Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Peroleh “Lampu Hijau” Tempatkan THAAD Di Korea Selatan, China “Bengang”

Radar yang digunakan oleh sistem pertahanan peluru berpandu, Terminal High Altitude Area Defense (THAAD) berkemampuan tinggi, dengan jarak pengesanan pelancaran peluru berpandu balistik di antara 1,500km hingga 2,000km dan inilah dibimbangi oleh Beijing kerana sekiranya radar milik THAAD itu dihalakan ke arahnya, ia boleh mengesan sebarang bentuk pelancaran peluru berpandu balistik oleh China atau memantau segala aktiviti ketenteraan negara itu.

3,592

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat diberikan “lampu hijau” baru-baru ini untuk menempatkan sistem pertahanan peluru berpandu “Terminal High Altitude Area Defence” (THAAD) di Korea Selatan, suatu tindakan yang bakal menimbulkan kemarahan China.

“Lampu Hijau” itu diperolehi selepas kajian impak alam sekitar oleh pihak berkuasa Korea Selatan menyatakan bahawa penempatan sistem pertahanan peluru berpandu di negara itu tidak meningkatkan tahap radiasi elektromagnetik.

Penduduk tempatan yang tinggal berhampiran pangkalan udara Seonju, Korea Selatan membantah penempatan sistem pertahanan peluru berpandu THAAD itu kerana bimbang kesannya terhadap kesihatan mereka.

THAAD
Pelancaran THAAD

 

Keputusan kajian impak alam sekitar itu akan membolehkan Amerika Syarikat dan Korea Selatan meneruskan kerja-kerja pembinaan infrastruktur untuk membina penempatan sistem pertahanan peluru berpandu itu di Seongju.

Bagaimanapun penduduk tempatan di Seongju enggan menerima keputusan kajian impak alam sekitar, dengan mendakwa kajian itu telah dijalankan secara tergesa-gesa dan akan meneruskan protes mereka bagi membantah penempatan sistem pertahanan peluru berpandu itu.

Amerika Syarikat dan Korea Selatan mahu menempatkan sistem pertahanan peluru berpandu THAAD di pangkalan udara Seongju, kira-kira 200km daripada Seoul,  untuk menangani ancaman pelancaran peluru berpandu balistik Korea Utara.

Tindakan Amerika Syarikat dan Korea Selatan meletakkan sistem pertahanan peluru berpandu THAAD itu bukan sahaja dibantah oleh penduduk tempatan tetapi juga telah membuatkan China “tidak senang duduk” dan berasa bimbang.

Jadi, mengapa Beijing bimbang dengan kehadiran sistem pertahanan peluru berpandu THAAD di Korea Selatan, walhal fungsi utamanya adalah untuk menangani ancaman peluru berpandu balistik Pyongyang?

THAAD

THAAD merupakan sistem pertahanan peluru berpandu yang dibangunkan untuk menembak jatuh peluru berpandu balistik jarak, sederhana dan jauh ketika ia masih di dalam penerbangan (mid-course), dengan jarak operasi sejauh 200km dan altitude sehingga 150km.

Apa yang dibimbangi oleh China adalah sistem radar berkuasa tinggi  X-Band AN/TPY-2 yang digunakan oleh sistem THAAD itu.

Sistem radar yang digunakan oleh THAAD berkemampuan tinggi,  dengan jarak pengesanan pelancaran peluru berpandu balistik adalah di antara 1,500km hingga 2,000km.

Beijing bimbang kerana sekiranya radar milik THAAD itu dihalakan ke arahnya, ia boleh mengesan sebarang bentuk pelancaran peluru berpandu balistik oleh negara itu atau memantau segala aktiviti ketenteraan negara itu.

Radar berkuasa tinggi THAAD itu berkemampuan secara tidak langsung mengawasi sebahagian besar kemudahan tentera China.

THAAD
Sistem pertahanan THAAD dalam pangkalan udara di Seongju, kira-kira 200km daripada Seoul.

 

China tidak mahu Amerika Syarikat menggunakan Korea Selatan untuk mengintip mereka dan sebab itulah mereka membantah habis-habisan tindakan Washington menempatkan sistem THAAD dengan sistem radarnya yang berkuasa tinggi berhampiran dengan sempadannya.

Seawal tahun 2016, China telah membantah keras keputusan Korea Selatan untuk menempatkan sistem THAAD milik Amerika Syarikat di negara itu,dengan mengenakan sekatan ekonomi dan kebudayaan terhadap Seoul.

Sekatan ekonomi oleh Beijing itu telah menyebabkan kerugian yang besar terhadap syarikat-syarikat Korea Selatan.

Sekatan ekonomi dan kebudayaan China terhadap Korea Selatan hanya ditarik balik pada 2017 apabila Presiden Korea Selatan pada ketika bersetuju untuk tidak membenarkan penempatan sistem THAAD itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.