Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thailand Perlu Tunggu 40 Bulan Lagi Untuk Terima Kapal Selam China Pertamanya

Bangkok dan Beijing dilaporkan telah mencapai persetujuan pada June lepas, yang akan menyaksikan kapal selam pertama Thailand itu dilengkapi dengan enjin diesel-elektrik CHD 620 buatan China, namun ia memerlukan tambahan 40 bulan lagi sebelum bersedia untuk menghantar kapal selam pertama Thailand dilengkapi dengan enjin buatannya sendiri.

0 2,440

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Thailand sepatutnya menerima kapal selam pertama dipesannya daripada China tahun ini atau tahun depan, tetapi disebabkan masalah enjin, negara Asia Tenggara itu terpaksa menunggu sekurang-kurangnya 40 bulan (tiga tahun empat bulan) lagi sebelum ia boleh menerima kapal selam S-26T kelas-Yuan ke perairannya.

Thailand kini hanya dijangka menerima kapal selam pertamanya daripada China pada pertengahan tahun 2027.

Masalah enjin kapal selam pertama Thailand nampaknya telah selesai baru-baru ini selepas Bangkok bersetuju dengan cadangan Beijing untuk menggunakan enjin kapal selam buatan China sendiri, CHD 620. Enjin itu dibangunkan oleh syarikat Henan Diesel Engine.

Thailand

Thailand bersetuju selepas proses rundingan yang panjang dengan China.

Kedua-dua negara dilaporkan telah mencapai persetujuan pada June lepas, yang akan menyaksikan kapal selam pertama Thailand itu dilengkapi dengan enjin diesel-elektrik CHD 620 buatan China.

Namun Beijing memerlukan tempoh tambahan 40 bulan lagi sebelum ia bersedia untuk menghantar kapal selam pertama Thailand dilengkapi dengan enjin buatan tempatan kepada Asia Tenggara itu.

Laporan juga menyatakan bahawa China tidak perlu membayar sebarang gantirugi kepada Thailand atas kelewatan penghantaran kapal selam itu, kerana Beijing berpendapat ia tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Disebabkan masalah enjin itu, secara keseluruhannya Thailand terpaksa menunggu selama 10 tahun untuk mendapatakan kapal selamnya yang pertama, itu pun jika kontrak itu tidak berhadapan dengan masalah lagi selepas ini.

Apatah lagi kerajaan Thailand yang baru ini tidak lagi diperintah oleh jeneral-jeneral tenteranya yang membuat keputusan membeli kapal selam daripada China itu.

S-26T
Kapal selam kelas Yuan S26T kelas-Yuan buatan China sebagaimana yang bakal digunakan oleh Thailand.

 

Selepas hampir 10 tahun, Thailand kini diperintah oleh pemimpin awam daripada kerajaan campuran pimpinan parti Pheu Thai yang dikaitkan dengan Thaksin Shinawatra.

Thailand menandatangani kontrak dengan China pada 2017 untuk memperolehi sebuah kapal selam S-26T kelas Yuan bernilai US$350 juta.

Negara Asia Tenggara itu bercadang memperolehi dua lagi buah kapal selam daripada China, tetapi cadangan itu dibantah keras oleh penduduk negara Gajah Putih itu menyebabkan kerajaan Thailand diperintah oleh tentera pada ketika membatalkan cadangan perolehan itu.

Oleh itu pada 2027 Thailand akan menerima sebuah kapal selam daripada China.

Selepas kontrak dimeterai, Beijing baru “sedar” bahawa ia telah dikenakan sekatan ketenteraan oleh Kesatuan Eropah, menyebabkan syarikat MTU daripada Jerman itu dilarang mengeksport enjin kapal selamnya kepada China.

Kontrak perolehan kapal selam Thailand daripada China berdepan ketidaktentuan kerana Bangkok berkeras mahukan kapal selam pertama miliknya itu dilengkapi dengan enjin MTU396 buatan Jerman, sebagaimana dipersetujui dalam kontrak.

S-26T
Anggota Tentera Laut Thailand melihat model kapal selam China sepatutnya diterima oleh Thailand pada 2024, sebelum ia dibelenggu dengan masalah enjin.

 

Pada mulanya, Bangkok berkeras hanya mahukan enjin buatan Jerman pada kapal selam pertamanya itu.

Thailand tidak mempunyai “kepercayaan yang tinggi” terhadap kemampuan enjin buatan China terutamanya CHD 620 yang dicadang digunakan pada kapal selam S-26T Thailand kerana ia belum lagi teruji.

Masalah tentang enjin kapal selam Thailand buatan China itu benar-benar meruncing sehinggakan ada pada ketikanya Bangkok menyuarakan hasratnya untuk membatalkan sahaja kontrak itu, sekiranya tiada jalan penyelesaian

Walaupun enjin CHD 620 buatan China itu digunakan oleh kapal-kapal pengangkut pesawatnya, tetapi ia tidak pernah digunakan oleh mana-mana kapal selam negara itu, menyebabkan Thailand was-was dengan kemampuannya.

Thailand dikatakan memohon “bantuan” daripada Pakistan untuk memberikannya  maklumat terkini dan terperinci berkenaan enjin kapal selam buatan China yang bakal digunakan oleh lapan buah kapal selam kelas-Hangor milik tentera laut negara Asia Selatan itu.

Pakistan memperolehi lapan buah kapal selam kelas-Hangor (kelas-Yuan) daripada China, dengan empat buah dibina di China manakala empat lagi dibina di Pakistan di bawah konsep pemindahan teknologi. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...