Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Hampir 100 Ribu Kunjung Hari Terbuka Armada 2022, Catat Sejarah Tersendiri

Hari Terbuka Armada 2022 yang berlangsung mulai 29 hingga 31 Dis di Pangkalan TLDM Lumut telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dianugerah Lencana Sayap Penerbangan Kehormat dan Beret Kehormat PASKAL.

0 2,089

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hari Terbuka Armada 2022 yang berlangsung mulai 29 hingga 31 Disember di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut telah berjaya menarik kunjungan seramai 91,574 pelawat.

Acara yang secara tradisinya dianjurkan bersempena dengan Hari Ulang Tahun TLDM pada 27 April setiap tahun, telah disambut dengan meriah setelah tidak dapat dilaksanakan selama tiga tahun berturut-turut berikutan Pandemik COVID-19 yang melanda.

Bertemakan “TLDM Siaga Kedaulatan Terpelihara – Kedaulatan Tanggungjawab Bersama”, objektif penganjuran Hari Terbuka Armada 2022 adalah untuk mengeratkan hubungan TLDM dengan masyarakat.

Selain itu, ia juga untuk mempromosikan peranan agensi maritim negara serta TLDM dan Armada Barat khususnya dalam melindungi kedaulatan, integriti wilayah dan kepentingan maritim negara.

TLDM
(TLDM)

 

Hari Terbuka Armada 2022 telah dirasmikan oleh Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany.

Di dalam kenyataan yang disiarkan menerusi media sosialnya, TLDM berkata, Hari Terbuka Armada 2022 itu juga mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila Panglima TLDM dianugerah Lencana Sayap Penerbangan Kehormat dan Beret Kehormat PASKAL.

Upacara penganugerahan itu telah ditayangkan kepada pengunjung.

TLDM
(TLDM)

 

“Penganugerahan itu adalah sempena mengenang jasa Yang Berbahagia Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany memperkasakan Cawangan Udara TLDM dan juga PASKAL sepanjang pemerintahan beliau,” menurut kenyataan TLDM itu.

Sepanjang Hari Terbuka Armada 2022 itu pengunjung turut berpeluang untuk melawat kapal-kapal perang TLDM serta menyaksikan pelbagai demonstrasi melibatkan aset TLDM termasuklah demonstrasi bersama agensi-agensi sahabat iaitu Tentera Udara Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin.

TLDM
(TLDM)

 

Ketiga-tiga agensi tersebut turut terlibat dengan pameran statik bersama-sama agensi keselamatan yang lain seperti Tentera Darat Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan BOMBA, Kastam dan Imigresen.

Turut menjayakan acara ini adalah pameran daripada agensi kerajaan yang lain seperti Agensi Anti Dadah Kerajaan, Jabatan Penjara, Kementerian Kesihatan Malaysia, Lembaga Air Perak, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Perak dan Majlis Perbandaran Manjung.

TLDM
(TLDM)

 

Pameran turut melibatkan institusi kewangan seperti Bank Rakyat, Bank Islam, Affin Bank, CIMB dan Bank Muamalat serta badan-badan korporat seperti PERNAMA, Koperasi Tentera, Pertubuhan Amal Kita Kinta Perak, institusi pendidikan seperti UniKL (MIMET) dan Universiti Teknologi Petronas serta syarikat-syarikat swasta dari sektor hartanah, telekomunikasi dan automobil. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE  

 

 

Comments
Loading...