Eksesais Terbesar TLDM Dibelenggu Masalah “Keusangan, Kerosakan” Aset-Aset
"Beberapa siri latihan peperangan maritim empat dimensi juga tidak dapat dilaksanakan (pada Eksesais Kerismas 2022), berikutan kekangan keupayaan tempur berikutan majoriti aset-aset TLDM dibelenggu dengan masalah keusangan (obselences),” kata TLDM.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Eksesais terbesar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berlangsung selama 21 hari akan melabuhkan tirai esok, namun kelancaran eksesais terpenting angkatan itu itu telah dibelenggu oleh masalah-masalah seperti keusangan dan kerosakan aset-aset miliknya.
Menurut kenyataan oleh TLDM dalam Facebook miliknya hari ini, Eksesais Kerismas itu merupakan eksesais tahunan terpenting kepada TLDM bagi menguji tahap kesiagaan dan keupayaan Armada TLDM dalam melaksanakan operasi maritim yang berintensiti tinggi.
Eksesais yang berlangsung di Pangkalan TLDM dan sekitar Laut China Selatan itu dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pelabuhan, fasa laut dan fasa selesai eksesais.
“Secara keseluruhan, sebanyak 88.7 peratus siri latihan yang dijadualkan telah berjaya dilaksanakan. Namun 11 peratus latihan tidak dapat dilaksanakan disebabkan faktor cuaca dan juga kerana isu kerosakan yang dialami aset.”
“Malah, beberapa siri latihan peperangan maritim empat dimensi juga tidak dapat dilaksanakan berikutan kekangan keupayaan tempur berikutan majoriti aset-aset TLDM dibelenggu dengan masalah keusangan (obselences),” kata TLDM.
Eksesais pada kali ini kata TLDM, membuktikan bahawa ketahanan aset-aset yang berusia telah menurun berbanding prestasi pada 20 tahun sebelumnya.
“Statistik yang terkumpul sepanjang eksesais menunjukkan trend kerosakan secara konsisten dialami oleh kapal-kapal yang telah berusia ini,” menurut TLDM sebagaimana di dalam kenyataan media sosialnya hari ini.
Hasil penemuan eksesais pada kali ini turut dijadikan sebagai baseline dalam aspek perancangan pembangunan masa hadapan TLDM.
Walau apapun cabaran yang perlu didepani, TLDM tetap komited untuk terus memastikan kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) kekal selamat sebilang masa.
“Ditambah dengan campur tangan kuasa besar di Laut China Selatan serta landskap keselamatan global dan serantau yang tidak menentu, tanggungjawab TLDM semakin mencabar.”
“Sedaya mungkin tanggungjawab ini akan terus digalas dengan mengoptimumkan keupayaan aset-aset sedia ada. Waima dibelenggu isu kekurangan aset, TLDM akan terus berusaha memastikan agar kedaulatan maritim negara terus terpelihara,” menurut kenyataan media sosial angkatan itu.
Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany dalam ucapan menyatakan eksesais yang menggabungkan aset-aset Armada Barat dan Armada Timur serta penglibatan pesawat-pesawat TUDM ini lebih menjurus kepada penilaian tahap kesiagaan dan keupayaan Armada TLDM dalam aspek peperangan dan navigasi yang merangkumi penilaian elemen 3P iaitu Platform, People and Process.
Beliau turut memuji komitmen dan kesungguhan The Navy People yang cekal menempuhi segala cabaran sepanjang eksesais, walaupun keadaan laut bergelora pada sebahagian tempoh fasa di laut, eksesais ini tetap dilaksanakan demi mencapai objektifnya.
“Justeru, kesungguhan dan komitmen warga TLDM harus dijadikan contoh oleh generasi akan datang untuk bersikap positif dan terus iltizam untuk mengoperasikan kapal mereka walaupun berdepan kekangan keusangan.”
Eksesais intra TLDM terbesar ini telah dilaksanakan dengan jayanya dan mencapai objektif yang disasarkan.
Eksesais Kerismas tahun ini adalah antara terbesar pernah dilaksanakan oleh TLDM dengan penglibatan seramai 2,073 The Navy People bersama 23 buah kapal TLDM, sebuah kapal selam TLDM, sebuah Submarine Rescue Ship, empat buah helikopter TLDM, dua buah pesawat Unmanned Aircraft System, elemen Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan sokongan tujuh buah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). — DSA