61 Peratus Aset-Aset TLDM Usang. Dimana Silap Kita?
Sudah semestinya apa yang berlaku pada TLDM dan cabang yang lain itu tidak berlaku dalam tempoh satu hari atau suatu tempoh yang singkat, tetapi “ketidakprihatinan” pihak atasan terhadap keperluan-keperluan TLDM dan cabang ATM yang lain telah berlaku puluhan tahun sebelum ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dimanakah silap kita apabila Panglima Tentera Laut sendiri mengatakan bahawa kira-kira 61 peratus daripada aset-aset yang dioperasikan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada ketika ini dikategorikan sebagai “usang” ?
Bagaimana kita boleh membiarkan TLDM (dan mungkin juga cabang-cabang Angkatan Tentera Malaysia – ATM yang lain) sampai ke tahap yang “usang” ini, sehinggakan aset yang telah “bersara” terpaksa kembali semula ke medan aktif hanya kerana kita kekurangan aset.
Ini terjadi kepada angkatan tentera di negara yang ekonominya adalah ketiga terbesar di Asia Tenggara serta merupakan antara negara pengeksport terbesar di dunia. Kita memiliki kekayaan dan sumber asli yang dicemburui oleh negara lain, cuma aspek pengurusan kekayaan itu perlu diperbaiki dengan soal ketirisan dan pembaziran ditangani.
Sudah semestinya apa yang berlaku pada TLDM dan cabang yang lain itu tidak berlaku dalam tempoh satu hari atau suatu tempoh yang singkat, tetapi “ketidakprihatinan” pihak atasan terhadap keperluan-keperluan TLDM dan cabang ATM yang lain telah berlaku puluhan tahun sebelum ini.
Pihak atasan membiarkan “penyakit” keusangan aset yang dihadapi ini berpanjangan tanpa ada solusi atau “ubat” untuk menyembuhkannya.
Apa sahaja dipohon oleh TLDM dan cabang ATM yang lain akan dijawab oleh pihak atasan dengan jawapan yang standard (seolah-oleh telah diajar) bahawa “kita akan kaji terlebih dahulu” yang akhirnya akan senyap.
Kajian yang mengambil masa bertahun tanpa ada penghujung.
Peliknya, apabila mahu menggantikan kereta rasmi tiada pula kajian bertahun-tahun dilakukan dengan keputusan diambil secara pantas dan tuntas. Sungguh effisyen.
Jikalau pihak atasan merasakan terdapat keperluan untuk menggantikan kereta rasmi mereka kerana ia sudah terlalu lama, mudah rosak sehingga membahayakan keselamatan mereka, mengapa analogi yang sama tidak digunakan terhadap aset-aset ketenteraan?
Mengapa anggota-anggota keselamatan kita masih menggunapakai aset-aset yang dikategorikan sebagai usang?
Itulah yang berlaku selama berdekad lamanya sehingga kita sampai ke tahap di mana 61 peratus daripada aset-aset TLDM dikategorikan sebagai “usang”.
Secara praktikalnya, TLDM kini adalah angkatan laut yang usang kerana 61 peratus daripada asetnya “usang” dan tidak menghairankanlah bahawa angkatan-angkatan laut negara lain juga sudah mula “menjauhkan diri” daripada kita dan enggan mengadakan latihan bersama dengan TLDM.
Ia memberikan kesan kepada anggota tentera kita daripada moral dan merendahkan martabat serta imej negara kita di mata negara luar.
Ia sama seperti yang dialami oleh Angkatan Tentera Filipina suatu ketika dahulu apabila kerajaan pusat di Manila (sebelum era pemerintahan Presiden Duterte) tidak mengendahkan keperluan angkatan tentera negara jiran itu sehingga menjadikan pasukan bersenjata negara itu “bahan lawak” negara luar termasuk kemungkinan kita juga.
Adakah kita sedang mengulangi apa yang terjadi pada Angkatan Tentera Filipina suatu ketika dahulu ketika ear Manila digelar “The Sick Man of Asia”? Tepuk dada tanya selera…
Tindakan menyamakan apa yang sedang dilalui oleh TLDM dan cabang ATM yang lain ketika ini dengan apa yang ditempuhi oleh Angkatan Tentera Filipina suatu ketika dahulu mungkin tidak tepat dan keterlaluan, tetapi, tidak dapat dinafikan bahawa kita sedang menuju ke arah itu sekiranya tiada langkah diambil untuk mengatasinya.
Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store:
Usaha mengatasi keusangan aset yang dialami oleh TLDM dan cabang-cabang ATM yang lain diburukkan lagi dengan masalah yang dihadapi dalam menyiapkan kapal-kapal perang yang amat diperlukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia ketika ini.
Projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) dan sebelum ini (New Generation Patrol Vessel (NGPV ) berhadapan dengan masalah yang seolah-olah diulang-ulang. Mengapa perkara ini boleh berlaku, mengulangi masalah yang sama?
Perlu anda anjakan paradigma (paradigm shift) dan perubahan mindset dikalangan pihak atasan untuk mengeluarkan TLDM dan cabang ATM yang lain daripada dikategorikan sebagai sebuah “angkatan usang”. — DSA
Comments are closed.