asia Tenggara)," kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.

0 4,683

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Negara-negara anggota pakatan ketenteraan AUKUS iaitu Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara di luar pakatan tentera itu digesa mengelak daripada melakukan sebarang tindakan berbentuk provokasi di rantau ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara-negara terbabit diseru tidak melakukan sebarang tindakan yang berpotensi menganggu ketenteraman dan keselamatan di rantau ini.

“Bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara serta kestabilan di rantau ini kekal, Malaysia menggesa semua pihak sama ada di dalam dan di luar pakatan AUKUS ini supaya tidak melakukan sebarang aktiviti yang bersifat provokasi, yang boleh menganggu ketenteraman dan keselamatan di rantau ini.”

Tok Mat
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan

 

“Walaupun begitu, Malaysia mengakui hak semua negara untuk meningkatkan keupayaan pertahanan masing-masing mengikut kepentingan masing-masing,” kata beliau ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Malaysia sebagai negara anggota ASEAN, mahukan rantau Asia Tenggara kekal menjadi zon yang aman, bebas dan berkecuali.

“Ini termasuklah dalam isu proliferation (perluasan), pencegahan percambahan senjata nuklear dan penggunaan teknologi nuklear secara aman,” kata Menteri Pertahanan.

Sebelum pengumuman bahawa Australia bakal memperolehi lapan buah kapal selam berkuasa nuklear yang baru bermula tahun 2040, Mohamad berkata beliau telah diberikan penerangan mengenainya oleh Panglima Angkatan Tentera Australia yang merupakan utusan khas Perdana Menteri negara itu, Anthony Albanese.

Selain itu, beliau juga telah menerima kunjungan daripada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Lloyd Austin dan Menteri Pertahanan United Kingdom Baroness Goldie.

Selain lapan buah kapal selam berkuasa nuklear baru dikenali sebagai SSN-AUKUS yang dibina oleh Britain menggunakan teknologi propulsion Amerika Syarikat bermula tahun 2040-an, Australia juga akan memperolehi lima buah kapal selam terpakai berkuasa nuklear kelas-Virginia buatan Amerika Syarikat bermula daripada tahun 2030-an.

Virginia
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Virginia milik Tentera Laut Amerika Syarikat.

 

Kesemua kapal-kapal selam yang bakal diperolehi oleh Australia itu berkuasa nuklear dan tidak membawa sebarang senjata nuklear.

Negara-negara anggota AUKUS menurut Mohamad, perlu menghormati instrumen perundangan negara dan antarabangsa sedia ada tentang pengoperasian kapal-kapal selam berkuasa nuklear di dalam kawasan perairan negara.

Ini termasuklah instrument-instrumen yang digubal oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) seperti Konvensyen Undang-Undang Laut PBB 1982 (UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Deklarasi ASEAN mengenai Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN).

Menteri Pertahanan berkata, berdasarkan kepada UNCLOS 1982 mana-mana kapal atau kapal diberikan kebebasan untuk belayar dan melakukan penerbangan atau “Freedom of Navigation and Overflight” di laut lepas dan juga perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) mana-mana negara.

Bagaimanapun ia tertakluk kepada undang-undang negara pesisir selagi tidak bertentangan dengan UNCLOS 1982, kata beliau.

Kelas Jin
Kapal selam nuklear Type 094 kelas-Jin milik China.

 

“UNCLOS 1982 juga menyatakan bahawa mana-mana kapal selam yang melalui wilayah negara lain perlu belayar di atas permukaan air , tidak boleh menyelam, dia mesti lalu di atas permukaan air. Peraturan ini terpakai di negara kita dan negara-negara pesisir yang lain,” kata Menteri Pertahanan.

Sungguh begitu kata beliau, jikalau ada kapal selam asing sama ada yang berkuasa konvensional atau berkuasa nuklear yang mahu belayar di bawah permukaan air dalam perairan negara maka tentera laut negara asing itu perlu mengemukakan permohonan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terlebih dahulu melalui nota diplomatik bagi mendapatkan kebenaran khas.

“Peraturan ini juga terpakai sekiranya ada kapal selam atau kapal perang yang ingin memasuki mana-mana pelabuhan di negara kita,” kata Mohamad Hasan dan menambah bahawa setakat ini negara-negara anggota Five Power Defence Arrangement (FPDA) mematuhi peraturan yang dikenakan oleh Malaysia itu.

Beliau juga berkata bahawa Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) akan berlangsung di Jakarta pada Julai tahun ini dimana salah satu agendanya adalah berkenaan perolehan kapal selam berkuasa nuklear oleh Australia. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...