Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thailand Beli JAS39 Gripen E/F Kerana Mahu Tangani “Pencerobohan” Pesawat Pejuang Myanmar?

Tindakan pesawat-pesawat pejuang buatan Russia milik Tentera Udara Myanmar menceroboh ruang udara Thailand dalam misi pengebomannya terhadap kedudukan kumpulan pejuang anti-kerajaan itu telah memaksa Bangkok mengerah pesawat-pesawat pejuang termasuk F-16 yang telah berusia ke kawasan sempadan untuk berhadapan pesawat pejuang Tentera Udara Myanmar.

17,815
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Thailand dilaporkan memperolehi pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F buatan Sweden kerana mahu meningkatkan kemampuan tentera udaranya untuk membolehkan ia bersaing dengan permodenan tentera udara negara jirannya, Myanmar.
Negara jirannya itu, Myanmar baru sahaja menerima beberapa pesawat pejuang Su-30 daripada Russia.
Selain pesawat pejuang Su-30 yang baru diterimanya, Tentera Udara Myanmar juga mengoperasikan pesawat pejuang MiG-29 juga buatan Russia serta pesawat pejuang JF-17 buatan China dan Pakistan.
Thailand dikatakan bimbang sekiranya perang saudara di Myanmar yang semakin sengit akan “melimpah” ke dalam wilayahnya terutama di kawasan yang terletak berhampiran dengan sempadan Thailand-Myanmar.
Malah beberapa bulan lalu, pesawat-pesawat pejuang Myanmar terutamanya MiG-29 telah dikesan menceroboh ruang udara Thailand dalam misi memburu dan mengebom kedudukan pejuang-pejuang kumpulan anti-kerajaan Myanmar itu.
Myanmar
Pesawat MiG-29 Tentera Udara Myanmar

 

Penganalisis berkata Tentera Udara Myanmar telah meningkatkan serangan udara terhadap kedudukan kumpulan pejuang anti-kerajaan sejak 2022 negeri-negeri seperti Kachin, Karen,Kerenni Shan dan Chin.
Peningkatan serangan udara itu adalah untuk mematahkan semangat dan memecah-belahkan perpaduan kumpulan-kumpulan pejuang anti-kerajaan Myanmar itu.
Tindakan pesawat-pesawat pejuang buatan Russia milik Tentera Udara Myanmar menceroboh ruang udara Thailand dalam misi pengebomannya terhadap kedudukan kumpulan pejuang anti-kerajaan itu telah memaksa Bangkok mengerah pesawat-pesawat pejuang termasuk F-16 yang telah berusia ke kawasan sempadan untuk berhadapan pesawat pejuang Tentera Udara Myanmar.
Malah Angkatan Tentera Thailand telah dikritik hebat kerana dianggap tidak berkeras dalam menangani pencerobohan pesawat-pesawat pejuang Myanmar terhadap ruang udara Thailand.
Tentera Udara Diraja Thailand memiliki kira-kira 50 buah pesawat pejuang F-16 tetapi terdiri daripada varian-varian yang telah berusia serta 11 buah pesawat pejuang JAS39 Gripen C/D buatan Saab daripada Sweden.
JF-17
Pesawat JF-17 Myanmar

 

Sebab itulah ia memerlukan varian terkini JAS39 Gripen E/F untuk menangani sebarang kemungkinan di sempadannya dengan Myanmar terutamanya kombo pesawat pejuang Su-30, MiG-29 dan JF-17 milik tentera udara negara jirannya.
Pada Sept tahun lepas, Menteri Perdagangan Myanmar Charlie Than berkata, negara Asia Tenggara itu telah menerima dua daripada enam pesawat pejuang Su-30SME itu.
Kemungkinan besar bilangan pesawat pejuang Su-30SME yang diterima oleh Myanmar  itu telah bertambah pada tahun ini berbanding dua buah yang diterimanya pada tahun lepas.
Myanmar dan Russia menandatangani kontrak perolehan enam buah pesawat pejuang Su-30SME pada tahun 2018.
Pesawat pejuang Sukhoi Su-30SME yang diperolehi oleh Myanmar merupakan varian pesawat pejuang Su-30 “Flanker” yang popular dan turut digunakan oleh beberapa negara lain di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Vietnam.
Pada 2018 juga, Myanmar bersetuju untuk memperolehi 16 buah pesawat pejuang JF-17 “Thunder, menjadikan ia negara pasaran eksport yang pertama bagi pesawat pejuang terbabit yang turut pernah ditawarkan kepada Malaysia.
Kachin
Kumpulan pemberontak Kachin Independence Army (KIA) bersama mesingan berat yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat dan helikopter tentera Myanmar. (gambar Getty Images)

 

Pesawat-pesawat pejuang JF-17 “Thunder” milik Tentera Udara Myanmar itu dibangunkan secara bersama oleh syarikat China, Chengdu Aircraft Corporation (CAC) dan Pakistan Aeronautical Complex (PAC).
Myanmar memperolehi 12 buah pesawat pejuang MiG-29 pada 2001.
Beberapa hari lalu, Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) mengumumkan secara rasmi pemilihan pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F buatan syarikat Sweden, Saab Group sebagai pesawat pejuang terbarunya, mengatasi F-16 Block 70/72 yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat.
Pemillihan pesawat pejuang JAS39 Gripen E/F oleh RTAF itu telah diumum sendiri oleh panglimanya Air Chief Marshall Phanphakdee Phattanakul menerusi satu kenyataan.
Jawatankuasa Pemilihan Tentera Udara Diraja Thailand membuat keputusan pemilihan pesawat JAS39 Gripen E/F selepas kedua-dua pihak, Sweden dan Amerika Syarikat mengemukakan maklumat tambahan berkenaan tawaran mereka pada 20 Ogos lalu. — DSA

Comments are closed.