Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Arab Saudi Pertimbang Pesawat J-10C, Tamparan Kepada Amerika Syarikat

Britain serta beberapa negara Eropah termasuk Jerman menggantung penjualan senjata kepada Arab Saudi kerana membantah penggunaan senjata buatan mereka termasuk pesawat pejuang Tornado dalam konflik di Yemen. Tindakan itu memaksa Arab Saudi mencari alternatif kepada pesawat Tornado yang bakal dibersarakan dan pesawat J-10C buatan China itu dikatakan berada dalam radar kerajaan Arab itu. 

0 13,248

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berikutan hubungannya yang semakin mesra dengan China pada ketika ini, Arab Saudi dilaporkan sedang menimbangkan cadangan untuk menggantikan pesawat pejuang Tornado buatan Britain miliknya dengan pesawat J-10C buatan syarikat Chengdu Aircraft Industry Group.

Arab Saudi memiliki kira-kira 80 buah pesawat Tornado yang dibangunkan oleh konsortium tiga syarikat daripada tiga buah negara iaitu British Aerospace. MBB (Jerman) dan Aeritalia (Itali).

Negara Arab itu menandatangani perjanjian “Al Yamamah” dengan Britain pada 1985 untuk membeli pelbagai jenis senjata termasuk puluhan pesawat Tornado yang digunakan oleh Arab Saudi dalam pelbagai siri konflik daripada Perang Teluk kepada konflik di Yemen.

J-10
Pesawat J-10 Pakistan

 

Pesawat pertama Tornado milik Arab Saudi mula terbang pada 1989.

Riyadh dikatakan akan mula menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang Tornado dalam beberapa tahun ke depan ini selepas cadangannya untuk menaiktaraf pesawat itu berhadapan dengan pelbagai rintangan selepas Britain menggantung penjualan senjata kepada negara Arab itu pada 2019.

Britain serta beberapa negara Eropah termasuk Jerman menggantung penjualan senjata kepada Arab Saudi kerana membantah penggunaan senjata buatan mereka termasuk pesawat pejuang Tornado dalam konflik di Yemen.  

Pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi di kedutaan Arab Saudi di Turkiye turut memainkan peranan dalam penggantungan jualan senjata itu.

Tindakan itu memaksa Arab Saudi untuk mencari alternatif kepada pesawat Tornado yang bakal dibersarakan dalam beberapa tahun ini dan pesawat J-10C buatan China itu dikatakan berada dalam radar kerajaan Arab itu sebagai antara pengganti kepada pesawat buatan konsortioum tiga negara Eropah itu.

J-10C
Pasukan aerobatik PLAAF “August 1st” yang menggunakan pesawat pejuang J-10C turut menyertai LIMA ’23 baru-baru ini.

 

Potensi penjualan pesawat pejuang J-10C kepada Arab Saudi itu termasuk dalam pakej pembelian beberapa jenis senjata oleh negara Arab itu daripada China seperti dron Sky Saker, dron VTOL CR500 dan sistem pertahanan udara HQ-17.

Penganalisis pertahanan menyatakan bahawa pembelian pesawat J-10C dan senjata-senjata lain oleh Arab Saudi itu sememang amat berpotensi untuk dilaksanakan berikutan “kemesraan” dalam hubungan diplomatik di antara Riyadh dan Beijing sejak awal tahun ini.

Baru-baru ini, China bersetuju untuk membeli minyak daripada Arab Saudi dan Riyadh untuk menerima bayaran untuk pembelian minyak itu dalam matawang Yuan.

Selain itu, hubungan perdagangan di antara kedua-dua negara juga semakin erat dengan China bersetuju untuk mewujudkan kemudahan pembinaan dron di Arab Saudi manakala syarikat Huawei pula bertanggungjawab membina infrastruktur telekomunikasi termasuk 5G di negara Arab itu.

Baru-baru ini, penganalisis pertahanan di Timur Tengah mendakwa Arab Saudi sedang berunding dengan China untuk memperolehi sehingga 12 buah kapal perang destroyer Type 052DE (varian eksport bagi kapal perang Type 052D).

 

Tornado
Pesawat Tornado Arab Saudi

 

Hubungan semakin “mesra” di antara Beijing dan Riyadh itu membuat Amerika cemas yang selama ini menjadi pembekal senjata utama kepada Arab Saudi.

Bagaimanapun sejak Amerika Syarikat dipimpin oleh Jo Biden, hubungan antara Washington dan Riyadh semakin renggang dan ini dieksploitasi oleh China serta Russia yang mula merapati Arab Saudi untuk tujuan hubungan yang lebih erat.

Sementara itu, laporan juga menyatakan bahawa pegawai-pegawai Mesir telah mengadakan perbincangan dengan syarikat pembuat pesawat pejuang J-10C itu, Chengdu Aircraft Industry Group ketika di LIMA ’23 di Pulau Langkawi.

Pesawat J-10C turut berada di Langkawi memandangkan ia adalah pesawat pilihan pasukan aerobatik Tentera Udara China (PLAAF), “August 1st.”

Pada ketika ini, Beijing hanya mengeksport pesawat pejuang satu enjin J-10C kepada Tentera Udara Pakistan.

Type 052D
Kapal destroyer Type 052D China.

 

Pesawat pejuang J-10C itu mula diperkenalkan kepada orang awam China pada Julai 2017 dan mula digunakan untuk tugas-tugas kombat oleh tentera udara negara itu pada 2018.

Berbanding varian-varian terdahulu, J-10C adalah lebih ringan dan lebih sukar untuk dikesan serta menggunakan enjin yang lebih berkuasa.

Selain itu varian J-10C juga dilengkapkan dengan radar active electronically scanned array (AESA)  bagi membolehkan kemampuan pengesanan (sasaran) yang lebih baik.

Pemerhati tentera serantau menyatakan PLAAF mengoperasi kira-kira 150 buah pesawat pejuang J-10C dalam pasukannya. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...