Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Thailand Bekerjasama Dengan Israel Bangun Sistem Pelancar Roket Berganda “D11A”

Sistem Rocket Berganda “D11A” yang dibangunkan oleh Thailand hasil kerjasama dengan Israel itu adalah berdasarkan kepada sistem roket berganda dibangunkan Israel, PULS (Precise & Universal Launching System) atau sebelum ini dikenali sebagai “Lynx MRL" yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Israel, Elbit Systems.

7,086

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada awal Ogos yang lalu, Institut Teknologi Pertahanan Thailand (Defence Technology Institute) telah menyerahkan prototaip kenderaan pelancar Sistem Rocket Berganda (MRL) “D11A” yang dibangunkannya sendiri kepada tentera darat negara Asia Tenggara itu untuk diuji nilai sebelum diterima masuk ke dalam perkhidmatan.

Sistem Rocket Berganda “D11A” yang dibangunkan oleh Thailand hasil kerjasama dengan Israel itu adalah berdasarkan kepada sistem roket berganda dibangunkan Israel, PULS (Precise & Universal Launching System) atau sebelum ini dikenali sebagai “Lynx MRL.”

Sistem MRL “PULS” itu telah dibangunkan oleh syarikat pertahanan Israel, Elbit System (sebelum ini dikenali Israel Military Industries).

Menteri Pertahanan Thailand Sutin Khlangsaeng telah menyaksikan majlis penyerahan prototaip kenderaan pelancar sistem MRL “D11A”.

Penyerahan prototaip kenderaan pelancar sistem MRL “D11A” itu adalah penting kerana ia bermakna sistem MRL yang dibangunkan  oleh Thailand hasil kerjasama dengan Israel itu itu kini akan diuji nilai oleh Tentera Darat Thailand, sebelum ditentukan sama ada sistem MRL itu akan di-produksi untuk kegunaan tentera negara itu.

Thailand
“D11A”

 

Sistem pelancar “D11A” itu diletakkan di atas kenderaan Tatra 6×6 seberat 10 tan daripada Republik Czech.

Sistem MRL “D11A” buatan Thailand-Israel itu menyokong roket pelbagai jenis kaliber —  termasuk roket tidak berpandu 122mm, roket DTI-2 yang dibangunkan sendiri oleh Thailand dan roket SHE-30 serta SHE-40 yang dibangunkan oleh China.

Menurut penganalisis, prestasi sistem MRL”D11A” adalah hampir sama seperti sistem roket “Grad” buatan Russia terutamanya di dalam aspek kelajuan kenderaan pelancar itu dan jarak bedilan roket-roketnya.

Pelancar MRL “D11A” itu boleh melancarkan roket-roket itu secara individu atau secara serentak (volley) sebagai taktik bedilan tidak langsung (indirect fire) yang bertujuan untuk serangan di kawasan yang besar iaitu seluas tiga hektar dengan bedilan 40 butir roket secara serentak.

Sistem pelancar berganda “D11A” itu juga berkemampuan melancarkan peluru berpandu 122mm Accular yang akan melalui tembakan ujian di Lapang Sasar Artilleri Khao Phulon pada akhir tahun ini.

Thailand
“D11A”

 

“D11A” berkemampuan melancar sehingga 36 buah peluru berpandu 122mm Accular sehingga ke jarak 40km.

Peluru berpandu 122mm Accular itu dibangunkan oleh syarikat Israel, Elbit Systems dan memiliki CEP (Circular Error Probable) 10 meter.

Mula ditampilkan pada pameran pertahanan, Defense and Security pada 2022 di Bangkok, projek pembangunan sistem MRL “D11A” dibangunkan Thailand-Israel untuk memenuhi keperluan Thailand bagi sistem artillery pesisir pantai, dan turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Kajian dan Pembangunan Tentera Laut Diraja Thailand.

Selain itu, Elbit Systems dilaporkan turut menawarkan kepada Thailand sistem peluru berpandu EXTRA 306mm, peluru berpandu taktikal Predator Hawk dan dron berani mati (loitering munitions) SkyStriker.

Peluru berpandu EXTRA (Extended Range Artillery) berkemampuan membedil sasaran sehingga sejauh 150km  manakala peluru berpandu ballistik Predator Hawk pula mampu membedil sasaran sejauh 300km dengan peledak unitary seberat 140kg.

Israel
Sistem roket berganda “PULS” Israel

 

Sistem MRL “D11A” yang dibangunkan secara bersama oleh Thailand-Israel itu adalah berdasarkan kepada sistem MRL Israel “PULS” yang digunakan oleh Israel dan beberapa negara lain.

Syarikat Elbit Systems daripada Israel membangunkan sistem MRL PULS itu dengan kerjasama daripada syarikat KNDS daripada Jerman.

Pada 2023, sistem MRL “PULS” telah diperolehi tentera Denmark, Belanda dan Sepanyol.  — DSA

Comments are closed.