Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Peluru Berpandu Anti-Kapal KH-31A aka “Supersonic Death” Pada 31 Ogos

Dikalangan juruterbang-juruterbang pesawat pejuang Russia, peluru berpandu anti-kapal KH-31A diberikan gelaran “Supersonic Death” (Kematian Supersonik) berikutan kelajuan supersonik peluru berpandu anti-kapal lancaran udara itu "mengejar" sasarannya.

0 5,458

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selain mempamerkan peluru berpandu udara-ke-darat “KH-29T” pada perbarisan Hari Kemerdekaan ke-66 yang berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menayangkan peluru berpandu anti-kapal “KH-31A” yang dibawa oleh pesawat pejuang Su-30MKM untuk misi-misi maritimnya.

Dikalangan juruterbang-juruterbang pesawat pejuang Russia, peluru berpandu anti-kapal KH-31A diberikan gelaran “Supersonic Death” (Kematian Supersonik) berikutan kelajuan supersonik peluru berpandu anti-kapal lancaran udara itu “mengejar” sasarannya.

Peluru berpandu anti-kapal KH-31A ini merupakan sistem persenjataan standard yang turut sama dieksport kepada mana-mana negara yang memperolehi pesawat pejuang Su-30, dengan antara negara penggunanya selain Malaysia termasuklah China, Venezuela, Indonesia dan beberapa negara lain.

KH-31A
Peluru berpandu KH-31A pada perbarisan Hari Kemerdekaan ke-66 di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos lalu. (Kementerian Pertahanan)

 

Penggunaan peluru berpandu anti-kapal KH-31A oleh pesawat-pesawat Su-30MKM milik negara bukanlah suatu rahsia lagi kerana pihak TUDM telah pun beberapa kali menayangkan peluru berpandu itu kepada khalayak ramai sebelum ini.

Malah, pesawat Su-30MKM dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal KH-31A juga pernah terlibat pada pameran udara Singapura beberapa tahun lepas, dengan kehadirannya di Kota Singa itu menarik perhatian pemerhati tentera serantau.

Dikalangan negara-negara Barat dan NATO, peluru berpandu anti-kapal KH-31A yang mula digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang ketika di zaman Kesatuan Soviet dipanggil AS-17 “Krypton.”

Jika pesawat-pesawat F/A-18D Hornet TUDM membawa peluru berpandu anti-kapal “Harpoon” buatan Amerika Syarikat dalam misi-misi maritimnya, bagi pesawat Su-30MKM pula ia dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal supersonik KH-31A  (AS-17 Krypton oleh NATO) buatan Russia.

Menggunakan kepala peledak armour-piercing seberat 90kg, peluru berpandu KH-31A itu mempunyai kemampuan untuk membedil sasaran seperti bot dan kapal peronda sehinggalah kapal-kapal perang seberat 4,500 tan daripada jarak sejauh 50km hingga 70km.

Su-30MKM
Pesawat Su-30MKM menunjukkan peluru berpandu KH-31 pada pameran statik Singapore Air Show 2020.

 

Malaysia dikatakan memiliki sehingga 150 buah peluru berpandu anti-kapal KH-31A serta peluru berpandu anti-radiasi KH-31P, menurut badan pengkaji pasaran senjata antarabangsa.

Bagaimanapun, tiada kepastian di pihak Kementerian Pertahanan mahupun TUDM berkenaan maklumat ini.

Pesawat Su-30MKM TUDM dilaporkan mengadakan penembakan ujian peluru berpandu KH-31A itu pada tahun 2014, dengan sasaran telah berjaya dibedil dengan tepat.

Peluru berpandu anti-kapal KH-31A yang digunakan oleh pesawat Su-30MKM itu dibangunkan oleh syarikat Russia dikenali dengan nama–  Tactical Missiles Corporation atau sebelum ini dikenali sebagai Zvezda-Strela.

Peluru berpandu anti-kapal KH-31A dilengkapi radar aktif untuk mengesan sasarannya dan ia menggunakan pendekatan sea-skimming untuk menghampiri sasaran pada kelajuan Mach 2.7 selepas dilancarkan daripada pesawat pada kelajuan Mach 3.5 menggunakan teknologi scramjet serta built-in booster.

Su-30MKM
Pesawat Su-30MKM melancarkan peluru berpandu KH-31A dalam latihan pada 2014.
MiG-35
Peluru Berpandu Anti-Kapal KH-31A (paling dekat)

 

Ia berkemampuan menembusi sistem pertahanan musuh walaupun dalam suasana yang sarat dengan usaha electronic jamming bagi memusnahkan sasarannya.

KH-31A yang mempunyai berat keseluruhan 650kg ini mula didedahkan pada khalayak ramai pada awal tahun 90-an.

Pada akhir tahun 1997, sejumlah peluru berpandu KH-31A telah dieksport ke China bagi digunakan oleh pesawat-pesawat Su-27 dan Su-30 yang dipasang secara berlesen oleh negara itu.

Selepas itu, syarikat China dikatakan telah mengubahsuai peluru berpandu KH-31A dan mengeluarkan varian yang dikeluarkan oleh syarikat tempatan dikenali dengan nama YJ-91.

Indonesia juga dikatakan menggunakan peluru berpandu KH-31A untuk pesawat-pesawat Sukhoi Su-30 tentera udaranya. — DSA

Donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...