Kali Terakhir TLDM Perolehi Kapal Kombatan Adalah 25 Tahun Lepas
Sekitar tiga dekad dahulu, Armada TLDM berbangga kerana memiliki sebanyak 16 buah kapal kombatan berkeupayaan tempur (misil) tetapi jumlah ini telah berkurangan dengan drastik pada hari ini akibat faktor keusangan sistem persenjataan dan juga sistem sokongan yang lain,
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, isu mengenai aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang usang telah mendapat tempat di dada-dada akhbar serta media-media online tempatan.
Isu mengenai aset-aset usang TLDM dan ATM, sebenarnya telah lama dibincangkan oleh media-media tempatan.
Cuma apa yang menarik kali ini adalah “perbincangan” mengenai aset-aset usang TLDM kali ini turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan TLDM yang telah secara terbuka memberikan “input” berguna terhadap isu panas itu kali ini.
Pada April lepas, Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Sany sendiri menyatakan bahawa kira-kira 61 peratus atau lebih daripada separuh aset-aset yang dimilikinya pada ketika ini beroperasi melebihi had umur asal rekabentuknya dan telah usang.
Panglima Markas Pemerintahan Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali pula berkata TLDM diperakui kekurangan kemampuan, kekuatan dan aset-aset untuk menangani konflik maritim.
Ini disebabkan ada di antara kapal-kapalnya “sudah berusia” 40 tahun dan sudah di dalam keadaan yang usang.
Terdapat di antara aset-aset TLDM sudah terlalu berusia untuk berfungsi, katanya sambil menambah, aset-aset milik TLDM jauh ketinggalan berbanding tentera-tentera laut negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.
Baru-baru ini, Panglima Armada Barat TLDM Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Alis dilaporkan berkata bahawa 75 peratus daripada 44 buah kapal yang dimiliki oleh TLDM pada ketika ini dikategorikan sebagai sudah “berusia” dengan ada di antaranya telah berkhidmat selama diantara 40 hingga 50 tahun.
TLDM amat memerlukan kapal-kapal yang baru untuk menggantikan kapal-kapal yang telah berusia itu. — DSA
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Comments are closed.